Sabtu, 16 Ogos 2014

Tunggang uji - Yamaha FZ 150i edisi 2014


Ada 2 individu memberi pandangan mengenai Yamaha  FZ 150i :

Individu Pertama: FZ 150i memang jimat minyak.
Individu Kedua   : Bukan jimat tapi tangki minyaknya besar.


Sebenarnya, kedua-dua pandangan itu berkait rapat antara satu sama lain. Ya, memang benar model FZ 150i mempunyai tangki minyak bersaiz besar iaitu 12 liter. Malah ia lebih besar daripada beberapa sportsbike 250cc.

Seperti anda tahu, Yamaha FZ 150i menggunakan teknologi sistem pancitan bahan api secara terus (fuel injection). Ditambah pula dengan saiz tangki besar, sudah pasti ia membolehkan anda capai lebih kilometer.

Bila dinilai semula, ciri ini menjadi satu kelebihan untuk mereka yang menunggang motosikal harian atau tunggangan jarak jauh. Tidak perlulah anda kerap berhenti di stesen minyak untuk isian semula.


Saya diberi peluang oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk menguji Yamaha FZ 150i edisi 2014 beberapa minggu lalu. Maka, dengan kesempatan itu, saya cuma menguji sejauh mana hebatnya soal jimat minyak motosikal ini.

Selama seminggu saya mengemudi motosikal pinjam ini di sekitar ibu kota dan beberapa laluan lebuh raya di Selangor. Kelajuan tunggangan pastinya tidak melebihi 120km/j. Minyak petrol ialah Ron 95 pelbagai jenama.

Apa yang saya rekodkan ialah 1 liter petrol membolehkan FZ 150i bergerak sejauh 30km. Itu kiraan purata berdasarkan tunggangan saya. Secara amnya, satu tangki penuh menjanjikan jarak perjalanan 300km ke atas.

Nampak gaya, model kali ini ada diberikan beberapa perubahan berbanding generasi sebelumnya. Nampak gaya, jurutera Yamaha ada meneliti beberapa masalah sebelum ini. Tahniah dan teruskan usaha bawa pembaharuan.

FZ 150i edisi 2014 tidak didatangkan dengan penendang kaki untuk hidupkan enjin. Anda tiada pilihan selain menekan butang pemula.

Jika anda masih ingat, model sebelum ini ada penendang kaki tapi sedikit melecehkan. Nak hidupkan enjin pun kena naikkan perehat kaki (footrest). Di bawah ini disertakan gambar untuk paparan lebih jelas. Gambar itu ialah penendang kaki generasi sebelum ini.




Ada yang meluahkan permasalahan ketiadaan komponen penendang kaki pada model edisi 2014. Antaranya, bagaimana hendak hidupkan enjin jika bateri sudah habis kuasa. 

Ini senario lazim. Jika ada penendang kaki dan butang pemula, soalnya berapa kerap anda menggunakannya? 

Biasanya, penendang kaki hanya digunakan bila keadaan mendesak khasnya apabila butang pemula gagal berfungsi. Nampak gaya, kenalah rajin menjaga bateri selepas ini.

Saya juga mendapati model kali ini kurang membuang apabila membrek dengan kuat khususnya pada bahagian roda belakang. 


Jika anda perhatikan, model baharu ini dipasang saiz tayar yang lebih besar. Faktor itu membantu FZ 150i agar lebih stabil ketika membrek.

Badan pula terasa selesa hasil binaan kerangka motosikal, pemasangan bar hendal yang lebar dan posisi perehat kaki agak seimbang. Susunan itu membolehkan saya mengawal motosikal ini dengan baik dalam keadaan kesesakan lalu lintas.

Anggota badan saya termasuk lengan dan pinggang tidak terasa lengguh sepanjang menaiki motosikal ini. Tempat duduknya yang empuk mendatangkan keselesaan untuk tunggangan harian.

Setiap butang kawalan yang pada bahagian kiri dan kanan hendal mudah dicapai jari. Anda mendapat maklumat seperti kadar kelajuan, baki minyak petrol, jumlah jarak tunggangan dan odometer dipamerkan melalui meter digital. Meter RPM pula masih analog.

Kuasa tarikan FZ 150i boleh terasa dengan jelas apabila jarum RPM mula melepasi paras  8,000rpm. Ketika ini, motosikal terasa ringan. Anda masih boleh pulas pendikit sehingga jarum rpm mencapai paras 10,000rpm.

Tuil gear dan klac tangan sememangnya lembut dan sesuai untuk penunggang baru. Sesuai juga untuk kaum Hawa.

Andai mahu gantung helmet pada motosikal, hati-hati. Sama ada topi keledar akan dicuri orang atau pemegang yang disediakan akan patah jika anda cuai. Pemenang tu diperbuat daripada plastik dan bersambung dengan cover set.



Sebagai tambahan, HLYM meningkatkan ciri keselamatan pada motosikal ini dengan memasang set brek cakera pada roda belakang.

Model ini tidak menyediakan ruang simpanan barang yang bersaiz besar. Buka pelana (tempat duduk), ia hanya boleh muatkan sebelah sarung tangan saya.




Jika dipandang pada keseluruhan tubuh FZ 150i, ia memang menawan biarpun reka bentuk lampu hadapan agak buruk. Mungkin ada yang suka. Ada juga yang tidak. Reka bentuk ini soal subjektif. Setiap individu ada cita rasa masing-masing.

Cuma.....cuma kan... HLYM tolanglah buat sesuatu dengan komponen plastik yang di pasang pada bahagian tangki minyak FZ150i. 

Motosikal baru pun dah rupa macam 3 tahun usianya. Senang nak tanggal. Kasi makeup cun-cun lah. Pengguna bayar beribu kot. Takkan nak saji hasil kerja tidak bermutu. Lihat komponen kelabu dalam gambar kedua dan ketiga.





Untuk gambar, spesifikasi dan harga, sila klik di sini dan sini.

Galeri gambar:


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan