Baru-baru ini, saya berkesempatan menemubual seorang pengembara kenderaan jarak jauh iaitu Rainer Zietlow.
Namanya sebenarnya sudah diwal-walkan oleh beberapa pengamal media di negara kita sejak bulan Disember lalu.
Temubual diadakan secara bertulis dengan bantuan Bosch Malaysia memandangkan Zietlow pada ketika itu berada di negara lain.
Biarpun hampir dua bulan menanti jawapannya, terima kasih diucapkan kepada Bosch Malaysia dan Zietlow kerana sudi melayan permintaan saya.
Jika anda tertanya-tanya mengenai siapakah Zietlow. Dialah individu yang mengetuai satu ekspedisi kembara kenderaan membawa sepucuk surat dari Datuk Bandar Melbourne (Australia) untuk diserahkan kepada Datuk Bandar St. Petersburg di Rusia.
Pengembaraan itu dinamakan sebagai projek Russtralia. Zietlow ditemani dua rakan iaitu Marius Biela dan Vadim Gagarin. Nama pasukan mereka ialah Challenge4.
Kembara itu memakan masa selama 17 hari, 18 jam dan 49 minit dan melayakkan mereka mendapat pengiktirafan Guinness World Record.
Tujuh buah negara diredahi. Bermula dari Australia, Timor Timur, Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan dan berakhir di Rusia.
Setiap kilometer Challenge4 lalui, sumbangan sebanyak 10 sen Euro dikumpul sebagai sumbangan untuk satu pertubuhan kebajikan di Laos iaitu Plan International.
Mereka menggembara sejauh 23,000 kilometer (dari Melbourne ke St. Petersburg). Jumlah sumbangan yang dikumpulkan adalah sebanyak 2,300 Euro (kira-kira RM9,000).
Sebenarnya itu bukannya misi kemanusiaan pertama dilakukan Zietlow. Dia sudah menjayakaan beberapa program kebajikan bagi membantu pertubuhan-pertubuhan dan organisasi lain.
Malah ekspedisi pertama Zietlow berkait rapat dengan program kemanusiaan dan sains.
"Ekspedisi yang saya akan ingati selalu adalah di Chile pada 29 Januari 2005. Itu merupakan kembara pertama saya dan perasaan pada ketika itu sememangnya bercampur-baur.
"Kami diselubungi perasaan takut. Namun tetap syukur kerana semuanya berjalan dengan baik," katanya yang bakal menerima cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Ekspedisi pertamanya ialah pendakian gunung berapi tertinggi dunia iaitu Ojos del Salado yang terletak di Chile. Ketinggian Ojos del Salado ialah 6,882 meter.
Zietlow dan seorang rakan, Ronald Bormann memandu sebuah Volkswagen Touareg standard hingga ketinggian 6,084 meter. Ketika itu, mereka membawa sebuah mesin seismograf untuk dipasang pada gunung berapi.
Tujuan mesin seismograf itu untuk mengukur kekuatan gempa bumi dan pergerakan semasa muka bumi di kawasan berkenaan.
"Inilah hobi saya sejak kecil lagi. Saya menjadikannya sebagai kerjaya sejurus sahaja mendapat lesen memandu ketika berusia 17 tahun.
"Sebelum membabitkan diri dalam aktiviti kembara, saya sebenarnya memantapkan kekuatan mental dan fizikal. Ia penting sebagai persiapan untuk berdepan dengan apa jua situasi yang tidak diduga," jelasnya.
Kini, Zietlow yang memiliki kelulusan dalam bidang pentadbiran perniagaan mengusahakan sebuah agensi yang mengendalikan acara-acara automotif dan kembara jarak jauh. Nama agensi itu sama dengan pasukannya iaitu Challenge4.
Bila ditanya apakah impiannya sewaktu kecil, Zietlow menjawab:
"Sebenarnya saya selalu berimaginasi untuk mencipta rekod dunia sejak kecil lagi. Kini, saya bersyukur kena hobi yang terbentuk pada usia muda berjaya dijadikan sebagai kerjaya."
Kembali kepada kembara projek Russtralia, Zietlow mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk membuat perancangan rapi bagi ekspedisi itu.
Perkara utama perincian ialah mencari penaja, kenderaan yang sesuai, barangan keperluan dan memeriksa semua laluan dan koordinasi GPS adalah tepat.
Challenge4 mengguna sebuah Volkswagen Touareg TDI ke Rusia. Beberapa modifikasi dibuat untuk menyesuaikan kenderaan dalam kembara itu.
Pertama, memasang roll-cage dan kerusi jenis bucket. Kemudian tangki diesel tambahan sebesar 300 liter ditambah. Tayar ditukar kepada Continental Cross Contact LX 20.
Aksesori lain - teknologi satelit Inmarsat untuk komunikasi langsung walaupun berada dalam kawasan terpencil.
Tayar bocor di Timor Timur. |
Sudah dirancang seteliti mana pun, belum tentu ia menjamin sesuatu perjalanan itu bebas masalah.
Sewaktu menyusuri bumi Timor Timur, Touareg perlu diberhentikan. Tayar bocor beberapa kali. Lebih rumit apabila radiator sudah bocor. Perjalanan terbantut. Kos paling mahal yang terpaksa ditanggung: masa perjalanan sehari setengah.
Zietlow menunjukkan punca kebocoran pada radiator. |
Tidak cukup dengan hal radiator, perjalanan tertangguh kali kedua gara-gara feri yang sepatutnya mengangkut Touareg ke Melaka mencetuskan masalah.
"Ketika berusaha untuk mengejar masa yang terbuang gara-gara kerosakan radiator dan tayar bocor, perjalanan kami terpaksa ditunda kerana kapten kapal tidak biasa dengan pelabuhan Dumai, Indonesia. Keadaan bertambah rumit apabila enjin bot itu rosak.
"Kami terpaksa mencari alternatif lain dengan menempah sebuah kapal kayu untuk membawa kenderaan Volkswagen seberat tiga tan itu ke Melaka," kata Zietlow.
Selamat tiba di Melaka |
Bagi menjimatkan masa, ketiga-tiga krew Challenge4 memandu secara bergilir-gilir. Seorang pemandu setiap lima jam. Jadi, masa berehat dan tidur digunakan sepenuhnya.
Makan? Mereka sebenarnya melengkapkan keperluan asas itu dalam kenderaan kembara. Kata Zietlow, bekalan yang ada sememangnya cukup sehingga sampai ke Rusia.
Mandi? Inilah jawapan Zietlow kepada saya:
"Kami hanya membersihkan diri dengan air dalam botol sebaik sahaja tiba di Rusia. Itupun kerana mahu kelihatan kemas."
Zietlow sebenarnya sudah empat kali mencipta rekod dunia. Percaya atau tidak, dia sedang merancang untuk mengadakan dua lagi ekspedisi lain tidak lama lagi.
Membersihkan diri. |
Pertama, pengembaraan ke Sochi 2014 Winter Olympics di Rusia. Mungkin dijayakan pada tahun ini. Kedua, kembara ke China pada tahun hadapan.
Mungkin akan ada tambahan lagi koleksi rekod dunia. Semoga berjaya.
Oh ya, jika anda ingin membaca lebih lanjut mengenai pengalaman Zietlow dan krewnya, inilah laman mereka: www.touareg-russtralia.com
Koleksi gambar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan