Khamis, 1 Disember 2011

Proton Saga FLX SE diperkenalkan

PROTON Holdings Berhad (Proton) baru-baru ini memperkenalkan jentera varian terbaharunya iaitu Saga FLX SE. Model ini dikatakan menawarkan keseronokan pemanduan, lebih berprestasi dan memberi penjimatan minyak berbanding model sebelumnya.

Jentera sedan nasional ini mengguna khidmat enjin 1.6 litre Campro IAFM dan dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Ia menjana kuasa kilas yang lebih baik, peningkatan kuasa pecutan sebanyak empat peratus serta mengurangkan penggunaan minyak (juga sebanyak empat peratus) berbanding model Saga 1.6 liter sebelum ini.

Harga kereta baharu ini ialah RM49,449 (untuk Semenanjung Malaysia). Ia bakal diperagakan dalam semua bilik pameran Proton mulai 1 Disember ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan berkata, model entry level itu ditujukan kepada pembeli kenderaan generasi muda. Katanya, selain mampu milik, ia menyajikan prestasi yang memberangsangkan.  

“FLX SE secara efektif meluaskan lagi rangkaian Saga. Dengan kapasiti enjin yang lebih tinggi, ia mengukuhkan lagi Saga sebagai kenderaan pilihan rakyat dan nilai untuk wang,” katanya dalam satu kenyataan.

Harus diakui model baharu ini lebih mahal kira-kira RM2,900 berbanding model 1.6-litre automatic Saga FL. Namun, ia membabitkan beberapa pembaharuan. Antaranya ialah rim aloi 15 inci, bodykit, lampu kabus dan lampu belakang smoke. Ruang kabin pula diberi pengenaan material kulit pada beberapa bahagian termasuk tempat duduk, stereng dan brek parkir.

Untuk pengetahuan, sejak Saga diperkenalkan pada Januari 2008, sudah ada 274,469 unit di atas jalan manakala tempahan dengan pihak Proton pula sebanyak 331,768 unit. Syed Zainal Abidin menjangkakan jualan model Saga FLX SE dalam kawasan serantau sebanyak 500 unit sebulan.

Ia didatangkan dalam dua warna pilihan iaitu Solid White dan Fire Red. Jaminan pula selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu)


INFO
.......
Harga atas jalan:

                                               Solid                Metallic
Semenanjung Malaysia :           RM49,449         RM49,899

Timur Malaysia :                       RM52,049         RM52,499

Labuan :                                   RM47,449         RM47,899

Langkawi :                                RM47,349         RM47,799





Tiada ulasan:

Catat Ulasan