Isnin, 19 Disember 2011

Trio 2012

Tiga model untuk segmen berbeza

Lebih 300 orang pengunjung memenuhi kawasan pameran Kawasaki pada acara COTY2U 2011 baru-baru ini untuk menyaksikan secara dekat pelancaran model Versys 1000, W800 dan ZZR 1400 ABS.

Oleh  SHAWKATH  AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

AWAL November lalu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) memperkenalkan barisan motosikal berkuasa tinggi bagi tahun 2012. Tiga model yang diperkenalkan ialah Versys 1000 untuk segmen dual purpose, W800 untuk classic vintage dan ZZR 1400 ABS bagi segmen sports.

Ketiga-tiganya merupakan jentera yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Inisiatif itu menjadikan Kawasaki Malaysia sebagai antara syarikat pengedar dan pemasang motosikal jenama Jepun di Malaysia yang terawal mengumumkan tawaran bagi tahun 2012.

Pelancarannya mengambil tempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur bersempena Pameran Kenderan COTY2U 2011. Bagi menjadikannya cukup simbolik, masa pelancaran diadakan tepat pada pukul 3.33 petang seiring dengan angka tiga untuk tiga model baharu itu.

Suasana pelancaran semakin meriah apabila kain yang menutupi ketiga-tiga motosikal itu mula dilucutkan. Jentera paling pantas di dunia, ZZR 1400 menjadi model terakhir didedahkan selepas model W800 dan Versys 1000.

Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim meletakkan sasaran jualan 200 unit untuk kesemua model berkenaan.

"Saya percaya Versys 1000 akan menjadi pemacu jualan di antara ketiga-tiga produk baharu ini. Bagi ZZR 1400 ABS, kami tidak meletakkan unjuran tinggi kerana pengenalannya hanya untuk mereka yang mahukan sebuah jentera yang benar-benar pantas. Ia sebagai alternatif kepada peminat-peminat motosikal di negara ini," katanya.

Versys 1000.

Istilah Versys berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu versatile dan system. Baru dua tahun model Versys 650 dilancarkan, ia berjaya merangkul dua anugerah iaitu Motorcycle of the Year Award oleh Motorcyclist Magazine dan Best in Class daripada Motor Cycle News.

Beberapa tahun kemudian, timbul desas-desus dalam forum-forum motosikal di Internet. Khabarnya, Kawasaki dalam perancangan untuk memperkenalkan model Versys baharu. Pengeluar Jepun tersebut menamatkan semua ramalan dan khabar angin sewaktu Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2011 di Itali baru-baru ini.

Acara tahunan yang menerima kunjungan lebih setengah juta pelawat itu menjadi platform Kawasaki memperkenalkan Versys 1000. Versys 1000 diberi padanan enjin sama seperti yang digunakan pada model Streetfighter Z1000.

Enjin empat silinder bersesaran 1,043cc diberi penalaan semula untuk dipadankan dengan karakter sebuah adventure bike on-road. Apa yang mahu ditawarkan ialah enjin fleksibel untuk keseronokan ketika ditunggang pada rpm rendah dan semakin agresif pada rpm pertengahan hingga rpm tinggi.

Model seberat 239 kilogram (kg) dengan tangki petrol berkapasiti 21 liter itu dilengkapi dengan 3-Mode KTRC (Kawasaki Traction Control) untuk semua jenis tunggangan. Mode 1 dan 2 untuk pecutan maksimum, manakala mode 3 untuk kestabilan tunggangan.




W800.
Bagi penggemar jentera klasik dan vintage, pengenalan W800 pastinya menggamit memori. Ia menghidupkan kembali imej model legenda Kawasaki W1 yang diperkenalkan sejak tahun 1966. Harus diketahui, model W1 merupakan langkah pertama diambil Kawasaki untuk menjadi pengeluar jentera bersesaran tinggi.

Kali ini, enjin empat lejang Vertical Twin sejukan udara bersesaran 773cc digunakan. Jentera dengan transmisi lima kelajuan itu dilengkapi bersama sistem suntikan bahan api. Ia mampu menjana kuasa tork pada putaran enjin (rpm) rendah sehingga sederhana, sekali gus menawarkan tunggangan sebuah motosikal vintaj.

Penampilan jentera dihasilkan dengan cukup terperinci dan memiliki nilai seni yang tinggi. Banyak komponen logam digunakan berbanding komponen plastik. Adunan komponen perintang kakisan dan krom menyerlahkan lagi tarikannya di atas jalan.

Saiz rim 19 inci dan 18 inci pada roda hadapan dan belakang menguatkan lagi rasa tunggangan jentera klasik, selain soal keseimbangan tunggangan. Tempat duduk yang panjang memastikan keselesaan buat penunggang dan pemboncengnya.

Paparan meter bulat terbahagi kepada dua unit iaitu meter laju dan takometer. Turut dikenakan ialah skrin LCD yang mengabungkan paparan jam, jarak perjalanan dan odometer. Selain itu, pelbagai petunjuk dipaparkan pada meter seperti lampu amaran sistem suntikan bahan api, lampu signal, takat bahan api, lampu tinggi dan lampu amaran tekanan minyak.

Sistem suspensinya membabitkan fork teleskopik 39 milimeter (mm) pada bahagian hadapan. Sementara roda belakang menggunakan penyerap hentak kembar jenis pegas gegelung pra-bebanan.

Brek cakera tunggal 300mm pada roda hadapan dan jenis drum di belakang berperanan untuk memberhentikan jentera itu.

ZZR 1400 ABS.


Ia digelar raja segala motosikal sport dan didakwa sebagai motosikal produksi yang memiliki pecutan paling pantas di dunia. ZZR 1400 ABS berupaya meledakkan kuasa kuda dan tork maksimum mencecah 210PS @ 10,000rpm dan 162 5Nm @ 7,500 RPM.

Kuasa dijana oleh unit enjin empat lejang sejukan cecair bersesaran 1,441cc. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Motosikal seberat 268kg itu memiliki tangki petrol berkapasiti 22 liter. Apa yang menarik ialah model tersebut turut menawarkan penjimatan bahan bakar sehingga lapan peratus jika dibandingkan dengan model sebelumnya.

Rahsianya terletak pada pengaturcaraan ECU. ZZR 1400 ABS versi 2012 diberi beberapa penambahbaikan. Antaranya ialah kerangka aluminium monocoque, lengan ayun lebih panjang, dua pilihan mod kuasa, sistem brek ABS dan banyak lagi.

Harga jualan bagi model Versys 1000 ialah RM75,900 seunit. Sementara model W800 pula ditawarkan pada harga RM58,900 seunit dan ZZR 1400 ABS ialah RM99,900 sebuah. Harga itu tidak termasuk caj-caj lain.

Sumber: Kosmo!


Kain mula dilucutkan

Penyeri majlis

Menanti saat pelancaran




Versys 1000 diperkenalkan


Lampu hadapan Versys 1000


Double disc Versys 1000

Meter Versys 1000

Enjin Inline four pada Versys 1000

Lampu belakang dan signal Versys 1000




ZZR1400 ABS

Meter ZZR1400 ABS

Ekzos ZZR1400 ABS

Set lampu belakang dan signal ZZR1400 ABS



Pandangan sisi ZZR1400 ABS

Lampu ZZR1400 ABS








W800

Lampu hadapan W800

Rim 19 inci W800

Ekzos kembar W800 

Adunan komponen krom pada bahagian enjin W800



Signal dan lampu belakang W800

Meter W800


Tiada ulasan:

Catat Ulasan