Sabtu, 30 Jun 2012

Kawasaki D-Tracker di lancar.



Tarikh 8 Jun lalu, saya dan beberapa rakan lain dijemput untuk menghadiri satu lagi majlis pelancaran oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia). Model yang dilancarkan pada pagi Jumaat itu tidak lain dan tidak bukan - Kawasaki D-Tracker 150.

Kami disajikan dengan ucapan Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim dan diikuti dengan sesi pembentangan produk oleh Ketua Jabatan Pemasaran Kawasaki Malaysia, Steven Ho.


Memetik ucapan perasmian Jeffrey: "Kawasaki Motors Malaysia sedang dan sentiasa memberi fokus pada motosikal premium tetapi hari ini kami melihat ada trend peningkatan dan keperluan untuk motosikal scrambler untuk kegunaan on road dan off road. Oleh itu Kawasaki Motors Malaysia telah memenuhi keperluan ini.

"Motosikal yang diperkenalkan hari ini adalah sebahagian daripada barisan rangkaian produk pertengahan segmen 150cc. Kami menyasar golongan muda iaitu generasi Y.

"Dengan harga premium mampu milik, ia memberikan keupayaan dan kuasa beli untuk memiliki motosikal ini. Motosikal baharu ini merupakan penambahbaikan pada model sedia ada dalam pasaran yang diperkenalkan pada 2009 iaitu KLX150S.

"Kawasaki D-Tracker 150 ialah pilihan ideal untuk mereka yang sedang mencari jentera lebih mesra pengguna dengan gaya dan prestasi motard. Ia ditala untuk menawarkan keseronokan on road dan off road pada masa sama," kata beliau.

Sebenarnya model D-Tracker 150 hampir sama seperti motosikal dwikegunaan KLX150S. Perbezaan paling ketara dilihat dengan mata kasar ialah rim hadapan dan belakangnya. Motosikal ini dibawa dari Indonesia.

Jika diamati, antara berbezaan D-Tracker 150 dengan KLX150S membabitkan perbezaan rim, fork hadapan, cermin sisi dan lampu latar meter laju. Motard ini juga akan menyalakan kedua-dua lampu isyarat membelok apabila dihidupkan.

Perbualan bersama Jeffery selepas majlis pelancaran itu memberi saya pemahaman lebih mendalam mengenai motosikal itu. Seperti dijangka, Kawasaki Malaysia akan memasang D-Tracker di Shah Alam, Selangor sebelum akhir tahun ini.

Bila ditanya sama ada harganya akan diturunkan memandangkan tiada lagi unit import dari Indonesia, Jeffery mengesahkan harganya tetap sama. Sipnosis saya: Kalau mahu beli model ini, apa lagi yang anda tunggu? Harganya tidak akan berganjak.

Harga asas motosikal ini ialah RM9,689 seunit. Lebih mahal RM600 daripada KLX150S. RM600 itu diterjemahkan dengan fork Up-Side-Down, sepasang rim 14 inci, pelekat badan baharu, cermin sisi bersegi dan warna paparan meter biru. Berbaloi? 







































1 ulasan: