Jumaat, 14 Februari 2014

Tourer mewah - BMW K 1600 GTL Exclusive


Tourer sulung BMW Motorrad iaitu model BMW K 1600 GTL Exclusive membawa dunia kembara ke tahap baharu.

Dengan adanya enjin enam silinder sebaris, ia memberikan kuasa superlatif, rekaan bergaya, keselesaan dan standard peralatan yang  cemerlang. Itu ayat BMW.

Bagi saya, inilah motosikal khas untuk mereka yang cintakan aktiviti kembara dan ada banyak duit simpanan dalam akaun. Apa salahnya beli sebuah kan. Manalah tahu, anda mungkin dapat kepuasan tersendiri.


Seperti anda tahu, BMW memang terkenal dengan pelbagai ciri dan inovasi teknologi. Jadi tidak hairanlah jika perkara sama dilakukan pada rangkaian motosikalnya. Bagi kes BMW K 1600 GTL Exclusive, ia ada Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control) untuk tingkatkan keselamatan apabila memecut.

Tidak cukup dengan itu, BMW memberi ciri inovatif Kawalan Bukit Pemula (Hill Start Control). 

Teknologi ini bantu memacu enjin motosikal untuk berkerja keras ketika mendaki bukit biarpun pada waktu itu ada pembonceng di belakang dan sarat dengan barangan dalam kotak simpanan.

Seperti semua model motosikal BMW sebelum ini, K 1600 GTL Exclusive juga didatangkan dengan sistem brek antikunci BMW Motorrad sebagai perkara standard.


Motosikal ini tidak menggunakan rod antena tetapi digantikan dengan jenis filem. Antena filem itu dipasang di antara bahagian atas penutup kotak simpanan dan lapisan cat pada permukaan penutup itu. Itulah filem antena pertama di dunia bagi sesebuah motosikal.

Apa kelebihannya? Mudah sahaja. Kualiti penerimaan antena jadi lebih baik. Malah, ia nampak lagi kemas.

Untuk pembonceng di belakang, ada berita baik untuk anda. Kerusi sudah dilebarkan dan ada perehat belakang dengan fungsi pemanas. Bolehlah panaskan badan bila dalam cuaca sejuk. Tambahan lain ialah perehat tangan yang lebih selesa.

Komponen lain yang didatangkan sebagai standard ialah lampu tambahan LED, sistem lampu utama Xenon mudah suai, monitor tekanan tayar, lampu brek tambahan, bar pelindung enjin, pencahayaan pada lantai (tempat letak kaki), lampu DRL LED (daytime running light).


Motosikal inilah model pertama BMW yang tidak memerlukan anda memasukkan kunci untuk menghidupkannya. BMW memanggilnya sebagai Keyless Ride. Apa hebat sangat pasal ciri ini?

Kunci kawalan jauh dalam poket akan memberi signal secara automatik kepada BMW K1600 GTL Exclusive jika jarak anda berada dalam lingkungan dua meter. Signal itu akan membebaskan kunci hendal, penutup tangki petrol dan memadamkan sistem penggera.

Jika anda melangkah lebih dua meter dari motosikal itu dengan membawa kunci kawalan jauh, secara automatik sistem penggera akan dihidupkan dan hendal akan dikunci. Canggih.


 Pandang sahaja motosikal kembara itu, gayaan rekaannya sudah nampak mewah. Bermula dengan tangki aluminium kepada instrumen meter sehinggalah ke ekzos krom, semuanya nampak sempurna.

Warna badan K 1600 GTL Exclusive diberi empat lapisan cat metalik putih bagi memadankannya dengan bahagian-bahagian krom. Untuk menyerikannya lagi, jurusolek BMW mengadun warna metalik kusam magnesium (matt) dan metalik perak pada bahagian radiator.

Enjin yang digunakan sama seperti model sebelumnya. Enjin jenis enam silinder sebaris berupaya bekal kuasa output 160hp pada 7,750rpm dan tork 175Nm pada 5,250rpm.

Hampir 70 peratus tork maksimum boleh dinikmati apabila meter RPM cecah paras 1,500rpm. Ada juga tiga pilihan mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic.

K 1600 GTL Exclusive dilengkapi sistem penyelarasan suspensi elektronik Electronic Suspension Adjustment II sebagai ciri standard. Sistem ini benarkan penunggang mengubah tetapan rendaman dan prabeban ikut keselesaan sendiri.

Spesifikasi:

Enjin: Enam silinder sebaris
Sesaran: 1 ,649cc
Gerek x lejang: 72mm x 67.5mm
Output: 160.5 @ 7,750rpm
Tork: 175 @ 5,250rpm
Sistem pengurusan enjin: BMS-X
Kotak gear: Enam kelajuan
Kapasiti tangki minyak: 26.5 liter
Pecutan 0-100km/j: 3.4 saat
Kelajuan maksimum: Lebih 200km/j.

Galeri gambar:












Tiada ulasan:

Catat Ulasan