Ahad, 20 November 2011

Sante Fe lebih mampu milik


HYUNDAI-SIME Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) kini memiliki rangkaian lengkap model Inokom Santa Fe menerusi pengenalan varian petrol mampu miliknya iaitu Santa Fe 2.4. Jentera yang dinobatkan sebagai kenderaan boleh dipercayai menerusi Kaji Selidik Laporan Tahunan Konsumer Auto 2010 di Amerika Syarikat (AS) itu didatangkan dalam spesifikasi standard.

SUV tujuh tempat duduk itu masih menggunakan khidmat enjin 2.4 liter Theta II yang berupaya menjana kuasa dan tork maksimum masing-masing sebanyak 174PS dan 228Nm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan bebas penyelenggaraan.

Transmisi itu juga berupaya berubah daripada sistem pacuan dua roda kepada sistem pacuan empat roda atau penguncian empat roda secara elektronik dengan hanya menekan satu butang.Perbezaan utama dengan varian premium terletak pada bahagian dalamannya.

Varian standard tidak diberikan unit navigasi audio video/GPS (AVN), bumbung suria, kunci pintar, butang Start/Stop, kamera undur dan tempat duduk kuasa. Varian itu didatangkan dengan kerusi kulit hitam.

Untuk makluman, Santa Fe telah menerima penarafan keselamatan lima bintang NCAP (NHTSA) untuk ujian impak pelanggaran bahagian hadapan dan sisi. Jentera itu ditawarkan pada harga RM150,888 seunit (atas jalan, termasuk cukai jalan dan insurans).

HSDM menawarkan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 300,000 kilometer (mana-mana yang tiba dahulu). Khidmat servis bantuan 24 jam turut diberikan.Maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan HSDM: 1-300-13-2000.

Sumber: Kosmo!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan