Jawapan dia ialah Kawasaki ZX-6. Apabila melanjutkan lebih mendalam, dia membuka cerita. Motosikal itu adalah tajaan Kawasaki. Saya percaya jika model itu bukan sesuai untuk aski-aksi lagak ngeri, sudah pasti Tony akan cari jenama lain.
Seorang lain penunggang lagak ngeri yang berkunjung ke Malaysia ialah Leah Petersen (Leah Stunt). Motosikalnya yang dibalut tona ungu putih pernah beraksi di Litar Antarabangsa Sepang ketika MotoGP bulan lalu juga sebuah ZX-6.
Jadi, dengan ehsan Kawasaki Malaysia, saya diberi pinjam model ZX-6R 636 edisi 2013. Model itu diimport dari Jepun (model CBU) dan tidak ada cut-off. Itu kata-kata kenalan saya yang kerja di Kawasaki.
Sedikit maklumat awal berhubung Kawasaki ZX-6. Motosikal supersport itu adalah ahli keluarga Ninja yang mula-mula diperkenalkan pada 1995. Selepas itu, pelbagai model dihasilkan saban tahun.
Kawasaki ZX-6R edisi 2013 kembali dengan menggunakan enjin 636cc. Ia berbeza dengan model produksi 2007 hingga 2012 yang didatangkan bersama enjin 600cc sahaja.
Ketika menyemak semula sejarah produksi model ZX-6R, Kawasaki Heavy Industry (KHI) di Jepun pernah memperkenalkan model ZX-6R dengan kapasiti enjin 636cc selama lima tahun sejak 2002.
Bila KHI ambil langkah itu, sudah pasti mereka ada kelebihan berbanding Suzuki, Honda dan Yamaha.
ZX-6R edisi 2013 diberi banyak penambahbaikan. Motosikal itu dibina untuk mengimbangi tawaran berprestasi bagi tunggangan harian dan di litar lumba.
Inovasi pertama ialah tawaran tiga mod kawalan cengkaman yang dikenali sebagai KTRC (Kawasaki TRaction Control) seperti yang ada pada abangnya, Ninja ZX-14R.
Versi baharu KTRC itu sebenarnya lebih maju berbanding sistem S-KTRC yang terdapat pada ZX-10R. Secara ringkas, penunggang boleh tukar mod ikut kemahiran dan keadaan jalan raya.
Bagaimana tukar mod? Tekan sahaja butang kawalan pada bahagian kiri hendal. Anda perlu tekan lama sedikit supaya mod betul-betul berubah.
Mod 1 : Kurang campur tangan sistem kawalan cengkaman
Mod 2 : Kawalan peringkat sederhana.
Mod 3 : Sesuai untuk jalan licin atau basah.
Jika anda cukup berpengalaman kendali motor kuasa tinggi, boleh dipadamkan sahaja semua tetapan itu.
Saya juga dapati ada dua mod kuasa enjin. Pertama ialah High Power (H). Ini bermakna semua kuasa enjin ada dalam genggaman penunggang. Terpulang pada nafsu tunggangan anda.
Pilihan kedua ialah Low Power (L). Bila mod ini dipilih, kuasa enjin dihadkan kepada 80 peratus sahaja. Pengalaman saya, pilihan ini sesuai untuk mereka yang baru menjinakkan diri menunggang motosikal ini. Ia cukup mesra pengguna baru.
Seni bina hendal dan tempat duduk ZX-6R boleh cetuskan rasa seperti anda seorang pelumba MotoGP. Bila naik atas motor itu, saya dapati pemegang hendalnya condong ke bawah dan inilah yang membuatkan posisi anda seperti rider MotoGP.
Enjin dihidupkan dan pendikit diperah untuk dengar alunan ekzos. Bagi saya, bunyinya memang sedap walaupun standard. Itu ikut telinga saya. Anda tidak perlu setuju dengan pandangan saya.
Saya membawa motosikal itu ke Jitra, Kedah. Perjalanan sehala ialah 475 kilometer dari ibu kota. Pada mulanya, rasa sedikit kekok untuk kawal hendal kerana lengan asyik berlaga dengan tangki petrol.
Rupa-rupanya, saya salah posisi pegang hendal dan cara duduk. Kedudukan tidak perlu terlalu kaku atau memaksa badan untuk tegak. Biarkan badan ikut sahaja gaya macam penunggang MotoGP. Biar bongkok dan memang anda akan dapat kawalan yang cukup baik.
Bila sudah faham cara kawal ZX-6R, tangan mula gatal mahu tambah kelajuan. Semakin dipulas dan pijak gear, makin terangsang adrenalin dalam darah. Seolah-olah macam satu ketagihan. Bukan nak bersikap macam jakun tapi motor ini sememangnya seronok jika sudah pandai kawalnya.
Saya menunduk untuk menyorok dari pukulan angin di belakang penghadang angin. Pendikit dipulas untuk capai kelajuan 220 kilometer sejam (km/j). Memang stabil. Pulas sedikit lagi sehingga 240km/j.
Masih ada ruang kalau mahu pulas tetapi rasanya cukuplah kelajuan itu. Nanti terlalu ghairah sampai lupa diri, sia-sia kena check-in di hospital.
Mengemudi ZX-6R dari kiri ke kanan di kawasan selekoh memang menyeronokan kerana disinilah boleh rasa kecemerlangan kedua-dua sistem suspensinya. Tidak terlalu keras atau lembut, sesuai dengan keperluan saya.
Pelana walaupun nipis tetapi punggung tidak terasa kebas bila saya menunggang selama dua jam tanpa henti. Nak kata terasa sakit membongkok, tidak pula.
Melihat pada meter instrumen, ada meter analog dan digital. Semua maklumat dipamerkan seperti had laju, meter RPM, pilihan KTRC dan kuasa, purata penggunaan bahan api, kedudukan gear, suhu enjin, jarak tunggangan dan indikator tunggangan ekonomik.
Cuma satu yang tiada. Mana petunjuk status minyak petrol.ZX-6R? Kena pandai-pandailah bajet sendiri. Berdasarkan apa yang saya lalui, satu tangki boleh cecah sehingga 220km.
Selepas itu, lampu amaran bekalan minyak rendah akan nyala. Jangan bimbang, boleh pergi 30km lagi jika turun kelajuan bawah 80km/j.
Harganya RM69,900 sebuah. Itu tidak masuk cukai jalan dan insurans. Bukan juga keluaran kilang Kawasaki Shah Alam tapi Jepun mari. Saya cuma boleh tengok saja. Belum mampu lagi.
Koleksi gambar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan