Sabtu, 7 Jun 2014

Ducati Monster 821


Selepas tampil dengan model Monster 1200, Ducati  Motor Holding S.p.A (Ducati) kini memperkenalkan satu lagi motosikal naked baharu iaitu Monster 821.

Nampak gaya, model itu meneruskan legasi kejuruteraan Monster yang diamalkan sejak 20 tahun lalu. Elemen binaan itu mempersembahkan elemen versaliti, keseronokan tunggangan dengan gaya tersendiri.

Varian Monster cukup penting dalam memastikan survival jenama Ducati. Mengikut statistik jualan Ducati bagi tempoh 20 tahun, mereka sudah mengagihkan lebih 290,000 unit motosikal Monster ke serata dunia.

Ketibaan Ducati Monster 821 sebenarnya mengisi ruang antara model Monster 1200 dan Monster 796 (795 di beberapa negara). Motosikal Monster 821 boleh dikategorikan sebagai model asas peringkat pertengahan.


Jentera itu bakal bersaing dengan beberapa pilihan motosikal popular lain seperti Triumph Speed Triple, Yamaha MT-09 dan Kawasaki Z800.

Ducati Monster 821 menunjukkan banyak persamaan seperti yang ada pada model Monster 1200.

Lihat sahaja casis motosikalnya, tangki minyak, tempat duduk dan sistem ekzos kembar. Macam sama sahaja.


Apa yang digugurkan ialah lengan ayun jenis tunggal. Ducati Monster 821 menggunakan lengan ayun berkembar.

Ada yang mengatakan Monster 821 menggunakan enjin sama seperti Ducati Hyperstrada dan Hypermotard.


Seperti dua model itu, Ducati memastikan model Monster 821 juga didatangkan dengan pelbagai teknologi keselamatan tunggangan. Anda boleh ubah tetapan dengan hanya menggunakan butang kawalan yang dipasang pada bahagian hendal.

Tetapan yang diberikan ialah opsyen mengubah kekuatan cengkaman tayar sebanyak lapan peringkat. Untuk jalan licin, anda boleh kuatkan cengkaman tayar dan kurangkan risiko tergelincir. 

Brek cakera Monster 821 pula ada sistem brek antikunci (ABS). Anda juga boleh memilih paras sensitivitinya.


Ducati menawarkan dua varian Monster 821 iaitu Monster 821 Dark dan Monster 821. Untuk Malaysia, tiada khabar lagi. Model ini akan dijual di Eropah mulai Julai 2014.


Spesifikasi:

Enjin: V-Twin Testastretta 11° dengan sistem penyejukan cecair
Kapasiti: 821cc
Gerek x lejang: 88 x 67.5mm
Nisbah mampatan: 12.8: 1
Kuasa maksimum: 112hp @ 9,250rpm
Tork maksimum: 89.4Nm @ 7,750rpm
Sistem suntikan: Suntikan terus elektornik, 53mm Mikumi, Ride-by Wire
Transmisi: Enam kelajuan
Suspensi hadapan: 43mm USD
Suspensi belakang: Monoshock Sachs
Tayar hadapan: 120/70 ZR 17 Pirelli Diablo Rosso II
Tayar belakang: 180/60 ZR 17 Pirelli Diablo Rosso II
Brek hadapan: Cakera kembar 320mm angkup Brembo M4.32, Sistem brek ABS
Brek belakang: Cakera tunggal 245mm, Sistem brek ABS
Saiz tangki: 17.5 liter
Berat kering: 179.5kg

Galeri gambar:







Tiada ulasan:

Catat Ulasan