Ahad, 20 November 2011

Tuah periksa angin tayar dengan Michelin

Pemenang: Harriezan

DENGAN hanya membuat pemeriksaan angin tayar dan mengisi borang penyertaan sempena kempen Michelin Fill Up With Air (FUWA), Harriezan Ahmad memenangi peluang memandu sebuah jentera Formula 3 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.

Pemanduan jentera berprestasi itu diadakan di bawah Program Super Michelin Pilot Experience (MPE) anjuran Michelin Malaysia Sdn. Bhd. (Michelin Malaysia). Harriezan bersama lebih 280 pelanggan, pengedar tayar, rakan kerjasama Michelin Malaysia dan pengamal media dari rantau Asia Pasifik terlibat dalam pelbagai aktiviti di SIC termasuk memandu jentera Formula Michelin satu tempat duduk.

"Ini memang satu pengalaman yang jarang diperoleh dan bermakna buat saya. Belum tentu saya akan berpeluang untuk memandu dan memijak pedal sebuah kereta lumba seperti ini lagi. Pemanduan sebenar dan kuasa pecutannya amat mengagumkan," kata Harriezan.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Yves Pouliquen berkata, MPE membuka peluang untuk syarikat mengetengahkan pengalaman, inovasi dan teknologi kepada pelanggan menerusi aktiviti di trek.

Menurut Pouliquen lagi, kepakaran dan pengetahuan luas yang diperoleh daripada pengalaman selama bertahun-tahun di atas litar lumba telah diterjemahkan ke dalam inovasi teknologi tayar yang baharu, di samping memastikan tayar-tayar Michelin memiliki prestasi dan kualiti tinggi.

Para peserta sempat memandu jentera berkuasa tinggi seperti Renault Clio Cup, bermain simulasi perlumbaan, menyertai perlumbaan go-kart dan pengalaman menjadi krew pit dalam Pit Stop Challenge.

Selain itu, mereka juga diberi peluang menaiki jentera Formula 2-seater dan Porsche GT3 Cup yang dipandu oleh pemandu profesional Michelin.


Sumber: Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan