Khamis, 1 Disember 2011

Wave Dash SE Repsol

SELEPAS memperkenalkan motosikal Honda Wave Dash pada April lalu, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) kini tampil dengan varian Honda Wave Dash SE versi Repsol. Model edisi khas itu mewarisi spesifikasi sama seperti yang terdapat pada model Wave Dash biasa.

Badan Wave Dash SE diberi padanan grafik Repsol serta didatangkan dalam empat warna iaitu hitam, oren, putih dan merah. Rimnya berwarna oren, sama seperti jentera perlumbaan Repsol Honda Team. Jentera tersebut hanya ditawarkan bersama penghidup elektrik dan dalam kuantiti yang terhad.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada berkata, model tersebut mencerminkan semangat juara Honda Racing Corporation. Ia diperkenalkan untuk memenuhi permintaan peminat-peminat pasukan lumba Honda.

"Ia merupakan sebuah motosikal sporty yang menjanjikan prestasi terunggul tanpa menjejaskan keselesaan tunggangan, keselamatan dan menjimatkan petrol," katanya dalam satu kenyataan.

Motosikal jenama Jepun itu dipasang dengan enjin empat lejang bersesaran 109.1 cc. Ia berupaya menjana kuasa kuda maksimum 6.22kW pada 7,500 rpm. Tork maksimum ialah 8.59Nm @ 5,500 rpm.

Kelancaran prestasi jentera itu turut disandarkan pada faktor kombinasi nisbah gear.Penggunaan kowling atas dan bawah yang aerodinamik membolehkan bunyi angin dikurangkan dan memberi kestabilan sewaktu tunggangan pada kelajuan tinggi.

Untuk memberhentikan jentera ini, khidmat brek cakera hadapan cross drilled dan brek drum pada roda belakang digunakan.Ciri-ciri lain ialah tempat duduk ergonomik, pemijak aluminium untuk pembonceng, pelindung haba paip ekzos, peredam bunyi sporty dan sistem kunci berganda.

Harga atas jalan Honda Wave Dash SE ialah RM5,368 termasuk insurans. Boon Siew Honda memberi jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (mana-mana lebih dahulu).Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol Boon Siew Honda: 1800-88-3993 atau layari laman web www.boonsiewhonda.com.my.

Sumber: Kosmo!










2 ulasan: