Jumaat, 23 Mac 2012

Alza SR lebih murah



KENDERAAN pelbagai guna (MPV) kompak paling popular di negara ini, Perodua Alza kini dijangka menggandakan popularitinya menerusi pengenalan varian baharu iaitu Alza SR (Perodua Alza Smart Ride). Model itu dibangunkan khas buat pembeli yang menitikberat soal fleksibiliti dan kebebasan sewaktu pemanduan.


Sudah berada di semua 178 buah bilik pameran Perodua di seluruh negara, Alza SR yang didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu perak, putih dan ungu kini sedia menerima tempahan. Model baharu itu didatangkan dengan transmisi manual (BX) dan automatik (BZ). Harganya ternyata lebih rendah jika dibandingkan dengan model-model terdahulu.


Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh menyatakan menerusi pengenalan varian Alza SR, ia menjadi lebih mampu milik untuk pengguna tempatan yang mencari kenderaan dengan ruang kargo besar.


"Pelanggan kami sukakan versatiliti dan fungsi Alza. Mereka juga tidak kisah dengan kurangnya ciri-ciri berbanding model standard dan varian lain. Namun, ini tidak bermakna kami berkompromi dengan aspek keselamatan dan estetik Alza SR."


Alza SR disasarkan kepada golongan keluarga muda yang mahukan MPV dengan ciri sebuah sedan dan ruang tambahan untuk penggunaan harian serta perjalanan balik ke kampung," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.Jelasnya, sejak Perodua Alza diperkenalkan pada November 2009, sebanyak 81,000 unit MPV itu sudah dijual. 


Ini menjadikannya model MPV paling digemari. Untuk varian baharu ini, Aminar mengunjurkan jualan sebanyak 400 unit sebulan atau merangkumi sekitar 13 peratus jualan Alza setiap bulan. Untuk makluman, varian Alza SR tidak didatangkan dengan aksesori seperti lampu kabus, spoiler belakang dan pengelap cermin belakang. 


Malah cermin pelindungan ultraungu hanya dipasang pada cermin hadapan sahaja. Perlu tahu juga bahawa varian tersebut tidak dilengkapi beg udara, sistem brek anti kunci (ABS) dengan EBD dan BA. Malah varian transmisi automatik Alza SR mempunyai brek tangan yang diletakkan pada bahagian tengah tempat duduk hadapan. 


Turut dipasang ialah barisan kerusi jenis tunggal pada baris tempat duduk pertama. Ciri tempat duduk tunggal itu bagaimanapun hanya untuk varian automatik.Perodual Alza SR ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans bermula serendah RM53,013.50 sehingga RM56,513.50. Jaminan yang diberikan ialah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (km) dengan pilihan lanjutan jaminan selama dua tahun atau perbatuan 50,000km.


Sumber: Kosmo!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan