Sabtu, 28 Julai 2012

Honda Future kini di Malaysia



Tanggal 18 Julai lalu, saya bersama rakan-rakan media lain dijemput Boon Siew Honda untuk sama-sama menyaksikan pelancaran model Honda Future. Lokasi pelancaran ialah di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan (Selangor).


Honda Future merupakan kapcai dalam segmen 125cc. Ia adalah pengganti kepada model Wave 125X Ultimo. Model itu mempunyai beberapa kelebihan berbanding pesaing lain yang mungkin digemari penunggang motosikal atau pelanggan. Antaranya:


* Model ini menawarkan ruang simpanan barang seluas 19 liter. Buka sahaja tempat duduknya, anda boleh menyimpan helmet muka penuh (full face) tanpa sebarang masalah.


* Lampu brek belakang Future menggunakan LED. Masing-masing empat buah lampu LED pada sebelah kiri dan kanan.


* Tangki petrol seluas 5.6 liter. Menurut kajian Mod ECE40, satu tangki membolehkan anda tunggang sejauh 383 kilometer (km).


* Tempat duduk yang agak besar dan lebar untuk soal keselesaan tingkatkan. Meter laju juga dikatakan lebih jernih. Saya sendiri tidak faham apa maknanya meter lebih jernih. Mungkin senang dilihat sewaktu tunggangan.


Tiga varian Honda Future diperkenalkan untuk pilihan para pelanggan. Namun, semua varian itu dilengkapi butang penghidup dan penendang kaki. Perbezaan varian boleh dilihat secara jelas dalam gambar selepas entri ini.


Kesemua model Honda Future didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Jingga Merjan Metalik (oren), Hitam Mutiara Magelanik (hitam) dan Merah Euforia Metalik (merah).


Semasa sesi soal jawab, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada menyatakan model berkenaan sudah ada di pasaran negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.


Okada menyatakan Honda Future ialah moped jarak jauh pertama syarikatnya. Maka tidak hairanlah mengapa motosikal itu memiliki tangki besar, ruang simpanan luas dan tempat duduk yang besar.


Berhubung soal enjin, Ketua Projek Honda Future iaitu Tatsuya Minagawa mengesahkan ia adalah ciptaan baharu. Bukannya diambil enjin daripada Wave 125X Ultimo dan dipasang pada Future. Tempoh pembangunan motosikal itu adalah selama dua tahun.


Pengurus Jualan Kanan Boon Siew Honda, Yee Lip Kwong menyatakan pihaknya berhasrat menjual sebanyak 42,500 unit motosikal itu dalam tempoh 12 bulan. Secara purata, kira-kira 3,500 buah Honda Future setiap bulan.


Tahun lalu, Boon Siew Honda menguasai sebanyak 44 peratus pegangan motosikal underbone dalam industri tempatan. Syarikat itu mengunjurkan peningkatan jualan motosikal sebanyak empat hingga enam peratus bagi tahun ini dan 2013.




Varian 1 (warna oren)


Ia merupakan model paling asas dalam rangkaian Honda Future. Model ini menggunakan rim spoke (jejari) dan set brek cakera pada bahagian hadapan sahaja.
Cadangan harga atas jalan: RM5,578 seunit.


















Varian 2 (warna merah)
Model pertengahan dengan sport rim dan set brek cakera pada bahagian hadapan sahaja.
Cadangan harga atas jalan: RM5,728 seunit.












Varian 3 (warna hitam)
Model tertinggi Honda Future. Ia dilengkapi sport rim dan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang.
Cadangan harga atas jalan: RM5,998 seunit.










PERBEZAAN SPESIFIKASI 

































Tiada ulasan:

Catat Ulasan