Jumaat, 7 September 2012

Tunggang Uji Suzuki Nex



Pengenalan skuter Suzuki V100 berjaya mengubah landskap industri motosikal tempatan kira-kira 20 tahun lalu. Itulah model skuter pertama negara jika anda menolak tepi model Passola dalam senarai. 

Kelibat V100 semakin menjadi-jadi. Kehadirannya jelas di sana sini. Bukan hanya menjadi pilihan penunggang wanita tetapi juga lelaki. Satu keghairahan peminat sehingga terbentuk komuniti skuter.

Kenangan itu diterjemahkan semula oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) menerusi pengenalan model terbaharunya, Suzuki Nex.

Enjin Nex jenis empat lejang sejukan udara 113cc dengan sistem transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT). Bagi melengkapkannya, karburator Mikumi BS22 dengan Sensor Posisi Pendikit (TPS) diadun bersama.

Skuter ini mempunyai kelebihan dari segi penggunaan petrol. Ia agak efisien. Rahsia penjimatannya terkandung menerusi beberapa komponen dalamannya:

* TPS memainkan tugas membantu penjimatan bahan bakar dan menjadikan penyampaian kuasa lebih berkesan.

* Penggunaan roller rocker arm untuk mengurangkan kesan geseran. Ia membantu mengurangkan kehilangan kuasa dalam enjin.

* Diameter cemat engkol (crank pin) dikecilkan kepada 25.1 milimeter (mm) berbanding 28mm.

Sewaktu pelancaran skuter itu, Nex dikatakan mampu catat perjalanan sejauh 52 kilometer dengan setiap liter petrol. Mungkin kerana itulah Nex dilengkapi tangki petrol seluas 3.5 liter sahaja.

Saya berpeluang menguji Suzuki Nex. Warna jentera diberi pinjam ialah merah jambu. Sewaktu saya menunggang skuter itu di Lebuh Raya Persekutuan, sering kali dicucuk rapat penunggang lelaki lain.

Mungkin penunggang-penunggang nakal itu seronok acah lelaki dengan skuter warna sedemikian. Kalau sudah dicucuh rapat, mana mungkin mahu mendiamkan diri. Bermulalah sesi cucuh mencucuh tanpa mengira sama ada ia model 135LC.

Ya, Suzuki Nex menawarkan pecutan yang agak lincah meskipun di laluan berselekoh.Tiba sahaja jalan lurus, sah-sah saya ditinggalkan jauh dengan kaki-kaki cucuh itu. Sememangnya menyeronokkan tunggangan Nex. Ia mudah dikendalikan walapun beratnya hanya 87 kilogram. Cukup ringan.

Saya berupaya memerah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j). Itu sudah mencukupi bagi mereka yang mahu keseronokan tunggangan atau menggunakannya dalam kawasan bandar. 

Melayan selekoh pada kelajuan antara 60 hingga 80 km/j tidak mendatangkan keraguan. Nex dengan rim berukuran 14 inci memiliki titik graviti casis yang agak rendah. Itu penyumbang kepada kestabilannya.

Sistem suspensi hadapan jenis teleskopik dan jenis tunggal (mono tetapi di bahagian tepi) di belakang terbukti menjalankan tugas dengan baik. Bagi saya, ia tidak begitu keras atau lembut. 

Ruangan meletak kaki yang disediakan agak terhad. Jika kaki anda pendek dan saiz tapak kaki anda kurang daripada 9 inci, ia bukan sebarang masalah. 

Tempat duduknya setinggi 735 milimeter (mm) dan pelananya sedikit kecil membuatkan punggung saya kurang selesa apabila menunggang lama (lebih daripada 1 jam). 

Mahu memberhentikan jentera, amanah itu diserahkan kepada brek cakera hadapan dan drum (belakang). 

Sebelum terlupa, saya merekodkan perjalanan sejauh 110km dengan satu tangki penuh petrol. Kelajuan tunggangan adalah antara 80kmj hingga 100kmj. 

Nex dijual pada harga RM4,218 (ini harga asas dan tidak termasuk insurans dan caj-caj lain). Prestasinya dan binaannya seimbang pada harga sedemikian. Itu pendapat saya.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan