Jumaat, 23 Mac 2012

Tawaran premium Mercedes-Benz

Cipta segmen baharu


Oleh Shawkath Azde
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

HANYA selepas enam hari mengumumkan rekod jualan terbaiknya, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) tampil dengan barisan produk baharu untuk satu tujuan iaitu memacu pertumbuhan prestasi jualan bagi mengatasi rekod yang baru sahaja dicapai. Agresif? 

Mungkin itu strategi MBM untuk tahun 2012.Di Malaysia, MBM sudah menjual sebanyak 5,431 unit kenderaan penumpang pada tahun lalu. Jumlah itu sudah memintas rekod 2010 iaitu sebanyak 5,003 unit. Pencapaian tersebut dikatakan mengukuhkan lagi kedudukan pengeluar kenderaan Jerman itu sebagai peneraju dalam segmen kenderaan penumpang premium di Malaysia.

Kali ini, tiga kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) ditawarkan dalam pasaran tempatan. Apa lagi kalau bukan model C-Class Coupe, SLK dan CLS. Rasional di sebalik pengenalan model-model berkenaan dikaitkan dengan peningkatan minat terhadap kenderaan mewah dan sentimen positif dalam kalangan pengguna Malaysia.

"Dengan penambahan pilihan model Mercedes-Benz untuk menepati kesesuaian gaya hidup pelanggan, kami optimis ia akan menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan kenderaan di antara 10 hingga 15 peratus tahun ini," kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Kai Schlickum pada majlis pelancaran tiga model berkenaan di Subang Jaya, Selangor.

Melengkapi portfolio C-Class


Taklimat media pada majlis pelancaran bermula dengan model C-Class Coupe. Pengurus Produk MBM, Michael Chew menyatakan dengan adanya model coupe, ia melengkapkan portfolio C-Class di negara ini. Sebelum ini, hanya ada dua ahli keluarga C-Class iaitu Estate (station wagon) dan sedan.

"Kenderaan dua pintu ini memiliki integrasi gril baharu (ram berkembar) dengan bampar, manakala tiang C semakin tajam. Jentera C-Class Coupe dengan kerangka ringan ini turut diadun dengan komponen AMG seperti rim 18 inci, tikar kaki, bampar dan sistem suspensi," katanya. 

Tambahan baharu juga dapat dilihat pada bahagian kerusi. Penyandar keselamatan kepala sudah disatukan pada kerusi. Sementara kerusi bahagian belakang ditukar kepada tempat duduk jenis tunggal. Semakin sporty. Harus diketahui, model baharu itu turut dilengkapi sistem pencahayaan pintar.

Tiga varian dibawa masuk iaitu C180, C250 dan C350. Di bawah hud C180 dan C250, terisi enjin terbaharu empat silinder sebaris bersesaran 1,796cc. Untuk C350 pula, janaan kuasa datangnya daripada enjin V6. Semua enjin berkenaan pastinya daripada rangkaian enjin BlueEfficiency.


Untuk makluman, C-Class Coupe yang diperkenalkan pada Jun lalu sudah mencatat jualan sebanyak 23,700 unit di peringkat global.

Roadster generasi ketiga


Bagi mereka yang mencari sebuah roadster, mungkin anda perlu mengunjungi bilik pameran MBM. Di situ sudah ada ahli baharu. Mercedes-Benz SLK generasi ketiga.Pengeluar Jerman itu masih mengekalkan jenis bumbung keras boleh dibuka, tetapi dengan pembaharuan operasi menerusi kawalan inframerah. Bumbungnya boleh dibuka dan ditutup semula dalam tempoh cuma 22 saat.

"Jika dibandingkan dengan model-model sebelumnya, roadster ini 30 milimeter lebih panjang dan wajah moden. Penambahbaikan turut dilakukan menerusi komponen AIRGUARD di bahagian belakang perehat kepala," jelas Chew.

Mengulas mengenai fungsi AIRGUARD, dia menyatakan ia dibangunkan dengan rekaan aerodinamik untuk mengurangkan bunyi dan tolakan angin sewaktu memandu dalam keadaan bumbung dibuka. Roadster itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu SLK 200, SLK 250 dan SLK 350. 

Menurut Schlickum, untuk varian SLK 250 dan SLK 350, pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu. Jika ingin mengetahui harga SLK 250 dan SLK 350, anda perlu menyemak semula dengan MBM.

Kenderaan dua tempat duduk tersebut ditawarkan dengan dua pilihan enjin suntikan terus iaitu empat silinder dan enam silinder. Apa yang pasti ialah model generasi ketiga lebih ekonomikal iaitu sehingga 25 peratus kalau dibandingkan dengan model sebelumnya.

Coupe empat pintu

Kemunculan kategori coupe empat pintu Mercedes bermula pada tahun 2003. Ketika itu, model dikeluarkan berwajah coupe dengan keselesaan sebuah sedan. Malah Mercedes-Benz berjaya menjual kira-kira 170,000 unit generasi pertama di seluruh dunia. 

Di Malaysia, sudah ada 164 unit di atas jalan.Generasi kedua diperkenalkan tahun lalu di pasaran antarabangsa. Bahagian hadapannya mengingatkan kita terhadap model SLS AMG. Gril jentera CLS dipasang secara berasingan sekali gus menonjolkan bonetnya yang panjang.


Inilah model Mercedes-Benz dengan semua pintu diperbuat daripada aluminium. Sistem suspensinya ditambah baik dengan komponen baharu iaitu sistem stereng kuasa elektromekanikal. Sistem stereng itu membolehkan penjimatan kuasa dan hanya menggunakan tenaga apabila stereng dipusing. Secara langsung, komponen itu membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 25 peratus.

Bagi pasaran Malaysia, dua varian diperkenalkan. Varian CLS350 BlueEfficiency dan CLS500 BlueEfficiency. Walau bagaimanapun, tempahan khas harus dibuat terlebih dulu untuk varian CLS500 BlueEfficiency.

Meletakkan tiga model untuk segmen berbeza disifatkan sebagai suatu permulaan buat MBM tahun ini. Mereka bukan sekadar mahu meluaskan pasaran sedia ada, malah membuka segmen baharu. Apapun, kita nantikan sahaja kejutan MBM selepas ini.


Sumber: Kosmo!

Lampu hadapan C180 Coupe
Posisi tepi C180 Coupe
Posisi belakang C180 Coupe
Model C180 Coupe
Model SLK200
Panel meter SLK200
SLK200 
Operasi menutup hud SLK200 
Sistem navigasi SLK200
Kawalan gear SLK200


SLK200
SLK200


Pandangan belakang dengan bumbung tertutup SLK200
AIRGUARD SLK200
AIRGUARD SLK200
Papan pemuka SLK200
Panel meter SLK200
Bahagian dalaman CLS350
Lampu DRL LED dan lampu hadapan CLS350
Pandangan hadapan CLS350
Meter CLS350
Konsol tengah CLS350
Ruang simpanan barang dalam CLS350


Tiada ulasan:

Catat Ulasan