Jika anda masih ingat, pada 11 Jun 2013, Yamaha mengejutkan industri motosikal dengan mengumumkan ketibaan jentera naked MT-09.
Yamaha kemudian muncul dengan beberapa model lain dalam siri MT. Antaranya, MT-07 dan MT125. Kini bilangan varian siri MT sudah menjadi 5 buah dalam tempoh kurang daripada setahun. Makin agresif Yamaha ini.
Model kali ini bukannya motosikal baharu. Cuma ditambah dengan macam-macam aksesori untuk tampil lebih radikal. Inilah model Yamaha yang diperkenalkan bagi menyambut ulang tahun pertama pengenalan siri MT. Namanya MT-09 Street Tracker.
Motosikal itu ialah MT-09 berwajahkan scrambler. Pilihan aksesori disediakan dikatakan berkualiti tinggi dan sesuai bagi mereka yang mencari emosi tunggangan.
Yamaha terlupa satu perkara. Komponen itu juga sesuai bagi mereka yang ada duit lebih. Nak bergaya, kenalah berbelanja.
Jurutera Yamaha mereka motosikal itu setelah mengambil inspirasi daripada arena sukan berlumba off-road dan menyulam beberapa sentuhan binaan sebuah scrambler. Ibarat kahwin campur pun ada.
Komponen-komponen yang dipasang pada MT-09 Street Tracker didakwa dicipta khas dan diberi warna sepadan untuk dipasang pada kerangka motosikal.
Profail pengguna yang akan memilih rekaan sebegini ialah mereka yang dahagakan sebuah motosikal dengan paparan sporty, sofistikated dan ada sentuhan vintaj. Bila diperhatikan, komponen yang digunakan diperbuat daripada aluminium dan karbon.
Madgad hadapan diperbuat daripada karbon. Pemegang madgad dan nombor plet pula diperbuat daripada aluminium. Beberapa komponen lain seperti billet bar hendal dan pemegang plet sisi juga dicipta daripada logam aluminium.
Pelana MT-09 Street Tracker kini ada dua tona warna. Bahagian atas kerusi disaluti material kulit coklat. Bahagian tepi pelana puli dibaluti material Alcantara berwarna hitam.
Tangki minyak yang berwarna kelabu dipasang dengan pelapik lutut (knee grip) baharu. Perehat kaki pula lebih luas.
Bila dicampur semua fungsi komponen di atas, penunggang kini ada kelebihan untuk mengalihkan berat sewaktu pecutan, membrek atau mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Ringkasnya, kawalan yang lebih baik.
Menyentuh pilihan solekan, jurutera Yamaha memilih warna kusam (matt colour) untuk bahagian tubuh MT-09 Street Tracker. Kerangka motosikal mempamerkan tona hitam kusam. Begitu juga enjin 3 silindernya.
Kepala silinder pula dicat warna tembaga. Fork diwarnai emas manakala rim dicelup cat tembaga gelap. Persembahan imej klasik. Sebagai pilihan, anda boleh memasang sistem ekzos Akrapovic
Macam biasa, model ini ditawakan di United Kingdom sahaja mulai Ogos ini. Kita di Malaysia tunggu jelah kalau-kalau HLYM mahu kasi kejutan. Ada khabar baru pasal MT-09 di Malaysia. Minggu depan akan dilancarkan...25 Jun 2014... Sabar ya.
Spesifikasi:
Enjin: Tiga silinder DOHC dengan sistem sejukan cecair
Sesaran: 847cc
Gerek X lejang: 78mm x 59.1mm
Nisbah mampatan: 11.5 : 1
Kuasa maksimum: 115PS @ 10,000rpm
Tork maksimum: 87.5Nm @ 8,500rpm
Penyampaian bahan api: Sistem suntikan terus
Transmisi: Enam kelajuan
Jenis kerangka: Berlian
Suspensi hadapan: Fork teleskopik
Suspensi belakang: Monoshock
Brek hadapan: Cakera kembar 298mm
Brek belakang: Cakera tunggal 245mm
Tayar hadapan: 120/70 ZR 17 M/C (58W) (tanpa tiub)
Tayar belakang: 180/55 ZR 17 M/C (73W) (tanpa tiub)
Panjang: 2,075mm
Lebar: 815mm
Tinggi: 1,135mm
Tinggi pelana: 849.5mm
Jarak roda: 1,440mm
Kapasiti tangki: 14 liter
Galeri gambar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan