Jumaat, 4 Julai 2014

Michelin City Pro - Sesuai untuk bandar

Adakala menunggang motosikal dalam kawasan bandar membuatkan anda terasa tertekan. Apatah lagi bila jalan raya semakin sarat dibanjiri kenderaan roda empat pada waktu puncak.

Begitu juga tayar motosikal anda. Tunggangan di bandar mendatangkan lebih banyak impak atau tekanan pada tayar.

Memandangkan perkara itu, Michelin kini muncul dengan satu siri rangkaian tayar baharu yang dicipta untuk berdepan dengan situasi mencabar di jalan raya.

Tayar baharu Michelin itu ialah Michelin City Pro. Michelin mendakwa siri tayar baharu itu jauh lebih baik daripada model-model tayar keluarannya sebelum ini dan tayar jenama asing.

 Kelebihan tayar itu dikatakan berpaksikan tiga perkara iaitu mengurangkan risiko bocor atau pancit, lebih selamat dan tahan lebih lama. 

Michelin City Pro dicipta untuk kegunaan motosikal tidak melebihi 150cc dan skuter bersaiz sederhana.

Setelah meneliti dan membaca semua maklumat yang dikirimkan Michelin Malaysia, saya cuba ringkaskan bacaan 12 muka surat untuk manfaat anda.

Apa kelebihan teknologi baharu dalam tayar City Pro?
Ada 3 iaitu

  • Tahan risiko pancit atau bocor sehingga 20 peratus lebih baik daripada tayar jenama lain
  • Diperbuat daripada kompaun atau material yang mampu memanjangkan jangka hayat tayar lebih 10 peratus berbanding tayar jenama lain
  • Bunga tayar rekaan baharu meningkatkan kadar cengkaman atas jalan basah mahupun kering.


Apa saiz tayar disediakan?
Ada 21 jenis pilihan saiz disediakan bermula daripada rim sekecil 14 inci sehingga 18 inci. 


Siapa yang harus cuba tayar ini?
Mereka yang menunggang motosikal enam atau tujuh hari seminggu dengan jarak tunggangan antara 150km hingga 200km sehari. 

Sesuai juga untuk mereka yang menunggang secara solo atau bersama pembonceng dan meredah kesesakan lalu lintas, jalan raya tidak rata dan cuaca tidak menentu.

Apa rahsia struktur binaan tayar City Pro
Tayar itu berasakan suatu inovasi yang dinamakan sebagai Michelin Overlap Technology (MOT)

Ada 3 lapisan berbeza di bawah bunga tayar. Ini berikan kekuatan tambahan 20 peratus untuk elakkan kebocoran atau tayar pancit.



Bagaimana Michelin dakwa tayar mereka bagus:
Michelin melakukan beberapa siri ujian untuk menguatkan dakwaan mereka:

Ujian itu dilakukan oleh TÜV Rheinland Malaysia Sdn. Bhd. antara 3 Mac hingga 9 Mac 2014 dengan melibatkan beberapa jenama tayar lain.

Michelin City Pro (80/90-17 50S) telah dibandingkan dengan tayar jenama IRC Maxing NR58 (2.75-17 41S), IRC Eagle Grip NR73 (80/90-17 44S), DUNLOP TT900 dan D104J (80/90 17 44P).

Selepas itu, pihak Michelin melakukan ujian sejauh 444,000km dengan menggunakan sebanyak 48 buah motosikal di Bangkok pada 14 November 2013 sehingga 26 Mac 2014.

Hasil ujian Michelin: Hanya satu tayar bocor bagi setiap 100,000km.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan