Khamis, 15 Disember 2011

135 LC lebih berkuasa

Sejak diperkenalkan pada April lalu, kira-kira 40,000 unit model baharu ini sudah berada di atas jalan sehingga Oktober 2011.

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

TAHUN 2006 menyaksikan kemunculan satu lagi produk jenama  Yamaha  ke dalam pasaran tempatan. Dilancarkan di Bentong, Pahang pada ketika itu, siapa sangka model berkenaan berupaya menjadi fenomena baharu dalam industri motosikal.Itulah model 135 LC, jentera pengenalan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Hong Leong Yamaha ).

Berdasarkan laporan sebelum ini, sudah ada lebih daripada 260,000 unit 135 LC di atas jalan raya. Statistik itu hanya membabitkan model tahun 2006 dan 2009. Populariti motosikal boleh diukur menerusi produk aftermarket.

Sinopsis mudah, semakin banyak alat gantian dan produk aftermarket untuk sesuatu model, ia pasti hangat di pasaran. Namun, harus diakui bahawa model itu masih belum dapat mengatasi rekod jualan moped keluaran Honda.

Bulan April lalu, bertempat di Putrajaya, Hong Leong Yamaha memperkenalkan generasi baharu jentera empat lejang 135 LC. Kali ini, ia membabitkan dua varian iaitu transmisi empat kelajuan automatik dan lima kelajuan klac tangan.

Rupa paras 135 LC kelihatan agak lebar pada bahagian tepi. Rekaan belakangnya pula lebih bercirikan seperti sebuah superbike. Cover set baharu diberikan. Pembaharuan lain termasuklah set lampu hadapan yang lebih tajam, madgad roda belakang, cermin sisi bersegi dan tongkat kembar.

Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji model baharu tersebut. Varian empat kelajuan automatik diberi pinjam selama seminggu. Kali pertama duduk di atas pelana, didapati model itu sudah mempunyai gugusan meter yang baru.

Paparan analog masih dikekalkan. Meter laju dan meter minyak berbentuk bulat itu berlatarbelakang lampu merah. Tiada masalah membaca meter jika menunggang pada waktu siang. Paparan meter menunjukkan jumlah jarak perjalanan, tahap kelajuan dan baki minyak petrol.

Penunjuk gear pula ditempatkan secara melintang di atas meter laju. Petunjuk lampu isyarat pula berada di kiri dan kanan meter laju. Ringkas dan kemas.

Mahu memasukkan kunci motosikal, varian ini sudah dipasang suis penghidup berpenutup. Aspek keselamatan telah ditingkatkan. Dua kaedah menghidupkan motosikal ini, sama ada menekan butang penghidup atau menggunakan penendang kaki.

Kaki kiri memijak gear pertama dan kapcai tunggang uji itu melonjak sedikit. Pendikit dipulas secara berhemah pada mulanya sebelum diperah untuk merasai kehebatannya. Kuasa torknya harus dipuji. Model itu menggunakan karburator jenis BS25. Berbeza dengan model sebelumnya yang menggunakan khidmat karburator VN22.

Dalam posisi gear satu, kelajuan boleh diperah hingga 30 kilometer sejam (km/j). Gear ketiga, meter sudah naik ke paras 80 km/j dan kelajuan maksimum tunggang uji ialah 120 km/j.

Bukankah kelajuan sepatutnya mencecah lebih 140 km/j seperti model pertamanya? Apakah kuasanya dikurangkan? Jawapannya tidak. Model baharu ini menggunakan meter laju yang lebih tepat iaitu menepati standard EU2.

Jika diteliti, model itu sebenarnya sudah ditingkatkan kuasanya. Kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 8.93kW @ 8,500rpm dan 11.79Nm @ 5,500rpm. Model sebelumnya cuma 8.45kW @ 8,500rpm dan 11.65Nm @ 5,500rpm.

Keselesaan pelana mengurangkan keletihan pinggang dan punggung sekiranya ditunggang dalam tempoh yang lama. Rekaan aerodinamik 135 LC juga berfungsi mengurangkan kesan angin sewaktu pecutan. Namun, getaran enjin tetap terasa di tapak kaki.

Saya mendapati pemanduan malam kurang selesa kerana pancaran cahaya menerusi lampu hadapan kurang terang. Begitu juga dengan lampu belakangnya, ia kurang menyerlah. Nampaknya, Hong Leong  Yamaha  perlu mengkaji semula aspek pencahayaan model 135 LC ini.

Kualiti tunggangan tidak banyak beza dengan kapcai lain sewaktu menyusuri kesesakan lalu-lintas. Dengan berat jentera kering sekitar 105 kilogram (kg), kestabilan sewaktu sesi tunggang uji jelas terasa. Berbekalkan tangki minyak empat liter, isian penuh ialah sebanyak RM7.

Jika mengekalkan kelajuan tunggangan di antara 80 km/j hingga 100 km/j, satu tangki penuh mencapai jarak 130 km atau 140 km. Secara keseluruhannya, jentera ini agak memuaskan dengan pembaharuan dilakukan Hong Leong Yamaha .

Tiada produk yang sempurna. Ia meneruskan legasi abang-abangnya. Tidak hairanlah jika ia masih digelar sebagai King of Moped. Sememangnya ia pendominasi jalan raya ketika ini.

Sumber: Kosmo!






















2 ulasan:

  1. asskum...nk tnya skit leh x..perbezaan kelajuan yamaha lc 135 lama.....dengan yang bru yang mna lbih memberangsankan...tpi 2la sya bkak website ada gk org kte LC baru nie xlaju mter brat boleh kena ptong dgan LC lma betul ke...kiranya yang mana lebih laju...TOLONG ENCIK

    BalasPadam
  2. Wslm eJuN, secara jujurnya saya tidak dapat beri gambaran tepat pasal LC lama dan baru ini.

    Kita hanya sempat test model baru. Meter model baru ini lebih berat. Berat bermaksud hampir tepat. Setahu kita meter paling tepat ialah motor yg ada sensor mcm Suzuki Belang.

    Kalu ada motor LC lama dan baru, senang nak wat perbandingan.

    Tapi ada yang bgtau meter LC lama ringan. Bab CDI tu, kita tak sure sama atau tak. Ada member bgtau CDI LC lama lain macam sikit.

    BalasPadam