Jumaat, 19 April 2013

BMW F 700 GS dan F 800 GS



BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) menerusi BMW Motorrad membawa masuk dua model motosikal enduro untuk pelanggan tempatan. 

Kedua-dua model itu dikatakan memberi kepuasan tunggangan off-road kepada penunggangnya. model dimaksudkan ialah BMW  F 700 GS dan F 800 GS. 

F 700 GS ialah motosikal baharu untuk model sedia ada iaitu F 650 GS. Ia ditujukan kepada yang kurang memiliki pengalaman tunggangan off-road tetapi tetap mahu sebuah motosikal berprestasi tinggi dan menjimatkan untuk kegunaan harian. 

F 800 GS ialah motosikal yang telah ditambah baik daripada model sebelumnya. F 800 GS mengadun keupayaan jelajah di laluan off-road dengan penambahbaikan kualiti tunggangan.

Reka bentuk dua model itu nampaknya sudah berubah ke arah lebih maskulin dan kontemporari. Sebelum ini, model-model sebelum ini menekankan konsep urban.

Enjin digunakan adalah sama untuk kedua-dua model itu. Jenisnya ialah enjin dua silinder bersesaran 798cc dengan sistem penyejukan cecair. 

Petrol disalurkan menerusi sistem pancitan yang dikawal secara elektronik. Transmisi kotak gearnya ada enam kelajuan. 

Enjin sama tetapi talaan berbeza. F 700 GS meledakkan output maksimum sebanyak 75hp @ 7,300rpm dengan tork setinggi 77Nm @ 5,300rpm. 

F 800 GS pula menghamburkan kuasa maksimumnya yang boleh mencecah 85hp @ 7,500rpm. Tork tertinggi pula sebanyak 83Nm @ 5,750rpm.

Komponen Sistem brek antikunci (ABS) diberikan sebagai ciri standard bersama Automatic Stability Control (ASC) dan Electronic Suspension Adjustment (ESA) bagi kedua-dua model. 


F 700 GS ada tiga pilihan warna iaitu kelabu, merah dan perak. Harga jualan atas jalan tidak termasuk insurans dan caj-caj lain ialah RM79,800 seunit.



F 800 GS didatangkan dengan warna tembaga, biru dan putih dijual pada harga asas RM89,800 seunit. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan