Sabtu, 13 Julai 2013

Honda CRF250L - Tunggang Uji


Sekitar akhir tahun lalu, Boon Siew Honda menunjukkan tindakan agresif untuk menerokai pasaran motosikal segmen 250cc ke atas.

Sebenarnya sudah tiba masa mereka beralih ke kelas motosikal lebih besar. Sampai bila mahu bermain dalam liga underbone?

Antara produk yang menarik perhatian saya ialah motosikal dwikegunaan CRF250L. Bagi saya tindakan ini disifatkan sebagai berani. 

Bukan semua pengeluar motosikal mahu jual motor dwikegunaan atau scrambler. Rata-rata tahu, sebelum ini Kawasaki yang banyak menjual produk kategori itu.

CRF250L ini tergolong dalam kategori 250cc. Biasanya di Malaysia, kelas 250cc didominasi dengan jentera sports bike. Ini trend pasaran sebenarnya.

Populariti CRF dilonjakkan menerusi penampilan dalam dua filem box office. Filem itu ialah Bourne Legacy dan Skyfall (James Bond). 


Untuk pengguna Malaysia, CRF250L didatangkan dari Thailand. Enjin dia sama seperti model CBR250R.

Kotak gear ialah enam kelajuan dan menggunakan khidmat sistem suntikan bahan api terancang (PGM-FI) Honda.

Enjin dihidupkan dengan menekan butang pemula. Memang mudah dihidupkan. CRF250L tidak ada penendang kaki. 

Reka bentuk jentera ini kelihatan agresif apabila tona warna merah putih dikenakan pada bahagian pelana (tempat duduk) dan komponen plastik yang menutupi kerangka motosikal.

Kerangka motosikal diperbuat daripada besi buaian separuh kembar tegar. Warna kerangka disapu cat perak ala-ala warna aluminium.

Motosikal ini memang sedikit tinggi. Jika diukur, tempat duduknya setinggi 87.5 sentimeter. Terpaksalah saya jengkit untuk imbangkan motosikal itu. 

Mujur beratnya hanya 144 kilogram, maka tidaklah masalah besar untuk mengekalkan kestabilan. Ketika ini, motosikal belum dihidupkan lagi.

CRF250L sebenarnya mudah dikendalikan biarpun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di ibu negara. 

Kelebihannya terletak hendal. Ia boleh berpusing sehingga 45 darjah. Kelebihannya terasa pada laluan sempit. 

CRF250L dipasang dengan fork teleskopik USD 43 milimeter (mm). Untuk padanan belakang, ia membabitkan sistem penyerap hentak tunggal berukuran 40mm dengan Pro-Link.


Rim tayar hadapan sebesar 21 inci manakala belakang berukuran 18 inci. Jika tidak biasa, nampak seperti agak menggerunkan. Padahal jentera ini biasa-biasa aje.

Bila motosikal mula menjajari jalan tar, tidaklah kekok sangat. Hampir sama seperti motosikal kapcai. Cuma tinggi sedikit dan hendalnya panjang. Pelana merah nampak sahaja nipis tetapi punggung tetap selesa. 

Bila bahang enjin mula terasa, ada satu kipas kecil dibelakang radiator pelepas haba akan dihidupkan secara automatik. Ia untuk kawal suhu enjin.

Bunyi kipasnya bukan sesenyap mana. Boleh dengar walaupun memakai topi keledar dan sedang bergerak atas jalan. 

Tindak balas CRF250L sememangnya berbeza mengikut jenis laluan. Jika atas jalan tar, ia biasa-biasa sahaja. 

Senario berbeza bila di laluan off road, adrenalin pasti melonjak. Jentera ini sememangnya membawa keseronokan. Memang lincah.


Brek cakera pada kedua-dua roda nampak kecil tetapi reaksinya cukup bertenaga. Salah seorang kakitangan di Boon Siew Honda memberitahu saya:

"Material untuk brek cakera ini dibina untuk tahan lasak sebabnya bila meredah off road, batu-batu kecil dan debu akan merosakkan brek." 

Oh ye, andainya anda lupa menukar gear kepada neutral ketika menurunkan tongkat, enjin akan mati secara automatik. Itu salah satu ciri keselamatan untuk anda.

Satu tangki penuh petrol boleh mencapai jarak 180km. Saiz tangki ialah 7.7 liter. Apabila petrol berada pada paras kritikal, petunjuk status minyak pada meter akan berkelip-kelip.

Kelajuan tunggangan untuk mencapai catatan jarak 180km dibuat pada kadar kelajuan antara 80km sejam (kmj) sehingga 115kmj.

Honda CRF250L dijual pada harga RM22,688 sebuah. Itu tidak mengambil kira cukai jalan, pendaftaran dan seangkat dengannya.

Galeri gambar:





























Tiada ulasan:

Catat Ulasan