Sabtu, 30 Mac 2013

Tunggang uji - Suzuki SkyDrive



Sesi tunggang uji kali ini membabitkan model Suzuki SkyDrive. Seperti yang anda tahu, ini bukannya model baharu dalam pasaran. Skuter ini dilancarkan sekitar tahun 2009 di Genting Highlands oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers).

SkyDrive dikatakan telah direka dan dibangunkan sepenuhnya di Jepun. Skuter itu ditumpukan kepada pembeli golongan muda di kawasan bandar dan mereka yang mahu kesenangan tunggangan. Pulas dan jalan sahaja. Tidak perlu pijak tuli gear depan belakang.

Jika diperhatian keseluruhan tubuh SkyDrive, nampak macam futuristik. Lampu depan memang besar dan berkonsepkan 3D (tiga dimensi). Ada lima buah mentol - Dua besar, tiga kecil.



Garisan badan menguatkan imej moden pada sukter edaran Suzuki Assemblers. Madgad yang menghalang percikan air macam paruh burung pun ada.Tujuannya untuk membelah angin. 

Angin sewaktu tunggangan juga disalurkan keluar dengan bantuan garisan badan dan keluk pada badan SkyDrive. Prestasinya: bolehlah disifatkan sebagai cukup baik.

Untuk hidupkan enjin, tarik tuli brek dulu. Pilih sahaja tuli kiri atau kanan dan tekan butang pemula enjin. Ya, anda tidak tersilap baca. Tuli brek kanan juga boleh digunakan untuk menghidupkan enjin. Nasihat saya, guna sahaja tuli brek kiri.

Biasanya, kebanyakan skuter keluaran pengeluar hanya boleh dihidupkan dengan menarik tuli brek kiri. Ia dibuat sebegitu rupa untuk keselamatan anda. 

Mengapa bukan kanan? Untuk elakkan kemungkinan anda terlajak kehadapan jika terpulas pendikit minyak. Oh ya, skuter ini didatangkan dengan penendang kaki. 

Periksa semula jika tongkat tunggal sudah dinaikkan. Skuter ini boleh dihidupkan walaupun tongkat tunggal belum dinaikkan. Satu lagi perkara yang perlu diubah.

Saya berharap fungsi tuli brek kanan (untuk bantu hidupkan enjin) dan tongkat (perlu dipasang sensor atau suiz mematikan enjin) diberi penambahbaikan oleh Suzuki Assemblers. Tidak rugi mana jika tingkatkan aspek keselamatannya.

Alunan bunyi enjin agak kasar ketika dihidupkan. Bila diperah pendikit minyak, nada deruman ekzos menjadi lembut dan enjin tidaklah meraung.

Jenis enjin ialah empat lejang silinder tunggal bersesaran 124cc dengan sistem sejukan udara. Campuran petrol dan udara dibuat menerusi karburator Mikuni BS26. Transmisi pembolehubah berterusan (CVT) tidak mengecewakan dalam bidang menyalurkan kuasa dengan sempurna.


Tangki petrol SkyDrive boleh menampung petrol sebanyak empat liter. Saya membuat dua ujian berbeza dengan nilai isian sebanyak RM5 (RON95) setiap sesi.

Sesi pertama
Kelajuan tunggangan : 90 kmj hingga 110kmj. 
Jarak dikecapi : 68km.

Sesi kedua:
Kelajuan tunggangan : 60kmj. 
Jarak dikecapi : 116km.

Fork hadapan teleskopik sedikit keras apabila terpaksa meredah lubang-lubang yang ada atas jalan. Biasalah, jalan raya di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur tidak seindah mana. Hasil kerja turap semula pun ibarat sudah berak, malas basuh.

Prestasi monoshock belakang tetap menawarkan keselesaan yang dikategori pada tahap memuaskan. Rim aloi 14 inci SkyDrive disaluti tayar 70/90 dan 80/90 (roda belakang). Roda dihentikan dengan khidmat brek cakera di hadapan manakala jenis drum diadun pada rim belakang.

Kelajuan maksimum yang saya dapat ialah 110kmj. Bolehlah kannnn....

Ada satu perkara yang saya akan teliti dulu pada mana-mana model motosikal atau skuter - ruang simpanan barang. Untuk menyimpan helmet. SkyDrive tidak menawarkan keperluan itu. Tempat simpanan bawah tempat duduk cukup kecil dan hanya boleh memuatkan barangan kecil sahaja.

Apapun, secara keseluruhannya bagi saya, SkyDrive bukan skuter terbaik dan tidaklah seteruk mana. Kategori sederhana sahaja.

Koleksi gambar:










































Tiada ulasan:

Catat Ulasan