Jumaat, 6 Jun 2014

Yamaha MT-125 untuk warga Eropah


Selepas meluncurkan model naked MT-09 dan MT-07, Yamaha Eropah muncul dengan satu lagi ahli keluarga baharu dalam siri MT. Model yang saya maksudkan ialah Yamaha MT-125. 

Seperti mana dua abangnya sebelum ini, Yamaha MT-125 masih meneruskan falsafah The Dark Side of Japan. Yamaha menghasilkan motosikal itu untuk memenuhi keperluan dan selera pengguna yang baru mengenali dunia tunggangan motosikal.

Model MT-125 ada persamaan dengan Yamaha YZF-R125 edisi 2014. Sebenarnya, kedua-dua model itu berkongsi platform sama. Satu tindakan pintar.

Ini membolehkan Yamaha MT-125 menampilkan imej sebuah motosikal streetfighter pada masa sama dilengkapi teknologi sebuah model supersports. Bagaimanapun, ia tetap ada bezanya.


Kedua-dua motosikal Yamaha itu menawarkan posisi egronomik tunggangan yang berbeza. Lihat sahaja format binaan MT-125 secara terperinci.

Hendal lebih lebar, pelana dan perehat kaki pula menempatkan tubuh penunggang lebih menegak dan mendada ke hadapan. Tujuannya untuk menzahirkan geometri tunggangan yang lebih sport.

MT-125 dipasang tangki minyak yang lebih kompak agar anda boleh menempatkan paha lebih ke hadapan sebanyak 42 milimeter dan ini membolehkan penunggang dapat mengawal motosikal dengan lebih baik.


Meter instrumen yang dipasang pada hendal adalah jenis skrin LCD yang mengetengahkan konsep paparan gaya bar seperti yang sebuah telefon pintar.

Tarikan utama bahagian hadapan didominasi oleh set lampu utama dengan lampu jenis LED DRL. Ekor belakang pula sengaja ditinggikan menjadi rumah kepada set lampu belakang lampu LED.


Susuk tubuh motosikal mempamerkan garis badan khususnya pada bahagian tangki minyak dan bolong udara yang dipasang pada bahagian sisi motosikal menjadikan MT-125 nampak lebih agresif.

Sistem ekzos dipasang lebih tinggi untuk memastikan ada penunggang dapat kelegaan untuk merendahkan motosikal ketika mengambil selekoh.

Teknologi supersports yang dipinjamkan daripada model YZF-R125 adalah seperti sistem fork terbalik (USD) dan sistem penyerap hentak tunggal belakang (monoshock) ketegaran tinggi.

Kuasa memusingkan roda belakang datangnya daripada enjin sama seperti yang ada pada YZF-R125.

Yamaha  MT-125 ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu merah, kelabu dan Race Blu (biru kelabu). Itu hanya untuk negara-negara Eropah.

Di Malaysia, saya masih tidak pasti sama ada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mahu membawanya masuk atau memasukkannya ke dalam program pemasangan tempatan (CKD).

Tidak mustahil jika HLYM ada rancangan untuk menjual MT-125 di Malaysia. Mengapa? Sebab mereka sudah mahu bawa masuk model Yamaha MT-07 dan MT-09. Jadi mengapa pula tidak MT-125?


Galeri gambar:














Tiada ulasan:

Catat Ulasan