Selasa, 22 November 2011

Penunggang lagak ngeri 10 terbaik dunia

Bermula sekadar hobi, ia kemudian menjadi kerjaya sepenuh masa sejak lapan tahun lalu. Dia kini merupakan antara sepuluh penunggang stunt terbaik dunia.


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

SEWAKTU berusia sembilan tahun, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti menunggang motosikal. Pada usia semuda itu, motosikal roda tiga jenis ATC digunakan sebagai jentera dirt bike. Teman sepermainan di laluan off road ketika itu ialah abang dan rakan-rakannya.

Sebaik sahaja mendapat lesen menunggang pada usia 16 tahun, Tony Carbajal beralih kepada jentera beroda dua berkuasa tinggi. Motosikal pertamanya ialah sebuah Honda CBR 900RR. Jentera itu menjadi kenderaannya untuk berulang-alik ke sekolah.

Dalam perjalanan ke sekolah setiap hari itu, salah seorang rakannya yang turut memiliki sebuah motosikal sport sering melakukan aksi wheelie. Aksi berani itu nyata menarik perhatian Tony sehinggakan dia mula mempelajari asas-asas teknik wheelie.

Pembabitan jejaka kelahiran California Selatan, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang tunggangan lagak ngeri bebas (freestyle stunt riding) semakin serius apabila memiliki sebuah Honda CBR F4i. Pelbagai jenis aksi wheelie serta burnout mula didalami dan dikuasainya.

Labur wang simpanan
Mengimbau kembali pembabitan awalnya dalam dunia tunggangan lagak ngeri, Tony, 24, mengakui bukan mudah untuk mendapat restu daripada keluarganya. Alasannya, mereka bimbang terhadap kecederaan yang mungkin dialami Tony. Namun, keraguan tersebut beransur-ansur berubah menjadi sokongan.

Semua wang simpanan Tony dilabur pada motosikal. Malah gaji yang diterima daripada beberapa pekerjaan sebelum ini dijadikan modal untuk modifikasi jentera dan membaik pulih kerosakan yang dialami selepas membuat persembahan.

"Sebelum terlibat dalam stunt riding, saya pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan. Misalnya, menukar minyak enjin kenderaan dan kemudian sebagai mekanik untuk trak-trak diesel.

"Ramai juga yang tidak tahu bahawa saya pernah bekerja sebagai tukang cuci di beberapa buah sekolah sekitar tahun 2005. Gaji yang diterima cukup-cukup sahaja untuk membeli alat ganti dan menyelenggara motosikal," katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu acara Bikepalooza 2011 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tahun 2005 memberi pengajaran buat Tony agar menitikberatkan soal keselamatan sewaktu mempamerkan aksi stunt. Katanya, kemalangan yang dialami pada waktu itu menyebabkan dia terlantar di hospital selama beberapa bulan.

"Waktu itu, saya tidak memakai pakaian keselamatan. Motosikal pula tidak dilengkapi dengan peralatan kemudi. Seingat saya, kelajuan tunggangan masa itu ialah kira-kira 65 batu/sejam (105 kilometer/sejam) dan aksi yang ingin dilakukan ialah stoppie. Malangnya, hendal mula goyang dan saya tercampak kira-kira 27 meter ke hadapan.

"Kulit badan dan kaki saya koyak. Malah tulang selangka, bahu, tulang pergelangan tangan dan renggang bahu patah. Itu belum dicampur dengan lebam di kawasan tulang rusuk dan paru-paru saya hampir bocor. Selama dua bulan, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk di katil hospital," ceritanya.

Biarpun ada khidmat mekanik, Tony masih mahu memeriksa semua komponen mekanikal jenteranya. Bukan soal tidak percaya, tetapi lebih baik buat sendiri. Kerosakan mekanikal ialah kebimbangan utama buat penunggang stunt ini.

"Stunt riding diibaratkan seperti sky diving. Jika anda seorang penerjun profesional, sudah pasti anda tidak mahu orang lain menyiapkan beg payung terjun. Sebabnya, anda sendiri tidak tahu sama ada payung terjun itu akan berfungsi atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya penunggang lagak ngeri gaya bebas yang dianggap memperjudikan nyawanya, dia mengaku dan menjawab:

"Sukan ini bukan untuk semua orang. Hanya segelintir sahaja akan melakukannya. Kami memandang serius terhadap pemakaian peralatan lengkap tunggangan dan soal keselamatan sewaktu menunggang.

"Ia jauh berbeza dengan penunggang gila di atas jalan raya atau lebuh raya (pelumba haram). Nyawa pengguna jalan raya lain tidak difikirkan. Sebenarnya, golongan itu lebih bahaya berbanding kami yang beraksi di litar tertutup," jelasnya.


Soal jawab bersama Tony:
Kosmo!: Selain Amerika Syarikat, negara mana lagi anda pernah buat persembahan?

Tony: Sebenarnya Malaysia merupakan negara pertama yang saya kunjungi. Sebelum ini, semua persembahan mengambil tempat di bandar-bandar sekitar Amerika Syarikat sahaja.

Mengapa Malaysia?
Kunjungan tiga hari ke Malaysia bertujuan memeriahkan program Bikepalooza 2011 dan memberi sokongan terhadap pemeteraian kerjasama antara Two Brothers Racing (TBR) dengan Kumpulan Naza. TBR merupakan antara penaja terbesar saya.

Pengalaman anda dengan motosikal Naza Blade 650?
Ini kali pertama menunggang Blade 650 kerana model ini tidak dijual di Amerika Syarikat. Dengan sedikit pengubahsuaian, saya berupaya mempamerkan pakej stunt untuk pengunjung Bikepazoola 2011. Ia jentera yang bagus.

Cara anda mendapat penaja?
Bukan mudah. Ia satu proses yang berterusan. Semakin nama saya dikenali, pihak-pihak tertentu menjemput untuk membuat persembahan. Lebih banyak demonstrasi dilakukan, pastinya lebih ramai yang akan hadir menyaksikan dan syarikat mula memberi penajaan.

Motosikal anda dan mengapa?
Empat buah motosikal Kawasaki ZX6R. Model itu dipilih kerana kepuasan tunggangan, sesuai untuk stunt riding, kerja-kerja pengubahsuaian mudah dilakukan, tangki yang besar untuk berdiri dan duduk sewaktu membuat aksi, kuasa dan sistem suspensinya bagus.

Kereta impian anda?
Sejak berkecimpung dalam dunia motosikal, saya sebenarnya belum ada kereta impian. Namun, selepas melawat Naza Automall di Petaling Jaya, jika diberi pilihan, saya mahu Lamborghini warna putih dengan rim hitam.

Kereta yang dimiliki?
Trak Chevrolet Silverado dan sebuah van. Van digunakan untuk mengangkut motosikal dan pelbagai peralatan sewaktu latihan dan persembahan.

Lumayankah pendapatan anda?
Ada dua cara meraih pendapatan iaitu menerusi pertunjukan dan penajaan Adakala ia lumayan dan adakalanya tidak. Semuanya bergantung pada bilangan pertunjukan yang anda buat dan berapa penaja yang ada.

Stunt paling digemari?
Burnout pada kelajuan tinggi sambil satu tangan menyentuh jalan dan drifting.

Haiwan peliharaan?
Dua ekor anjing baka Pitbull iaitu Bella dan Maggie. Selain kura-kura (jenis Box turtle) bernama Ricky Barbie.


Sumber: Kosmo!








































Tiada ulasan:

Catat Ulasan