Isnin, 2 April 2012

Tunggang Uji Modenas Ace 115 (bahagian kedua)


SEKITAR pukul 8.45 pagi, saya keluar dari bilik hotel yang disediakan Modenas. Sejurus tiba di ruangan lobi hotel, kelihatan sebilangan besar jemputan Modenas sedang menjamu sarapan pagi. Saya kemudiannya menyertai para tetamu menikmati sarapan ringan.


Jam menunjukkan sudah pukul 9 pagi. Sempat melayan rokok bersama beberapa rakan lain sebelum menaiki bas yang sedia ada di bahagian tepi hotel. Bas bergerak menuju destinasi iaitu Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Air Keroh, Melaka.


Barisan penunggang di litar MIMC
Tiba sahaja di perkarangan litar sepanjang 1.7 kilometer (km), kelihatan sembilan unit Ace 115 menanti kami. Turut terselit ialah dua unit Kriss MR1. Taklimat ringkas disampaikan. Diikuti dengan sesi bergambar beramai-ramai. Soal keselamatan wartawan dan para bloger tidak diabaikan Modenas. Peralatan keselamatan disediakan untuk kami.


Sesi dimulakan dengan dua kumpulan. Kumpulan pertama akan melalui tiga pusingan lap dan diserahkan motosikal Ace 115 kepada kumpulan kedua. Ketika menunggang pada lap pertama, sudah terasa keupayaan pikap jentera buatan Modenas.


Cukup responsif. Pikap selepas selekoh tajam seolah-olah menanti masa untuk meledak. Kestabilan jentera disifatkan cukup baik. Dengan sengaja saya menghentak gear ketiga turun kepada dua pada kelajuan hampir 90km/j, tetapi tidak pula terasa membuang tayarnya. Membuai pun tiada.


Pusingan pertama...kenali litar
Cuma motosikal ini kurang top (kelajuan maksimum). Faktornya, Ace 115 untuk kegunaan dalam bandar. Top bukannya tidak penting tetapi tork lebih penting. Jika ada yang mahu lebih berkuasa, tidak jadi masalah. Sebab, Ace 115 menggunakan enjin Kriss 120. Buatan Kawasaki. Hendak modifikasi, barang-barang sudah ada di kedai-kedai alat ganti (spareparts).


Gegaran enjin kurang dirasai. Begitu juga getaran cover set. Soal kemudi ke kiri atau kanan bahu jalan cukup mudah walaupun berat kering motosikal sebanyak 100kg. Hendal Ace 115 ini sedikit pendek berbanding Kriss 120. Keseronokan dan kestabilan menunggang dibantu tiga perkara utama. Apa lagi jika bukan monoshock jenis Kayaba, tayar jenis IRC NR dan kerangka badan jenis petak.


Untuk sedikit kelegaan, Modenas memasang tangki petrol berukuran 5.3 liter. Paling besar dalam kelas tersendiri. Setiap tangki membolehkan jarak perjalanan antara 200km hingga 250km. Lebih tepat, setiap liter petrol memberi jarak 46.1km.


Melayan 5 lap di MIMC, kelajuan yang hampir dicecah ialah 110km/j. Kalau diikutkan data kelajuan  maksimum menerusi ujian kejuruteraan Modenas, angka tepat ialah 86.9km/j. Saya beranggapan meter Ace 115 mungkin jenis ringan.


Satu perkara yang membantu jimatkan duit poket ialah material pada cover set Ace 115. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu polipropilena dan abs. Kelebihan polipropilena, ia liat dan sukar pecah jika terjatuh atau terlibat dalam kemalangan. Warnanya ialah hitam. Bahan ABS pula berwarna putih atau merah dan akan pecah jika terlibat kena impak kuat.


Selesai sudah tunggang uji di litar, kami diberi peluang untuk memberi komen mengenai motosikal Ace 115 pada satu sesi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, En. Abdul Halim Ismail. Turut bersama kami ialah orang-orang kuat Modenas seperti Kak Nor dan Nazirah.


Saya diakui ujian ini tidak adil jika tidak diadakan dalam kawasan bandar. Alasannya mudah, ini motosikal bandar. Ia perlu diuji dalam bandar. Di litar, saya menguji pada aspek kawalan, pecutan, pikap dan keseimbangan.


Tunggangan dalam bandar akan ditulis pada entri bahagian ketiga.


Nota: Gambar-gambar yang disiarkan pada entri bahagian kedua ini hasil tangkapan dan hak milik Nazirah Modenas. Jika ada yang ingin menggunakan semula, sila maklumkan dan dapatkan persetujuan terlebih dahulu. Sama-sama kita hormati hak orang lain.


En. Abdul Halim ditemuramah TV3
Ghani Kapcai (kiri) dan Tok Wan BCM dengan aksi burnout





Kumpulan pertama bersama orang-orang kuat Modenas
Semua yang hadir dalam sesi kali ini.