Isnin, 19 Disember 2011

Mercedes-Benz tayang Smart ForTwo

BUAT julung-julung kalinya, Mercedes-Benz Malaysia membawa masuk kenderaan elektrik  Smart For Two ke negara ini untuk tontonan umum.

Dipamerkan di pusat beli-belah One Utama di Damansara, Selangor baru-baru ini, ia memberi peluang dan pendedahan kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri teknologi hijau jentera kompak tersebut.

Untuk makluman, model yang diperagakan itu merupakan generasi kedua. Generasi pertama kenderaan elektrik itu telah diproduksi pada November 2009.

Sebanyak 1,500 unit dihasilkan untuk kegunaan bandar-bandar di Eropah dan Amerika Utara.

Model generasi kedua dibina menggunakan model  Smart ForTwo. Unit enjin pembakaran dalaman ditanggalkan dan diganti dengan set komponen pacuan elektrik sepenuhnya.

Ia dilengkapi dengan motor elektrik magneto 30 kilowatt yang dipasang pada bahagian belakang. Ia berupaya menjana kuasa tork 120Nm.

Pecutan daripada 0 kilometer (km) hingga 60 km mengambil masa 6.5 saat. Ia hampir menyamai jentera yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman. Kelajuan maksimum ialah 100km sejam.

Model ini hanya memiliki nisbah gear tunggal. Jadi, anda tidak perlu menukar gear sewaktu dalam kesesakan lalu-lintas di bandar.

Untuk mengundur pula, pergerakan enjin akan beralih ke arah bertentangan apabila tombol gear ditolak ke huruf R.

Jentera tersebut dilengkapi bateri lithium ion keluaran Tesla Motors Inc. Bateri tersebut ditempatkan di bawah barisan tempat duduk yang memberikan keseimbangan antara berat bateri dan motor.

Masa yang diperlukan untuk pengecasan penuh ialah selama lapan jam. Ia boleh dibuat menerusi soket tiga pin seperti yang terdapat di rumah.

Dengan setiap caj penuh, kenderaan hijau itu boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 135km.Untuk mengetahui status dan penggunaan tenaga elektrik, kereta Smart  itu dilengkapi dua meter khas.

Satu untuk menunjukkan status baki tenaga bateri, manakala satu lagi ialah petunjuk penggunaan tenaga sewaktu kenderaan bergerak.

Sumber: Kosmo!






























Tiada ulasan:

Catat Ulasan