Selepas model Yamaha FZ150i, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan model Lagenda 115Z dengan teknologi sistem suntikan bahan api.
Komponen sistem pancitan yang dipasang pada generasi kelima Lagenda 115Z adalah sama seperti FZ150i.
Namun ada sedikit bezanya, Lagenda baharu diberi pengenaan komponen sensor oksigen untuk meningkatkan kelancaran pembakaran dalam kebuk silinder. Ciri ini tiada pada FZ150i.
Ekoran ada permintaan beberapa pembaca blog yang ingin ketahui kelebihan dan kekurangan model Lagenda ini, saya berjaya mendapatkan kebenaran HLYM untuk satu sesi tunggang uji.
Model diberi pinjam ialah Lagenda 115ZR. Motosikal dengan tema warna biru putih memang nampak menawan. Apa beza 115ZR dan 115Z?
Jawapannya : 115ZR dipasang meter laju yang berlatar belakang pencahayaan biru putih. Suspensi belakang ada tabung udara. Perehat kaki jenis boleh lipat dan ada kotak simpana bawah pelana ada lampu.
Untuk hidpukan enjin 115ZR, tekan butang pemula atau gunakan penendang kaki. Bunyi ekzos memang tipikal motosikal Yamaha. Tak ada beza dengan model Lagenda sebelum ini.
Masa duduk atas motosikal ini, saya merasakan posisi badan dan lengan lebih selesa. Tempat duduknya memang selesa. Punggung tak kebas. Pinggang pun tak lenguh bila tunggang lama.
Bila menuggang, ada satu perkara yang saya merasakan. Nampaknya model ini lagi seimbang dengan produk Lagenda generasi ketiga. Agihan berat antara bahagian hadapan dan belakang memang seimbang.
Seingat saya, Lagenda generasi ketiga agak ringan pada bahagian hadapan. Tak best langsung untuk insan badan kecil macam saya. Apatah lagi bawa pembonceng yang lebih berat dari saya. Ini membuat saya rasa kurang yakin nak tunggang laju.
Yamaha Lagenda 115ZR cukup baik. Kendalian model ini tidak menghampakan. Ia lincah menukar arah di laluan berselekoh.
Enjin memberi kuasa peringkat sederhana. Jangan lupa, model ini dicipta untuk jimat petrol dan beri lebih kilometer.
Dengan tiga liter minyak petrol, saya berjaya capai jarak tunggangan sejauh 155 kilometer (km). Kalau mahu capai jarak itu, anda perlu kekal kelajuan tidak lebih 80kmj. Mengagumkan? Bolehlah...
Saya hanya mampu capai kelajuan maksimum 110kmj sahaja. Itupun punyalah lama kena tunggu untuk jarum meter naik.
Masa menunggang 80kmj hingga 100kmj, getaran enjin boleh rasa pada tapak tangan dan kaki. Macam getaran Nokia 3310. Kalau anda masih ingatlah handphone legend itu.
Cuma, tayar motor Lagenda 115ZR memang tak boleh blah masa hujan. Saya nyaris-nyaris nak makan tar jalan. Lemah cengkaman dan senang membuang bila jalan basah. Masa kering, boleh kira okay.
Nasihat saya, tukarlah tayar yang lebih bagus. Ingat satu perkara. Hebat mana sesebuah kenderaan, benda yang menghubung anda dengan jalan raya ialah tayar. Belilah tayar yang berkualiti biarpun mahal.
Kalau pakai tayar cap parang, itulah nilai nyawa anda. Selamat menunggang!
Koleksi gambar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan