Isnin, 6 Januari 2014

Z1000 sudah tiba ke Malaysia



Belum reda lagi cerita pasal KTM 1290 Super Duke, sudah ada satu lagi model streetfighter yang dijangka cipta fenomena baharu dalam landskap motosikal Malaysia. Maaf ya, model ini bukannya produk KTM.

Saya ada terima sekeping gambar kiriman salah seorang pembaca blog ini dari Pulau Pinang. Gambar sahabat kita itu memperlihatkan dua model berkuasa tinggi.

Ya, inilah Kawasaki Z1000 dan Z1000SX. Dua model baharu ini akan dilancarkan beberapa hari lagi. Kawasaki sambut 2014 dengan siri Z. Saya difahamkan model ini diimport dari Jepun. 

Z1000 edisi 2014 ialah model motosikal kategori naked / streetfighter yang boleh memberi tamparan secara langsung kepada beberapa model jenama lain. 

Model yang saya maksudkan ialah Ducati Streetfighter, KTM 1290 Super Duke R, Aprilia Tuono V4 dan MV Agusta Rivale.

Rekaan Z1000 sememangnya agresif. Bak kata Ketua Pereka Mo tosikal Kawasaki, Keishi Fukumoto:

“Kami ketengahkan rekaan paras rupa dan perasaan pemangsa yang menanti masa untuk menerkam."

Z1000 dibangunkan mengikut falsafah sugomi. Apa itu sugomi? Inilah tafsiran seringkas mungkin: Gayaan dan pendekatan terperinci kejuruteraan motosikal untuk dinikmati sepenuhnya oleh penunggang.

Tak silap saya, falsafah sugomi sudah digunakan pada model siri Z sebelum ini. Model yang dikatakan itu ialah Z800.

Z1000 dipamerkan pada Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali  November 2013. Motosikal itu memberi ekspresi emosi dan sedikit mengghairahkan.



Enjin Z1000 2014 masih empat silinder sebaris tetapi diberikan telah beberapa modifikasi. Antaranya komponen aci sesondol untuk melonjakkan hamburan tork pada pusingan enjin (RPM) peringkat rendah hingga sederhana.


Sistem penyaluran udara ke dalam kotak angin ditambah baik dengan adanya bolong kemasukan bersama penapis udara baharu di bahagian sisi motosikal. Tujuannya ialah untuk memastikan udara kekal stabil pada pusingan RPM tinggi.

Z1000 guna khidmat empat unit pendikit badan Keihin 38 milimeter untuk menyuntik bahan api ke dalam setiap silinder. Selain itu, jurutera Kawasaki ada menala semula unit kawalan enjin (ECU) dan  sistem kotak penggearan Z1000. 

Rangkaian kuasa Z1000 dilindungi oleh kerangka aluminium yang nampak hampir sama macam Ninja ZX-10R. Kerangka itu ditambah alas getah (mounting) untuk kurangkan kesan getaran enjin.

Sistem brek juga diperbaharui. Kali ini, Kawasaki memasang angkup monoblok Tokico yang diperbuat daripada aluminium. Hasilnya, ia lebih ringan dan tawar respons cengkaman yang lebih baik.



Z1000 2014 ada fork baharu iaitu Showa SFF-BP (Separate Function Fork - Big  Piston). Batang fork sebelah kiri adalah untuk menyelaras  kadar prabeban. Mahu ubah kadar redaman omboh, selaraskan pada bahagian kanan fork.



Lengan ayun pula bersambung dengan sistem penyerap hentak tunggal gas/minyak. Posisi penyerap hentak sedikit mendatar. Tujuanya untuk membantu meningkatkan keseimbangan dan kestabilan jentera.

Buat julung kalinya, set lampu utama Z1000 ialah jenis LED tanpa pemantul. Perumah lampu belakang juga menggunakan lampu LED.



Satu lagi model dipamerkan dalam gambar di atas ialah Z1000 SX. Nantikan sahaja entri selepas ini.

Sistem penyerap hentak yang sedikit mendatar
Kapasiti tangki minyak ditingkatkan kepada 17 liter
Sistem bolong udara yang dipasang pada bahagian hadapan untuk kemasukan angin lebih lancar

Kotak simpanan angin 
Angkup brek Tokiko
Ada varian ABS disediakan
Batang fork sebelah kiri untuk menyelaras kadar prabeban. 
Kadar redaman omboh diselaras pada bahagian kanan fork.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan