Isnin, 2 April 2012

Modenas Ace 115 dilancar.


Moped berwajah seperti sebuah skuter hasil rekaan tenaga kepakaran tempatan bakal memberi saingan kepada motosikal jenama Jepun dan Korea di Malaysia.

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) baru-baru ini melancarkan model motosikal moped terbaharunya iaitu Modenas Ace 115. 

Jentera keluaran anak syarikat DRB-HICOM Bhd. itu dijangka mendahului segmen tersendiri dalam pasaran Malaysia. Motosikal empat lejang itu mengambil masa 24 bulan untuk dibangunkan. 

Reka bentuk Modenas Ace 115 kelihatan seperti sebuah skuter terutama pada bahagian hadapan. Roda hadapan dan belakangnya menggunakan rim sport bersaiz 16 inci. 

Selain itu, Modenas Ace 115 memiliki tempat duduk dua tona iaitu hitam dan kelabu. Ekzosnya pula lebih panjang dan bersegi. Antara ciri baharu yang diadaptasi ialah sistem suspensi belakang jenis tunggal (monoshock). 

Jentera itu dipasang enjin bersesaran 120cc berasaskan teknologi Kawasaki. Ia dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan sistem berputar. Enjin Ace 115 berupaya menghasilkan kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 7.3kW @ 8,500rpm dan 9.1Nm @ 4,000rpm. 

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abd. Halim Ismail dalam ucapannya memberitahu, model yang dilengkapi dengan tangki petrol berukuran 5.3 liter mampu merekodkan jarak perjalanan sehingga 250 kilometer (km) pada kelajuan purata 80km sejam (km/j). Model itu disasarkan kepada pelanggan yang berusia antara 18 hingga 35 tahun.

"Kami telah meningkatkan ujian ketahanan di jalan raya daripada 10,000km kepada 20,000km. Di samping ujian dynamometer daripada 200 jam kepada 300 jam," katanya. 

Modenas  mengunjurkan jualan model Ace 115 sebanyak 1,500 hingga 2,000 unit sebulan. Ditawarkan pada harga RM4,600 seunit, Ace 115 didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu merah dan putih.

Sumber: Kosmo!