Isnin, 2 April 2012

Tunggang Uji Modenas Ace 115 (bahagian pertama)


Tarikh 1 Mac lalu, seperti diketahui, Modenas memperkenalkan motosikal terbarunya. Nama diberikan ialah Ace 115. Jika anda memikirkan apakan sebenarnya maksud Ace. Ia bukannya singkatan sebarang makna. Rekaannya agak unik. Badan macam skuter tetapi pakai enjin jenis cub.

Seorang rakan yang suka tanya motor-motor baru menghampiri saya. Maka lahirlah satu dialog:

Kawan: Motor Modenas tu ok tak?
Saya: Orait. Boleh tahan gak design dia. Siap pakai mono lagi.

Kawan: Tapi rasa motor tu macam tak best je.... (dan mulalah komen-komen negatifnya)
Saya: Ko dah naik motor tu tak?

Kawan: Tak de lar. Aku tengok macam kureng je.
Saya: (malas nak cakap apa dah). 

Inilah senarionya. Jika pernah menunggang motosikal itu, lainlah ceritanya. Bolehlah terima pendapat yang berdasarkan pengalaman. Sememangnya Modenas ada kelemahan juga. Tidak ada mana-mana jenama yang dapat melarikan diri daripada soal kekurangan. Biarlah pengadilan dibuat secara adil. Jangan main cakap kosong.

Kembali semula kepada tujuan entri kali ini, sesi tunggang uji model Ace 115 di Litar MIMC di Air Keroh, Melaka. Aktiviti anjuran Modenas itu diadakan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Mac. Hari pertama, jemputan wartawan dan para blogger dikumpulkan di lobi Hotel Holiday Inn Kuala Lumpur sekitar pukul 2 petang.

Kemudian masing-masing menaiki bas menuju Hotel Grand Continental Melaka. Dalam perjalanan, filem Planet of The Apes ditayangkan sebagai hiburan sepanjang perjalanan.

Setiba di hotel berkenaan, masing-masing mengambil kunci dan menuju bilik yang disediakan. Kami berehat seketika dahulu sebelum kembali berkumpul di tingkat 10 untuk makan malam dan sesi taklimat teknikal.

Menanti kami di sana ialah Ketua Pegawai Ekskutif Modenas, En. Abdul Halim Ismail bersama beberapa orang kuat Modenas. En. Abdul Halim seorang yang mudah bermesra, tidak meninggi diri dan sedia mendengar apa jua pandangan atau kritikan kami.

Taklimat diadakan selepas makan malam. Secara ringkas, inilah butirannya:

Sasaran Pelanggan         : 16 hingga 24 tahun. Remaja trendy.
Kegunaan utama             : Tunggangan dalam bandar
                                        : Jarak tunggangan harian antara 30 hingga 100km.
Konsep                            : Cub + Skuter.
Tujuan                             : Fun bike dan bukannya performance atau berkuasa.
Ciri                                  : Monoshock, rim 16 inci, lampu hadapan standard Eropah, 
                                          meter laju jenis ringkas,
                                          kekunci penghidup dengan pengatup keselamatan, 
                                          tangki minyak 5.3 liter.
Berat kering                    : 100kg
Kelajuan                         : 86.9km/j.
Petrol                              : satu liter = sejauh 47km pada kelajuan 80km/j.
Spoket                            : Depan 14, belakang 39.
Tayar                              : IRC