Sabtu, 15 Februari 2014

Ducati Monster 796 - Emosi Berprestasi

Di pameran Bangkok Motor Expo 2013, Ducati mempersembahkan tiga model baharu kepada para pengunjung. Model itu ialah Superleggera, 899 Panigale dan Monster 796 ABS Corse Stripe.

Dua daripada model itu sudah dipamerkan di Malaysia - Superleggera dan 899 Panigale. Cuma yang tinggal ialah Monster 796 ABS Corse Stripe. 

Tengah hari tadi, saya menerima maklumat bahawa model Monster itu akan dilancarkan Khamis ini. Tetapi model yang dikhabarkan ialah Monster 796.

Tidak dinyatakan sama ada itu adalah model dengan sistem brek antikunci (ABS). Tidak pula dikatakan sama ada ia varian Corse Stripe.

Sahabat saya ada memaklumkan bahawa harga jualan asas Ducati Monster 796 yang bakal dilancarkan ialah RM63,888 sebuah.

Semakan yang dilakukan juga mendapati Malaysia sebenarnya tersenarai sebagai salah satu daripada negara yang bakal menawarkan model Monster 796 Corse Stripe. 

Negara lain dalam senarai itu ialah Thailand, China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. Cuma adakah kita berpeluang menyaksikan varian Corse Stripe Khamis ini masih jadi tanda tanya.

Kembali semula kepada Monster 796 ABS Corse Stripe, model itu dihasilkan di kilang Ducati Thailand. 796 ABS Corse Stripe disifatkan sebagai model inovasi paling baharu dalam rangkaian keluarga Monster. 



Motosikal yang cukup menggoda ini nampak menawan gara-gara ada solekan jalur putih Corse Stripe yang menghidupkan semangat sport Ducati.

Imej sport model seberat 167 kilogram ini diperkukuhkan dengan kemampuan meledakkan kuasa 87hp hasil perahan dari unit enjin bersesaran 803cc. Monster 796 memperoleh kuasa daripada unit enjin Desmodue 796 baharu.

Aci engkol yang digunakan sama seperti model 848 dan lejangnya (stroke) ialah 66milimeter. Keluk kuasa yang mampu dijana ialah 84hp pada 8250rpm dan kuasa tork tertinggi ialah 78Nm @ 6250rpm.



Binaan egronomiknya turut disemak semula. Seperti model 796 sebelum ini, Ducati memberikan padanan lengan ayun tunggal (single-sided swingarm).

Lampu hadapan model ini ada uniknya. Dengan konsep rekaan tiga parabola, lampu itu menggunakan teknologi optik terkini dan binaan termaju. Tujuannya untuk paparkan pencahayaan menakjubkan dalam satu pakej kompak.

Lampu utama memaparkan pencahayaan lebar untuk penglihatan lebih jelas dan selamat untuk tunggangan subuh atau waktu malam. Jika dipandang dari tepi, lampu itu mencerminkan bayangan bentuk tangki minyak Monster 796.

Gaya Monster itu didominasi oleh binaan kerangka berasaskan penggunaan tiub berdiameter besar dan sub-kerangka aluminium bersama padanan lengan ayun berwarna hitam. Pelengkap akhir pastinya rim aloi 17 inci dengan corak lima huruf Y.

Rim lima jejari ini diperbuat daripada aloi aluminium ringan untuk mengurangkan berat selain meningkatkan kelincahan jentera. Rim hadapan berukuran 3.50x17 dibaluti tayar 120/70ZR. Roda belakang bersaiz 5.50x17 diberi padanan tayar 180/55ZR. 

Solekan hiasan membabitkan jahitan benang merah pada pelana baharu, paparan bendera Itali dan logo Ducati pada bahagian madgad hadapan.



Jurutera Ducati meningkatkan aspek keselesaan dan kawalan dengan meningkatkan ketinggian pemegang bar hendal sebanyak 20 milimeter. Pemegang itu mengikat bar hendal yang diperbuat daripada aluminium.

Silinder induk (master cylinder) Brembo digunakan bagi sistem brek dan klac. Susunannya pada bahagian hendal sememangnya kemas. Tuas brek dan klac boleh diselaras sehingga empat tahap mengikut keselesaan anda. 

Klac APTC pula membantu meringankan resposn tuas klac dan cukup ideal apabila digunakan dalam kawasan bandar.

Meter instrumen ada tambahan baharu. Sudah ada fungsi Stopwatch. Untuk mula merekod, tarik sahaja butang high-beam flash. Setiap rekod masa akan di simpan dalam memori. 

Selesai sudah perjalanan atau tunggangan di trek, catatan masa dalam memori dapat dilihat semula dengan menggunakan butang instrumen pada konsol kawalan bahagian kiri hendal.

Ducati Monster 796 turut ditawarkan bersama sistem brek antikunci (ABS). Sistem ini ada sedikit perbezaan yang mana ia menawarkan rasa membrek lebih natural.

Galeri gambar: 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan