Ahad, 20 November 2011

Monster untuk pasaran ASEAN


Monster 795 berbeza dengan Monster 796 dari segi ketinggian tempat duduk, memiliki dua tempat duduk (model 796 hanya ada satu tempat duduk). Selain penggunaan double swing arm serta hendal 20 milimeter (mm) lebih tinggi.

Oleh  SHAWKATH  AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

TAHUN 1992 menyaksikan pengeluar Ducati menayangkan jentera naked iaitu Monster 900. Pengenalannya menerusi Cologne Motor Show nyata mengejutkan industri motosikal pada ketika itu. Pereka jentera bersesaran 904 cc itu ialah Miguel Angel Galluzzi.

Menerusi Monster, Galluzzi berjaya merealisasikan konsepnya iaitu 'anda hanya memerlukan tempat duduk, sebuah tangki, enjin, dua roda dan hendal.' Ia dikatakan bukan sekadar sebuah motosikal tetapi sebagai satu gaya hidup yang lengkap.

Nama sebenar Monster bukan berasal daripada perkataan Inggeris. Sebaliknya,ia berasal daripada perkataan Mostro (dialek Bolognese) yang bermaksud raksasa (monster). Nama itu diberikan oleh pekerja-pekerja Ducati.

Sejak itu, hampir setiap tahun Ducati memperkenalkan varian-varian baharu Monster. Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pasific, Mirko Bordiga menyatakan Monster mencatat jualan tertinggi model Ducati di seluruh dunia. Ia sebuah ikon dan memainkan peranan penting dalam sejarah Ducati.

Tarikh 10 Oktober, di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur, tersadai sebuah kotak kayu dengan logo Ducati dengan catatan pengumuman satu kejutan bertarikh 20 Oktober 2011. Kotak itu kemudiannya muncul pula di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor sewaktu program Bikepalooza.Ia sengaja ditempatkan di kawasan tumpuan ramai oleh Naza World. Tujuannya untuk membolehkan pengunjung mengintai apa yang ada di dalamnya.

Ketika mengintai, hanya kelihatan lampu hadapan sebuah motosikal. Keseluruhan jentera diselimuti dengan sehelai kain. Itulah Monster 795.Tanggal 20 Oktober lalu, model yang dinantikan itu akhirnya dilancarkan. Pelancaran jentera naked tersebut bukannya pelancaran seperti sebelum ini. Ia merupakan pelancaran global! Inilah model Ducati khas untuk pasaran ASEAN.


Enjin Desmodue 796Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, Naib Presiden dan Pengarah Komersial Ducati Motor Holding, Cristiano Silei, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pacific, Mirko Bordiga, juara dunia sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Bordigo menyatakan pemilihan Malaysia sebagai lokasi pelancaran adalah kerana negara ini memiliki ramai peminat Ducati dan perlumbaan MotoGP. SM Faisal pula optimis model baharu itu mampu menyumbang kepada peningkatan Ducati di negara ini.

Model bersesaran 803cc itu menggunakan khidmat enjin Desmodue 796 yang berupaya menjana kuasa dan tork maksimum masing-masing sebanyak 87 kuasa kuda @ 8,250rpm dan 78Nm @ 6,250rpm. Jeda servis Monster itu ialah setiap 12,000 kilometer. Model itu sedikit berbeza dengan Monster 796.

Antaranya ialah aspek ketinggian tempat duduk dan memiliki dua tempat duduk (model 796 hanya ada satu tempat duduk). Selain penggunaan double swing arm serta hendal 20 milimeter (mm) lebih tinggi. Ia sesuai untuk tunggangan dalam bandar-bandar di negara-negara Asia Tenggara.

Tugas menghentikan jentera naked itu diserahkan kepada dua set brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Bahagian hadapan dilengkapi angkup empat omboh dan dua omboh pada roda belakang jenama Brembo.

Meter instrumen Monster 795 berlatar belakang pencahayaan putih dan memaparkan pelbagai data. Antaranya ialah kelajuan, rev, masa, jadual penyelenggaraan, suhu minyak enjin, status minyak petrol, lampu amaran untuk tekanan minyak rendah, takat minyak, lampu membelok, lampu tinggi dan pemilihan gear neutral.

Sewaktu pelancaran model berkenaan, SM Faisal menyatakan terdapat lebih 1,400 pemilik Ducati di negara ini. Malah pengenalan varian Monster baharu pasti akan melonjakkan bilangan motosikal jenama Itali itu.

Buktinya, selepas hanya tiga minggu diperkenalkan, tempahan yang diterima sudah melepasi paras 200 unit. Bayaran pendahuluan hanya RM1,000. Harga bersih jualan Monster 795 ialah RM59,900. Ternyata ia jentera berkuasa tinggi yang mampu milik.

Sumber: Kosmo!





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan