Ahad, 20 November 2011

Dainese buka butik pertama di Malaysia


Oleh SHAWKATH  AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

JIKA sebelum ini, orang ramai agak sukar untuk mendapatkan rangkaian produk dan aksesori pakaian jenama  Dainese  dalam pasaran tempatan. Kebanyakan barangan  Dainese  yang ada dibawa oleh grey importer atau dikirim kepada mereka yang berkunjung ke luar negara.

Risiko yang dihadapi para pembeli pastinya berkait rapat dengan soal ketulenan dan kualiti barangan berkenaan. Kini anda tidak perlu bimbang lagi kerana butik dan bilik pameran pertama  Dainese  iaitu D-Store sudah dibuka di Plaza TTDI, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur.

Butik dan bilik pameran tersebut dikendalikan oleh JR Apparels Sdn. Bhd. (JR Apparels). Untuk pengetahuan umum, JR Apparels ialah pengedar rasmi jenama  Dainese  di Malaysia dan memiliki hubung kait secara langsung dengan JR Pte. Ltd. di Singapura (JR Singapura). JR Singapura merupakan pengedar barangan jenama Dainese, LighTech, Gaerne, Metzeler, EBC Brakes dan K&N di republik tersebut.

Pengarah Eksekutif JR Apparels, Tan Soon Cheong berkata, premis dengan keluasan 100 meter persegi itu menawarkan rangkaian pakaian dan aksesori keselamatan tunggangan lengkap untuk penunggang motosikal dan sukan ekstrem.

Turut ditawarkan ialah pakaian untuk penunggang wanita. Produk yang ditawarkan membabitkan pelbagai pilihan baju dan jaket keselamatan, pelindung tulang belakang, bahu, pinggul, dada lelaki dan wanita, kasut perlumbaan dan kasual, topi keledar, seluar perlumbaan, set baju perlumbaan penuh, rangkaian sarung tangan, rangkaian beg serta cenderamata jenama Dainese.

" Dainese dipilih kerana ia merupakan jenama premium yang memberi keutamaan pada aspek keselamatan untuk para penunggang. Prinsip syarikat Dainese seiring dengan syarikat kami iaitu mengutamakan soal pentingnya keselamatan," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis pelancaran bilik pameran Dainese baru-baru ini.

Dari kiri: Razlan dan Hayden
Hadir sama pada majlis tersebut ialah pelumba Moto GP, Nicky Hayden; Duta Itali ke Malaysia, Folca de Luca Gabrielli; Pengurus Kawasan Asia  Dainese , Tommaso Bruzzese dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.

Menurut Soon Cheong, perbincangan untuk membuka rangkaian butik  Dainese  di Malaysia bermula sejak awal tahun dan persetujuan persefahaman dicapai sekitar bulan Mac lalu.

Pembukaan premis tersebut membabitkan pelaburan sebanyak RM800,000 yang turut meliputi inventori.Untuk rancangan pengembangan, JR Apparels berhasrat melantik pengedar-pengedar di sekitar Lembah Klang terlebih dahulu, sebelum melebarkan sayapnya ke Pulau Pinang, Perak dan Johor.

"Kami merancang untuk melantik sekurang-kurangnya lapan hingga sepuluh orang pengedar menjelang akhir tahun depan. Buat masa ini, perbincangan awal sudah dimulakan dengan beberapa pihak.

Namun keputusan mengenainya akan diumumkan kelak," tambahnya.Setakat artikel ini ditulis, harga barangan yang ditawarkan bermula serendah RM30 (rantai kunci) sehingga RM14,400 untuk satu set baju perlumbaan penuh.

Butik itu dibuka seawal 10.30 pagi sehingga 7.30 malam mulai hari Isnin hingga Sabtu. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-77241808.

Sumber: Kosmo!







































Tiada ulasan:

Catat Ulasan