Jika tidak silap saya, khabar mengenai nama motosikal Modenas Dinamik sudah menjadi sebutan sekitar dua tahun lalu. Ada kedai motosikal di kawasan utara negara menjualnya.
Bukan ke model itu sudah
dihentikan jualannya sebelum ini? Mengapa secara tiba-tiba menjual semula Dinamik?
Apa cerita?
Bagi mengetahui apa kisahnya,
saya menghubungi beberapa kenalan baik di ibu pejabat Modenas yang terletak di
Gurun, Kedah dan admin laman Facebook Modenas One Stop.
Alhamdulillah, bukan
sahaja dapat maklumat dimahukan diberikan tetapi dapat juga sebuah Dinamik.
Dapat pinjam sahaja untuk sesi tunggang uji.
Sedikit intro
mengenai Dinamik:
-
Dilancarkan
pada Oktober 2003 bersama Modenas Ceria dan Elit.
-
Motosikal
pertama Modenas dengan monoshock
-
Menggunakan
enjin jenis dua lejang (two stroke)
Ada yang menyatakan
Modenas Dinamik tidak ada cut-off ledakan kuasanya. Saya mendapati kenyataan itu
tidaklah mencerminkan hakikat sebenar. Inilah cerita sebenar yang saya sempat kupas:
Soalan: Modenas
Dinamik ada cut-off?
Jawapan: Dinamik ada
cut-off. Hanya beberapa ratus unit dari lot yang mula-mula dijual sahaja tidak
mempunyai cut off. 1 lot menyamai 500 buah motosikal.
Semakan dengan Bahagian
Penyelidikan dan Pembangunan Modenas:
Cut-off ditetapkan
pada rpm. Kuasa akan dihadkan apabila capai paras 12,000rpm. Kelajuan maksimum
ialah 140 kilometer sejam (km/j).
Soalan: Mengapa
Dinamik dihentikan pengeluaran dan bagaimana dengan aktiviti eksport?
Jawapan: Sebenarnya
Dinamik ini mulanya untuk pasaran tempatan. Tetapi pada waktu diperkenalkan, ia
tidak mendapat sambutan di pasaran domestik (tempatan).
Kebetulan Dinamik mendapat
permintaan di Greece kerana pada waktu itu cuma ada Yamaha Crypton 110 (sama
dengan SS di Malaysia). Jadi, apabila Dinamik masuk ke Greece, habis kena
titik. Dinamik mendapat sambutan hangat disana.
Kemudian, eksport diteruskan
di Indonesia. Stastistik jualan Dinamik di Greece ialah 5,600 unit dan
kira-kira 700 unit di Indonesia.
Soalan: Mengapa
berhenti eksport?
Jawapan: Sebenarnya,
Dinamik gagal mendapatkan standard EURO III, jadi ia tidak boleh dijual di
Eropah. Oleh disebabkan perkara itu, stok sedia ada ada berbaki 1.5 lot (anggaran
saya kira-kira 1,500 unit)
Cerita kemunculan
semula Dinamik di Malaysia lahir dari salah seorang pengedar motosikal Modenas
iaitu Chin Hin. Idea bernas Chin Hin ialah jual pada harga menarik. Maka, jualannya bermula.
Saya diberi peluang
emas dari pihak Modenas apabila mereka mengirim sebuah jentera Dinamik dari
Gurun, Kedah ke Shah Alam, Selangor untuk sesi tunggang uji.
Motosikal itu
merupakan unit yang belum didaftarkan dan jika tidak silap saya, ia merupakan
unit kegunaan bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Modenas. Turut dipinjamkan
ialah trade plat.
Seperti diketahui, Modenas
Dinamik menggunakan enjin dua lejang silinder tunggal. Kapasiti enjin ialah 118cc.
Moped itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan beserta klac tangan.
Enjin Dinamik dibina
oleh Kawasaki Motor Thailand. Hanya casis dan beberapa komponen plastik yang menyaluti
tubuh Dinamik berasal dari Malaysia. Pemasangan dibuat di kilang Modenas di,
Kedah.
Kunci dimasukkan dan tekan butang Engine Stop pada bahagian kanan hendal ditekan. Saya kemudiannya menggunakan penendang kaki bagi menghidupkan enjin.
Sebelum terlupa, Dinamik
tidak ada butang pemula enjin. Anda juga kena rajin menyemak bekalan minyak 2T
dalam tangki di bawah tempat duduk.
Klac tangan ditarik
dan tuli gear dipijak ke bawah dengan kaki kiri. Jika anda sudah biasa dengan
motosikal klac konvensional (seperti RX-Z dan Panther), pastinya anda tiada
masalah.
Bagi pengguna baru, sistem
kotak gear Dinamik seperti berikut gear satu ke bawah manakala gear kedua
hingga keenam perlu disungkit ke atas.
Saiz tangki petrol Dinamik
ialah 4.6 liter. Jika mengisi penuh petrol RON95, belanjanya hampir RM9. Saya
membuat pengisian sebanyak RM6 dan jarum minyak menunjukkan tiga per empat tangki
sudah diisi.
Mengekalkan kelajuan antara 80km/j hingga 120km/j, bekalan minyak tadi membolehkan saya mencapai jarak 80km. Semburan asap 2T menerusi corong ekzos tidaklah ketara mana.
Dinamik sememangnya mudah
dikendalikan kerana saiz badan yang agak ramping dan seberat 98 kilogram sahaja.
Kuasa pikapnya agak mengujakan, mungkin kerana sudah lama meninggalkan tunggangan
jentera 2 lejang.
Henjutan dan serapan
kesan hentakan menerusi fork hadapan dan penyerap hentak belakang dikategorikan
sebagai baik. Kestabilan juga dapat dirasai ketika mengambil selekoh, ia tidak
banyak membuang atau membuai.
Tugas memberhentikan
atau memperlahankan Dinamik diberikan kepada dua set brek cakera. Cengkaman angkup
pada piring cakera tidak menghampakan walaupun khidmatnya diperlukan serta
merta.
Sepanjang sesi
tunggang uji selama 3 hari, tidak kedengaran pula apa-apa bunyi tikus tersepit dari
kedua-dua cakera. Bila meneliti secara dekat pad brek, angkup dan cakera, ia
agak kemas.
Dinamik ramping macam
belalang. Pelindung udara kiri dan kanan bahagian hadapan tidak berupaya
menahan angin sewaktu memecut. Sentuhan angin pada bahagian kaki tetap dirasai.
Harga Dinamik ialah
RM5,749 dan itu tidak termasuk pendaftaran, insurans, cukai jalan dan
sebagainya. Pilihan warna hanya satu iaitu hitam oren kelabu. Jaminan pula
selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan