Sabtu, 15 Februari 2014

Yamaha YZF-R125 edisi 2014


Yamaha mengambil peluang dedahkan jentera sport terbaharu R125 edisi 2014 bersempena Pameran Motosikal London MCN yang berlangsung semalam.

Di Eropah, jentera yang cukup mempersonakan ini akan bersaing dengan beberapa model lain. Apa lagi jika bukannya Honda CBR125R, KTM Duke 125 dan Aprilia RSV4 125.

YZF-R125 edisi 2014 jelas menunjukkan model itu menerima pembaharuan radikal termasuk pengenaan kowl hadapan yang mengambil inspirasi dari model R6. 

Bolong kemasukan udara ditempatkan di antara set lampu utama bahagian hadapan. Fairing baharu R125 dengan set lampu utama bahagian hadapan menjadikan wajah model ini lebih agresif.


Motosikal baharu itu diberikan fork USD (upside-down fork) triple clamp yang dikatakan meningkatkan kestabilan dan maklum balas lebih responsif daripada roda hadapan. 


Ia juga diberikan sistem pautan baharu untuk suspensi belakang untuk kestabilan dan keselesaan penunggang.

Penyampaian petrol ke dalam kebuk pembakaran dilakukan dengan sistem pancitan bahan api baharu. Komponen itu dikatakan lebih efisien dan jimat bahan api sebanyak 11 peratus kalau dibandingkan dengan model lebih lama.

Komponen angkup radial dan cakera bahagian hadapan didatangkan sebagai barangan standard yang membantu meningkatkan kuasa membrek. Komponen itu dipasang pada fork dan rim aloi hadapan yang mempamerkan bentuk huruf Y.


Instrumen meter kelihatan cukup menawan. Meter digital pelbagai fungsi LCD itu membekalkan maklumat kelajuan, takometer, suhu enjin, kelajuan maksimum, kelajuan purata dan kadar penggunaan minyak. Ada juga paparan jam, status baki minyak petrol, trip bahan api dan jarak perjalanan.

Tambahan lain ialah fender hadapan yang kelihatan seperti gentian karbon, rekaan semula perendam bunyi dan pemegang nombor plet yang lebih kompak.


Pedal brek belakang, tuil gear dan braket perehat kaki diperbuat daripada material aluminium. Lampu belakang juga adalah baharu.

Pilihan warna bagi YZF-R125 edisi 2014 ialah kelabu, merah dan biru (Race Blu). Yamaha YZF-R125 edisi 2014 akan menemui pelanggan di Eropah selewat-lewatnya akhir April ini.

Spesifikasi model ini dan koleksi gambar ada di bawah. Untuk Malaysia? Tidak perlulah menanti ketibaannya.

Galeri gambar:























Spesifikasi:

Enjin: Silinder tunggal SOHC, empat lejang, sejukan cecair.
Kapasiti: 124.7cc
Gerek x lejang: 52mm x 58.6mm
Nisbah mampatan: 11.2 : 1
Kuasa maksimum: 15PS @ 9,000rpm
Tork maksimum: 12.4 Nm @ 8,000rpm
Sistem penyampaian petrol: Pancitan terus elektronik
Transmisi: Enam kelajuan
Kerangka: Deltabox keluli
Suspensi hadapan: Teleskopik USD 41mm
Suspensi belakang: Monoshock boleh laras.
Brek hadapan: Cakera tunggal 292mm
Brek belakang: Cakera tunggal 230mm
Tayar hadapan: 100/80-17 M/C
Tayar belakang: 130/70-17 M/C
Panjang : 1,955mm
Lebar: 680mm
Tinggi: 1,065mm
Tinggi pelana: 825mm
Jarak roda: 1,355mm
Berat : 140 kg
Kapasiti tangki minyak: 11.5 liter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan