Rabu, 8 Ogos 2012

Honda Future - Tunggang Uji


Future, itulah nama diberikan untuk motosikal bersesaran 125cc terbaharu Boon Siew Honda. Saya difahamkan model underbone itu adalah pengganti kepada Wave 125X Ultimo. Sudah pasti jentera yang lebih segar itu mendatangkan saingan sengit kepada pesaing lain dalam segmen sama.

Sehari selepas pelancaran Honda Future, saya dengan 13 rakan media lain dipelawa untuk menyertai sesi tunggang uji dari Seri Kembangan ke Port Dickson dan kemudiannya patah balik ke Seri Kembangan pada hari sama.

Ucapan oleh CEO Boon Siew Honda
Meskipun hujan membasahi bumi pada pagi hari sesi tunggang uji, ia tidak mematahkan semangat kami untuk mensia-siakan peluang yang tiba sebelum kedatangan bulan Ramadan. Seorang demi seorang tiba dan menanti di bilik taklimat di Palace of the Golden Horses.

Kami diberi penerangan keselamatan dan dimaklumkan mengenai misi tunggangan dengan bekalan petrol satu tangki penuh sahaja. Saiz tangki petrol Honda Future ialah 5.6 liter. Jarak tunggangan kami pula 180 kilometer (km).

Anggaran masa tunggang uji atau lebih ke arah konvoi adalah selama tiga jam. Sejurus selesai taklimat dan ucapan daripada Pengarah Uursan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada, kami menuju untuk mengambil Honda Future masing-masing.

Semua peralatan dan pakaian keselamtan mula disarung pada badan masing-masing. Hujan pun sudah berhenti tetapi jalan masih basah. Saya mengambil varian paling tinggi iaitu Future dengan dua set brek cakera.

Honda Future dipasang enjin baharu jenis empat lejang dan masih menggunakan khidmat sistem karburator. Gearnya tetap empat. Bila dipandang pada meter, saya mendapati jarak perjalanan yang tertera (sebelum memulakan konvoi) ialah 206.6 km. Petunjuk minyak menunjukkan pada huruf F.

Ada dua cara menghidupkan Future, sama ada dengan butang penghidup enjin atau menggunakan penendang kaki.



Sepanjang sesi tunggang uji, tiada kesakitan dirasai pada pinggang. Punggung pula tidak kebas. Tempat duduknya yang besar memainkan peranan dalam menawarkan keselesaan. Getaran yang berpunca dari enjin pula tidak dirasai secara ketara.

Satu perkara yang kurang menyenangkan saya ialah posisi penendang kakinya yang kerap berlaga dengan tumit kanan apabila saya memijak brek kaki. Rakan daripada majalah Kapcai, Ghani memberi idea pantas untuk selesaikan ketidakselesaan itu.

Katanya, buka sahaja tempat pemijak pada penendang kaki supaya menghala keluar. Memang benar katanya, tumit tidak lagi berlaga. Selain perkara kecil itu, Future tidak mendatangkan sebarang masalah pada sesi tunggang uji saya.

Apabila barisan konvoi tiba dipersimpangan, jelas kedengaran bunyi hon daripada beberapa motosikal Honda itu. Ada sebilangan penunggang media tersalah tekan butang hon sedangkan mereka ingin menggunakan butang isyarat membelok.

Itu bukan kesilapan tetapi kami sedikit kekoh dengan susunan butang kawalan pada bahagian kiri hendal. Butang hon Honda Future ditempatkan pada bahagian tengah manakala butang isyarat membelok diposisikan di bawahnya.

Satu perkara saya kesan ialah peralihan kedudukan butang hon Future. Ia menggantikan tempat butang isyarat membelok di kawasan tengah sebelah kiri hendal. Butang isyarat membelok diposisikan di bawah butang hon.

Sudah pasti sesiapa sahaja yang biasa membawa motosikal kapcai konvensional sedikit kekok dengan pembaharuan ini. Ibu jari yang lazimnya menghafal kedudukan butang kini sedikit keliru.

Perjalanan pertama ke Port Dickson sudah selesai. Odometer memaparkan catatan jarak perjalanan kira-kira 90km. Kelajuan tunggangan saya di antara 100km sejam (km/j) hingga 110km/j. Paras minyak menunjukkan jarum turun ke paras satu per empat.

Sampai sahaja di Thristle port Dickson, kami berehat sebentar sebelum menuju meja makan untuk menjamu selera. Ketika itu, saya dan beberapa penunggang lain bertukar pengalaman mengenai prestasi Future.

Ringkasanya, pikap ada tetapi tidak begitu pantas dan hendal motosikal agak ringan. Selesai sudah, kami berkumpul atas jentera masing-masing untuk sesi bergambar sebelum menuju semula ke destinasi asal.

Kali ini, jarak perjalanan adalah sejauh 87km. Throttle diperah tanpa belas kasihan. Kelajuan laju maksimum Honda Future ialah 120km/j. Punya seronok mengerjakan motosikal Boon Siew Honda ini, tetiba Wan dari majalah Roda-Roda memberi isyarat untuk melihat meter minyak.

Terkejut dan terus pendikit minyak dilepaskan sedikit. Jarum meter minyak sudah 2mm atau 3 mm ke paras huruf E. Bekalan petrol sudah kritikal.

Saya meneruskan tunggangan. Kalau habis minyak ditengah-tengah jalan, maka saya mengharapkan jasa baik rakan-rakan untuk menunda motosikal itu.

Rupa-rupanya semua motosikal sama nasib macam saya. Akhirnya, kami semua selamat tiba ke Palace of the Golden Horses tanpa sebarang pengisian semula petrol.

Mengenai ujian makmal Mod ECE40 yang menyatakan Honda Future mampu mencapai jarak 338km dengan satu tangki penuh petrol, saya tidak bersetuju dengannya atau menentang catatan itu. Mengapa?

Sebabnya, Mod ECE40 menguji cara tunggangan dengan menggunakan mesin dynometer dan dianalisis oleh tenaga pakar. Enjin itu tidak diuji pada situasi sebenar atas jalan raya yang mana ada laluan naik turun bukit, angin lintang, cara perahan pendikit minyak sepenuhnya untuk jangka masa panjang, berat penunggang dan beban yang dibawa oleh motosikal.




























6 ulasan:

  1. mmg betul tidak munasabah kalau dgn tangki 5.6 liter utk menampung perjalanan sejauh 338km. nampaknya GT128 lagi jimat...hehehe.. dgn 4.3 liter mampu mencapai 200km dgn kelajuan purata 110km/j. kalau full trothle, dlm 150km. (motosikal standard)

    BalasPadam
  2. kiranya kelebihan moto ni cuma kat U-box ngan coverset yg kurang gegar jer la.... so bg kategori long distance moped, GT masih superb dari segi power (CC), stability, save minyak & value 4 money.. ermm....

    BalasPadam
  3. geng2 gt ni jgn semak boleh x.. hahaha.. APeKBLa2931.. biase la tu, lagi satu bad engineering xkan perfect sgt kot..

    BalasPadam
  4. wakakaka... terpaksa la compare ngan GT... dah diorang konfiden dgn caption "Hero penjelajah jauh" atau "long distance moped" tu... kan so far GT yg lead dalam kategori Touring MOPED nie.... nama pon Grand Tourer... hehehe.... apa2pon.. compare secara sihat la ek.. no kondem2... wakakaka

    BalasPadam
  5. aku baru je pakai 3bln da liking,,,pe hal ye

    BalasPadam
  6. leaking di bahagian mana bro?

    BalasPadam