Jumaat, 12 Julai 2013

Honda CBR600RR 2013 di Malaysia


Pada mulanya, ada cakap-cakap mengatakan siri Honda CB500 akan diperkenalkan tahun ini. Khabar itu bertukar dengan ketibaan varian CBR600RR edisi 2013.

Jika anda masih ingat, tahun lalu, Boon Siew Honda sudah memulakan aktiviti membawa masuk motosikal yang diimport sepenuhnya dari Jepun. 

Tiga model sudah menemui peminat tempatan. Model dimaksudkan ialah CBR1000RR Fireblade, Gold Wing dan CRF250L.

Secara senyap, Boon Siew memperkenalkan model supersports CBR600RR edisi 2013 ke pasaran tempatan. Dua varian ditawarkan untuk pelanggan Malaysia iaitu CBR600RR dan CBR600RR C-ABS.

Honda CBR600RR ada pengikut tersendiri di kebanyakan negara. Populariti model itu diperkukuhkan dengan dominasi kejuaraan dalam Kejohanan Dunia FIM Supersports selama enam tahun berturut-turut sejak tahun 2003.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew  Honda, Satoshi Okada memberitahu dua produk itu mencerminkan usaha syarikat untuk terus menawarkan keseronokan tunggangan kepada pengguna tempatan.

CBR600RR edisi 2013 dipasang enjin empat silinder sebaris bersesaran 599cc. Kotak gear diberikan adalah jenis enam kelajuan.

Motosikal itu berupaya menjana kuasa maksimum sehingga 88kW@13,500rpm dan tork setinggi 66Nm@ 1,250rpm.

Campuran minyak petrol dan udara dibuat menerusi sistem pancitan bahan api terancang PGM-DSFI. Udara dari luar jentera disalurkan menerusi sistem kemasukan udara secara langsung.

Pemetaan unit kawalan elektronik (ECU) CBR600RR telah diubah bagi meningkatkan maklum balas pendikit minyak berdasarkan julat kadar putaran enjin seminit (RPM).

Motosikal itu diberi tumpuan kejuruteraan pada bahagian casis. Objektifnya ialah mencipta sebuah motosikal supersports yang seimbang dari segi kawalan dan pengendalian.

Bagi menjayakan objektif itu, jurutera Honda memilih fork hadapan jenis Showa Big Piston 41 milimeter. Pandangan mereka: ia menambah baik keupayaan menyerap di atas jalan dan di litar lumba.

Untuk bahagian belakang, sistem penyerap hentak tunggal (Monoshock) pula disambungkan pada Pro-Link. Pro-Link ialah satu sistem unik pada motosikal Honda.

Komponen itu menyeimbangkan motosikal bila mengambil selekoh dan menambah baik serapan hentakan serta kadar redaman.

Modifikasi lain adalah pemasangan rim aluminium ringan sama seperti yang ada pada model CBR1000RR Fireblade.

Untuk model CBR600RR C-ABS, bezanya melibatkan sistem brek. C-ABS ialah sistem brek antikunci Honda . 

Cara ia berfungsi ialah bila tarik tuil brek, sensor mengesan kadar kekuatan tarikan. Sensor itu dihubungkan dengan ECU.

ECU yang mendapat maklumat kemudian akan menilai kelajuan roda hadapan dan belakang, sebelum menyeragamkan tekanan pada kedua-dua angkup brek cakera roda hadapan serta belakang. Tujuan untuk elak tayar daripada terkunci.

Anda boleh pilih tiga jenis warna yang disediakan iaitu Tricolour (merah, putih dan biru), hitam dan Repsol.

Harga jualan untuk motosikal sahaja ialah:

CBR600RR              
Hitam Grafit               RM 80,588            
Tricolour                   RM 81,088                  
Repsol                      RM 82,088                  

CBR600RR C-ABS
Hitam Grafit               RM 94,388
Tricolour                   RM 94,888
Repsol                      RM 95,388

Jaminan diberikan ialah selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (mana-mana yang tiba dahulu ya).

Galeri gambar:








Tiada ulasan:

Catat Ulasan