Jumaat, 26 Oktober 2012

Tunggang Uji - Kawasaki D-Tracker 150

Entri kali ini sememangnya lewat ekoran kesibukan dengan tugas hakiki. Ini bukannya berita baru. Pastinya anda sudah ketahui kemunculannya di jalan raya. 

Sebenarnya, model motard itu berada di negara kita sejak setahun lalu tetapi sebagai produk ujikaji pihak Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia). Maklumat itu disampaikan oleh seorang kenalan saya.

Sedikit pengenalan terlebih dahulu. D-Tracker 150 diperkenalkan kepada pengguna tepatan sejak bulan Jun 2012. Motosikal itu dipasang di Indonesia dan ia dikira sebagai Asean CKD. 

Saya berpendapat pengenalannya tepat pada masanya kerana berlakunya perkembangan dalam segmen motard.

Pengguna motosikal motard semakin jelas di sini sana. Ada yang membeli motard terus dan ada pula yang memodifikasi ke arah pembentukan sebuah motard. Bagi saya, D-Tracker 150 ini adalah jelmaan KLX150S.

Bezanya cuma pada pengenaan rim 14 inci pada kedua-dua roda dan  fork hadapan 35 milimeter (mm) USD. Perubahan kecil lain hanya cermin sisi bersegi. 

Sebagai perbandingan: KLX150S menggunakan rim 19 inci (hadapan), 16 inci (belakang), fork teleskopik 33mm dan cermin sisi bulat.

Sebelum terlupa, komponen lain termasuk suspesi uni-track belakang dengan lima tingkat pengaturan dikekalkan. Andai dibelek kertas spesifikasi kedua-dua model (D-Tracker 150 dan KLX150S) untuk membuat perbandingan, anda sudah pasti dapat melihat perbezaannya.

Pertama: Jarak roda dan kelegaan bumi telah dipanjangkan. 
Kedua: Ketinggian tempat duduk menurun 25mm. 
Ketiga: Berat jentera menyusut satu kilogram. 

Sebenarnya saya pinjam  D-Tracker 150 sebanyak dua kali untuk diuji. Kali pertama, motosikal itu rosak selepas sehari pinjam. Apa yang saya kesan, klac sudah lekat dan tidak boleh dibebaskan langsung. 

Pinjaman kedua menandakan kegembiraan. Motor kedua ternyata lebih 'sihat'. Baiklah, hendak menghidupkan motosikal ini, caranya sama seperti kebanyakan motor klac lain. Boleh pakai penendang kaki atau butang penghidup.

Saya dapati panel meternya sama seperti KLX150S. Cuma lampu pencahayaan ditukar menjadi biru. 

Oh ye, motosikal ini masih tiada lagi petunjuk baki petrol. Rajin-rajin memeriksa tangki anda sebelum menunggang. Kapasiti tangki ialah tujuh liter.  

Kawalan adik kepada D-Tracker 250 ini mudah dan agak lincah. Jika melepasi paras 100 kilometer sejam (km/j), berilah perhatian sepenuhnya. 

Saya nyaris-nyaris rempuh tembok MRR2 gara-gara terkejut dengan sebuah kereta yang sesuka hati 'memancung' laluan masuk dihadapan. 

Tidak banyak bezanya prestasi D-Tracker 150 dengan KLX150S. Secara peribadi, saya lebih gemari KLX150S mungkin kerana minat pada prestasi sewaktu tunggangan off-road. 

Namun, minat dan selera orang lain tetap berbeza. Itu saya hormati. Kita semua ada pendirian dan citarasa masing-masing.

Kuasa maksimum D-Tracker ialah 8.6kW @ 8,000rpm dan tork 12Nm @ 6,500rpm. Kelajuan maksimum yang sempat diperah ialah 110km/j. 

Jika anda ditanya apa yang saya gemari pada motosikal ini, jawapannya ialah pada prestasi fork USD. Ada beberapa rakan lain seronok membuat weekang dengan model ini. 

Dua warna boleh dipilih iaiu hijau dan oren. Harga jualan asas ialah RM9,689 sebuah dan itu tidak termasuk insurans, cukai dan pendaftaran. Jaminan pula satu tahun diberikan.





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan