Isnin, 5 November 2012

Renault and Caterham Group bakal hasil kereta sport masa hadapan.



Renault dan Caterham Group hari ini mengumumkan keputusan untuk berganding bahu dalam menjayakan projek pembangunan dan pembinaan kereta sport masa hadapan.

Perjanjian itu mencerminkan minat dan kepakaran sama kedua-dua pihak dalam sukan dan jentera perlumbaan.

Kenderaan masa hadapan itu dikatakan mempunyai ciri tersendiri, berbeza dan memiliki DNA jentera Alpine dan Caterham iaitu bahagian automotif dalam Caterham Group. 

Produk berkenaan akan dihasilkan menerusi kilang Alpine plant di Dieppe, Normandy (Perancis).

Caterham Group akan menguasai 50 peratus pegangan dalam syarikat Automobiles Alpine Renault (AAR). Buat masa sekarang, pemilikan 100 peratus AAR dimiliki oleh Renault SAS. 

Kerjasama itu akan menyaksikan penubuhan sebuah syarikat usaha sama iaitu Société des Automobiles Alpine Caterham menjelang Januari tahun hadapan. Ia akan diketuai oleh Bernard Ollivier.

Mengikut kajian yang dijalankan Renault Sport Technologies dan Caterham Technology & Innovation (CTI), Renault dan Caterham akan gabung skil untuk membina model dalam skala besar-besaran dan kecil-kecilan.

Tujuannya untuk melebarkan kedudukan mereka dalam pasaran kereta sport. Objektif setiap syarikat ini adalah untuk melancarkan kereta masing-masing dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Sebelum terlupa, CTI ialah bahagian kejuruteraan dan perniagaan teknologi Caterham Group.

Renault dan Caterham Group akan membawa skil teknikal masing-masing untuk penghasilkan produk masa hadapan melalui sebuah jabatan kejuruteraan bersama yang baru ditubuhkan. Pelaburan yang diperlukan juga dikongsi 50-50.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi Renault, Carlos Ghosn berkata: 

“Usaha sama inovatif bersama Caterham mencerminkan cita-cita jangka panjang: penciptaan kereta sport dengan DNA Alpine. Ia mendokong peluang untuk kilang Dieppe dan pembangunan kepakaran bersejarahnya.

Bagi Pengerusi Caterham Group, Tan Sri Tony Fernandes:

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Carlos Ghosn, Carlos Tavares dan keluarga Renault kerana meletakkan kepercayaan pada Caterham Group untuk mencipta kerjasama ini. 

"Ramai yang berasa ragu-ragu terhadap kami 11 tahun lalu apabila memperkenalkan syarikat penerbangan (AirAsia) dan saya pasti mereka juga akan ragu-ragu kali ini tetapi kami tidak akan menggagalkan kepercayaan anda.

"Kami tahu pasaran yang sedang diterokai, khususnya Asia yang memiliki peluang besar untuk mengulangkan (kejayaan) model AirAsia dan memberi akses produk menarik dan mampu milik berkait rapat dengan F1 serta teknologi kepada para pelanggan untuk membuat impian menjadi nyata."

Untuk Ketua Pegawai Operasi Renault, Carlos Tavares:

“Cita-cita kami untuk memulihkan Alpine bergantung kepada keupayaan kami mencari rakan perniagaan sebagai usaha untuk memastikan keuntungan ekonomik sebagai suatu cabaran. Dari awal kami mahu letakkan kilang Dieppe sebagai nadi projek.

"Hari ini, dengan kerjasama Caterham Group, kami boleh melangkah masuk fasa baharu: rekaan kereta merangkumi ciri terpenting Alpine iaitu sebuah kenderaan yang akan menyalakan semula keghairahan semangat sukan."




Tiada ulasan:

Catat Ulasan