Satu-satunya model
motosikal yang berjaya menyentuh kehidupan sebahagian besar lapisan masyarakat
sudah pastinya Honda EX5.
Tidak kiralah sama ada peniaga
sayur, penjual karpet Pakistan, penjual ais krim atau pelajar sekolah. Inilah
motosikal yang pastinya membantu mereka mencari rezeki dan urusan kehidupan
seharian.
Mungkin ramai yang tidak
ketahui, EX5 adalah satu-satunya model Honda yang dijual paling lama di negara
ini. Percaya atau tidak, usia EX5 sudah mencecah 26 tahun.
Tempoh 26 tahun itu
meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara dalam rantau Asean yang
memegang rekod jualan paling lama bagi sesebuah model motosikal Honda. Semuanya
kerana anda.
“Terima kasih kepada pelanggan di Malaysia kerana anda EX5 berjaya mengecapi pencapaian yang luar biasa.”
Itu luahan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda,
Satoshi Okada kepada saya dan dua rakan lain pada satu majlis buka puasa di
Genting Highlands.
Kehadiran saya bersama beberapa
rakan media permotoran di bumi Pahang untuk menghadiri jemputan majlis
pelancaran dan tunggang uji Honda EX5 Dream 110 dan Air Blade.
Sejarah Honda EX5
bermula pada tahun 1987. Generasi kedua EX5 dikenali
sebagai EX5 Dream tiba pada 2001.
Jika dicampur kedua-dua
generasi EX5 itu, angka jualan terkumpul sudah mencecah paras 2 juta unit.
Adakah ini sebenarnya Raja Moped? Anda boleh nilaikan sendiri.
Kekuatan populariti
motosikal EX5 disandarkan kepada beberapa perkara asas yang diperlukan oleh
pengguna.
Apa yang saya maksudkan
ialah soal kebolehpercayaan, motosikal tahan lasak, mampu dimiliki, alat ganti mudah
didapati, jimat bahan api dan tawaran barangan serta aksesori aftermarket.
Honda EX5 Dream 110 direka
di Jepun. Rekaan itu kemudiannya di bawa ke pasaran Thailand terlebih dahulu
sebelum Malaysia.
Jadi tidak hairanlah model
sedia ada di Thailand ada iras-iras seperti model yang dilancarkan di Malaysia
baru-baru ini.
Perbezaan utama adalah kaedah
penyampaian bahan api ke enjin. Model Thailand menggunakan sistem suntikan
bahan api. Untuk Malaysia masih lagi sistem karburator.
Mengapa Honda masih mahu
mengekalkan penjualan motosikal dengan penggunaan karburator?
Okada menjawab persoalan
saya memberitahu bahawa langkah itu bertujuan untuk mengekalkan harga kos dan
mengelakkan berlaku peningkatan harga motosikal.
Jika sistem suntikan
dipasang pada EX5 Dream 110, harga akan meningkat beberapa ratus. Ini akan
memesongkan sasaran pelanggan Boon Siew Honda iaitu golongan berpendapatan
rendah dan sederhana.
Dua generasi sebelum ini
menggunakan enjin 100cc. Jadi mengapa mahu beralih kelas enjin dari 100cc
kepada 110cc? Okada memberi jawapan:
Boon Siew Honda mahu
menawarkan enjin lebih berkuasa kepada pengguna. Keduanya, enjin itu sebenarnya
digunakan pada model motosikal Honda lain di China, Indonesia dan Vietnam.
Secara ringkas, satu enjin
untuk beberapa negara. Menjimatkan kos pelaburan membangunkan enjin berbeza
untuk pasaran berlainan.
Soalan seterusnya, adakah
EX5 Drream 110 menggunakan enjin sama seperti Wave 110 baharu?
Jawapan adalah ya. Kata
Okada, enjin memang sama tetapi talaan sudah dibuat untuk model EX5 itu.
Talaan
itu membabitkan kadar tork atau pikap dapat dirasai pada pusingan enjin rendah
(RPM).
Sebabnya, untuk
membolehkan EX5 itu melaksanakan tugas berat dengan lebih mudah. Jangan lupa,
EX5 ini banyak digunakan oleh peniaga-peniaga kecil-kecilan. Satu tindakan
pintar.
Menyentuh soal rekaan,
dimanakan ia direka? Jawapan diberikan:
EX5 Dream 110 pada mulanya
direka di Jepun. Rekaan itu kemudiannya dibawa ke Thailand. Selepas Thailand,
rekaan itu tiba ke Malaysia.
Namun ada perubahan pada
rekaan asal untuk menjadikannya lebih relevan untuk pengguna tempatan. Maka
jika diamati model Thailand dan Malaysia, ada bezanya. Contoh diberi ialah
pengadang angin sisi (white board).
Adakah model EX5 Dream
(generasi kedua) sudah ditamatkan pengeluaran?
Okada kata ia akan
diteruskan sehingga hujung tahun ini. EX5 Dream dan EX5 Dream 110 akan dijual
secara beriringan.
Mengapa masih mahu jual
model lama? Alasannya, masih ada pembeli yang mahu model lama walaupun produk
baru sudah keluar.
Sasaran jualannya EX5
Dream 110 setahun ialah 8,900 unit. Untuk model EX5 Dream sebelum ini, jualan
setahun adalah sekitar 10,000 buah motosikal setahun.
Ada empat pilihan warna
untuk Honda EX5 Dream 110 iaitu merah, hijau, biru dan ungu.
Harga bilik pameran :
Varian penghidup tendang :
RM3,908 seunit.
Varian penghidup elektrik :
RM4,145 seunit
Jaminan diberikan adalah selama
dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer. Mana-mana yang tiba dulu.
Di bawah ini, saya sertakan perbezaan spesifikasi Honda Wave 110, EX5 Dream dan EX5 Dream 110.
Di bawah ini, saya sertakan perbezaan spesifikasi Honda Wave 110, EX5 Dream dan EX5 Dream 110.
Buruk giler
BalasPadamLawa lg y lama...
BalasPadam