Rabu, 17 Julai 2013

Modenas MR1 - Tunggang uji


Tunggang uji kali ini mengetengahkan motosikal buatan Malaysia. Apa lagi jika bukannya Modenas Kriss MR1. 

Jika ada mahu puji atau kutuk, itu hak masing-masing. Anda adalah pengguna dan pilihan di tangan sendiri.

Kembali semula pada topik kali ini. MR1 menjengah pasaran sekitar akhir tahun 2011. MR1 ada maksud iaitu Motosikal Rakyat 1. 

Ini sebenarnya satu produk dicipta bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada pengguna Malaysia. MR1 ialah sebuah motosikal mampu milik berkualiti.

Pengeluar motosikal Modenas sudah pasti ialah Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas).

Jika ini bukan motosikal popular, mana mungkin jualannya mencecah puluhan ribu unit bukan? Secara tepat sudah ada 32,000 pemilik motosikal MR1 di Malaysia. 

Itulah hanya statistik bagi tempoh sejak motosikal itu dilancarkan sehingga 31 Januari 2013. Jumlah terkini jualan saya akan usaha dapatkan secepat mungkin.

Setelah dipinjam MR1 dari pihak Modenas, kawasan Selangor menjadi lokasi tunggang uji. Pendek kata, di bandar dan sedikit laluan luar bandar.

Enjin model Modenas boleh dihidupkan dengan dua cara. Tekan butang atau kerahkan kaki untuk gunakan penendang. 

Batang penendang MR1 terkeluar sedikit dan bersentuhan dengan betis kaki. Bukan masalah besar mana pun.

MR1 menggunakan enjin empat lejang silinder tunggal SOHC. Karburator digunakan jenis SPACO AV18-P . Sistem gear pula jenis empat kelajuan rotary.

Hasil muntahan kuasa dari enjin boleh dikatakan sesuai dengan kapasiti enjin. Untuk sistem gear, saya boleh terima tahap kekerasan memasukkan gear. 

Yang kurang digemari ialah tahap kelembutan bila menurunkan gear. Tuil gear agak lembut.

Kelajuan MR1 dikawal dengan brek gelendong pada rim hadapan dan belakang. Tidak ada apa yang perlu komen pada komponen ini. Jika tertanya mengapa bukan brek cakera, nanti anda akan mengerti.

Pelana tebal motosikal Modenas ini tidak membuatkan punggung rasa kebas sepanjang tunggangan saya.  


Keupayaan menyelinap dalam kesesakan dan pengendaliannya adalah sama dengan model KRISS. Motosikal MR1 adalah seberat 98 kilogram. 

Produk mampu milik ini didatangkan dengan tangki petrol sebesar 4.3 liter. Untuk satu tangki penuh petrol, belanjanya RM8.20.

Saya membuat tiga jenis siri ujian untuk mengukur kadar penggunaan petrol sama ada jimat atau tidak. Setiap ujian menelan belanja pengisian RM5.

Sesi pertama:
Kadar kelajuan : 100kmj hingga 120kmj
Hasil                 : 96km. 

Sesi kedua:
Kadar kelajuan : 80kmj hingga 100kmj
Hasil                 : 130km. 

Sesi ketiga:
Kadar kelajuan : 60kmj hingga 100kmj
Hasil                 : 142km.

Mahu beli? Ada tiga pilihan Modenas MR1. Warnanya biru putih, merah putih dan oren putih.

Harga jualan asas ialah RM2,948 sebuah. Itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan lain-lain caj. Agak murah. Jika nak tambah macam-macam aksesori, tak dapat lah harga ini.

Jaminan diberikan kepada anda ialah selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dulu). 

Galeri gambar: 






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan