Selasa, 7 Ogos 2012

Gilera ST200 - Sport tourer gaya Itali


Entri kali ini mengisahkan sesi tunggang uji Gilera Runner. Saya mendapati ramai individu ditemui cukup mengenali varian 180cc. Sememangnya model 180cc itu digemari kerana kuasa, rekaannya, rekaan dan kebolehpercayaan ciptaannya. Tidak lupa juga kepuasan menunggangnya.



Kali ini, ujian tidak membabitkan model 180cc itu tetapi abangnya iaitu varian ST200. Skuter edaran Naza Premira itu adalah sebuah model sport tourer. Pertengahan bulan lalu, saya telah mengunjungi bilik pameran Naza Premira di Damansara mengambilnya.

Perkara pertama yang saya memikirkan ialah bagaimana membuka tempat duduk ST200. Tiada sebarang petunjuk di manakah lubang kunci atau punat untuk ditekan. Rupa-rupanya.... anda perlu masukkan kunci dan menolak ke dalam untuk membukanya.

Produk edaran anak syarikat Kumpulan Naza itu sudah memasuki pasaran Malaysia sejak tahun lalu. Model ini kelihatan sporty dan mempunyai fairing besar dihadapannya. Lampu hadapan sememangnya besar. Jelas pencahayaan ketika tunggangan malam. 

Produk keluaran Piaggio Group itu yang lebih kelihatan segar dipasang enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 198cc. Model ini menggunakan sistem karburator. Jika nama pun skuter, sudah pasti kotak gearnya transmisi automatik. Tetapi diadun dengan penghantaran boleh ubah berterusan (CVT).

Merujuk kertas spesifikasi, enjin ST200 mampu menghamburkan kuasa sehingga 14Kw@8,750rpm dan tork maksimum pada  17Nm@7,250rpm. Kepanasan enjin diredakan dengan sistem sejukan cecair.

Reka bentuknya cukup kemas. Terserlah kualiti binaan. Butang kawalan pada hendal kelihatan kemas dan mudah dicapai jari. Panel meter mengabungkan meter analog RPM dan skrin  LCD berlatar belakang warna oren.

Skrin LCD menunjukkan kelajuan digital skuter, suhu enjin, jam, status petrol dalam tangki dan jarak perjalanan.

Untuk menghidupkan enjin, tarik tuli brek dan tekan butang penghidup. Adakala anda perlu pulas pendikit minyak sedikit. Sama seperti skuter-skuter lain. Pendikit minyak cukup memuaskan saya. Amat responsif.

Pulas sahaja pendikit minyak sejurus lampu trafik bertukar hijau, terasa kuasa pikap dan pecutannya. Selang beberapa saat, kelajuan pada meter sudah 80 kilometer sejam (kmj). 

Tidak pula saya teragak-agak untuk memotong kenderaan lain memandangkan hamburan kuasa ST200. Di atas jalan tar, semuanya lancar dan menyeronokan. Apabila di laluan tar berlubang sana sini pada kelajuan kira-kira 80kmj, terasa punggung saya mula berjoget atas pelana.

Ya, fork teleskopik hadapan sedikit keras dan lengan saya mengeletar sedikit. Mana-mana motosikal tidak mungkin meluncur dengan lancar ibarat karpet terbang pada jalan berlubang macam di Ampang. 

Suspensi berkembar belakang jenis boleh laras tidak mendatangkan sebarang masalah. ST200 didatangkan dengan dua set brek cakera. Tayar hadapan diberhentikan dengan cakera ukuran 240 milimeter (mm) dan omboh berkembar.

Bahagian belakang, cakera ditempatkan pada bahagian tengah-tengah rim dan piston tunggal menggigit cakera 220mm untuk memperlahankan jentera dan memberhentikannya. 

Nasihat saya, sila membrek dengan menarik kedua-dua tuli pada kadar 30:70 (30 untuk hadapan). Kaedah itu amat berguna pada tunggangan kelajuan tinggi. 

Tempat duduk skuter ini selesa dan luas, punggung saya tidak kebas. Itu sudah pasti kerana keselesaan sinonim dengan produk tourer. Tinggi tempat duduk ialah 815mm. Saya adakala perlu jengket untuk menstabilkan jentera ketika berhenti.

Menyelinap antara barisan kereta bukan masalah. Mudah untuk anda bajet apabila mencelah-celah sewaktu jalan raya sesak. Pendapat saya, ST200 sesuai untuk tunggangan bandar dan kembara jarak jauh meskipun beratnya 137 kilogram.

Jika mahu mengisi petrol RON95, tangki penuh memerlukan anda berbelanja sebanyak RM22. Saiz tangkinya besar iaitu 12.2 liter. 

Ujian saya, pengisian petrol sebanyak RM10, membolehkan catatan jarak perjalanan sejauh 125 km. Saya menunggang pada kelajuan antara 60kmj hingga 80kmj. Adakala memerah sehingga 100kmj. Skuter ini boleh capai kelajuan antara 120-130kmj.

Apabila status petrol dalam tangki tinggal satu bar (pada skrin LCD), lampu amaran berwarna oren pada sebelah kiri meter mula berkelip-kelip.

Sewaktu mahu menongkat, sila berhati-hati. Spring tongkat tunggal ST200 akan menendang balik secara sendiri. Sesuai jika anda seorang pelupa menaikkan tongkat. Tetapi skuter itu berkemungkinan jatuh kalau anda tidak berhati-hati atau ditolak orang. Paling bagus, menongkat kembar sahaja. Selamat. 


Maklumat Runner ST200
Enjin: Silinder tunggal empat lejang.
Sesaran: 198cc
Jumlah kapasiti tangki minyak: 12.2 liter
Tayar hadapan: 120/70 - 14 inci 
Tayar belakang: 140/60 - 13 inci
Karburator: KEIHIN CVK 30
Emisi: Euro3
Panjang: 1,890mm
Lebar: 750mm
Harga jualan asas: RM24,000.

Adunan meter RPM analog dan digital LCD
Meter RPM dengan latar belakang oren
Lampu kuning menandakan petrol semakin berkurangan





Lampu hadapan ternyata sedikit besar 
Lampu rendah
Lampu tinggi


Lampu isyarat membelok
Set lampu belakang
Lampu belakang apabila enjin dihidupkan
Lampu belakang apabila tuli brek ditarik

Lampu isyarat ternyata terang







Ruang simpanan barang di bawah tempat duduk
Anda boleh menyimpan helmet dan barangan kecil 
Pelana yang cukup selesa dan luas


Tempat mengisi petrol berada di tengah-tengah tempat meletak kaki
Cara membuka tudung ada mengikut urutan gambar di bawah




Untuk membuka tempat duduk, masukkan kunci dan tekannya ke dalam




Brek cakera ditempatkan dalam bahagian rim

Lubang di atas boleh dibuka atau tutup untuk aliran angin dari hadapan

Apabila enjin mencapai suhu tinggi, kipas radiator akan dihidupkan secara automatik untuk proses menyejukkan enjin





Tiada ulasan:

Catat Ulasan