Jumaat, 7 Februari 2014

Ducati 899 Panigale.... sudah selesai diuji JPJ

Masih ingatkan Ducati Malaysia pernah menampilkan model Ducati 899 Panigale di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sewaktu MotoGP tahun lalu?



Saya menerima satu info baharu bahawa pihak Ducati Malaysia ada menghantar model itu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk satu sesi ujian. 

Nampak gaya, model itu sudah diuji dan kemungkinan akan diperkenalkan tidak lama lagi. Model yang dijangka dilancarkan datangnya dari kilang Thailand.

Penampilan 899 Panigale di Malaysia tahun lali itu sebenarnya tayangan sulung di Asia Tenggara. Maksudnya, Malaysia ialah negara pertama di Asia Tenggara untuk menyaksikan kemunculan model baharu itu.

Nampak gaya, banyak juga syarikat motosikal antarabangsa sudah rajin memperkenalkan model-model baharu di rantau Asia. Ini semua usaha memastikan survival sesebuah jenama. Sama macam Ducati.

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali masa merasmikan model 899 Panigale di Bologna, Itali ada menyebut beberapa perkara yang menarik perhatian saya. Dia mengakui Ducati sudah hilang taring dalam Kejuaraan MotoGP sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Dalam dunia perniagaan pula, pasaran utama Ducati bukan lagi milik Itali tetapi sudah beralih kepada Amerika Syarikat. Survival Ducati banyak bergantung harap pada negara-negara asing. Malah 90 peratus produksi motosikal Ducati dieksport ke pasaran global.

Sebagai contoh, Thailand merekodkan pertumbuhan pasaran sebanyak 66 peratus untuk Ducati. Target jualan motosikal Ducati di negara gajah putih itu ialah 2,500 unit untuk tahun 2013. Di Brazil, penjualan motosikal Ducati baru sahaja bermula tahun lalu. Purata jualan ialah 100 unit setiap bulan. 

Kuasa ekonomi dunia baru, China menunjukkan kenaikan jualan model Ducati sebanyak 75 peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2013. Pasaran Eropah masih bergelumang dengan krisis. 



Ducati 899  Panigale ialah model pengganti 848 EVO. Ia dicipta untuk mengisi kelompongan pasaran di bawah kelas abangnya, 1199 Panigale. Binaan 899 Panigale lebih cenderung untuk penggunaan harian atas jalan raya berbanding di litar lumba. Nampak macam sama tetapi banyak bezanya.

Model berkongsi beberapa seni binaan 1199  Panigale seperti kerangka monokok aluminium dan banyak tetapan elektronik seperti tiga mod pemetaan enjin, kawalan cengkaman dan sistem brek antikunci. 

Untuk menjadikan model itu mampu milik, terpaksalah material binaan digunakan ditukar ganti. Pendek kata, pakai barang lebih murah untuk kurangkan kos.

Langkah pertama, aluminium digunakan pada beberapa bahagian kulit enjin berbanding logam magnesium yang digunakan 1199 Panigale .

Potongan kos juga membabitkan pemasangan lengan ayun kembar, tangki minyak dan sub bingkai yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Bukan lagi material aluminium.

Sistem suspensi dan sistem brek diturunkan gred. Paparan meter LCD dan lampu biasa digunakan pada 899 Panigale. Semua ini untuk membolehkan motosikal itu boleh dimiliki kelompok pembeli yang lebih besar. 

Macam Monster 795, jual pada harga sederhana barulah orang ramai boleh membeli. Kena pandai main volum. Kalau mahal sangat, tak ramai mampu beli. Jadi tukun dalam bilik pameran je nanti.

Galeri gambar:




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan