Segmen motosikal saiz sederhana atau lebih tepat kelas 600cc kelihatan
sedikit meriah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada pandangan saya, kewujudan kategori penunggang motosikal saiz sederhana
di Malaysia didorong oleh dua faktor.
Pertama harga motosikal semakin mampu milik. Anda boleh membuat pinjaman
bank untuk membeli motosikal. Ditambah pula ada pengedar motosikal boleh
menguruskan soal pinjaman untuk anda.
Keduanya ialah motosikal sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup. Roda
dua tidak lagi dilihat sebagai kenderaan ulang-alik ke kerja semata-mata.
Tidak mahu ketinggalan menyertai liga segmen itu ialah Hong Leong Yamaha
Motor (HLYM). Pembabitan Yamaha bermula kira-kira dua tahun lalu dengan
pengenalan XJ6 Diversion.
Awal tahun ini, mereka tampil dengan satu varian baharu iaitu XJ6.
Sebenarnya, XJ6 ada versi naked model XJ6 Diversion. Beza antara kedua-dua model
itu tidak sebesar mana.
Buang fairing depan, tukar lampu hadapan, buang tongkat kembar dan tukar
pemegang tempat duduk belakang. Jadilah motosikal Yamaha XJ6.
HLYM perkenal model naked kerana mahu mempelbagaikan pilihan untuk pembeli
motosikal. Bukan semua pengguna suka motosikal full atau half fairing. Ada juga
penggemar versi naked.
Baru-baru ini, saya bersama seorang sahabat menunggang model XJ6 dan XJ6
Diversion ke Baling, Kedah. Saya membawa versi naked. Perjalanan kami
melibatkan laluan lebuh raya, jalan lama dan jalan bandar.
Sebelum mengorak ke pengalaman tunggangan, sedikit maklumat terlebih dahulu
mengenai XJ6. Enjin dan kotak gear adalah sama seperti XJ6 Diversion.
Enjin membekalkan kuasa tork cukup biarpun pusingan enjin adalah rendah
(2,000 hingga 4000rpm). Kuasanya bagi saya lebih linear.
Apabila pendikit diperah, kuasa tarikan boleh dirasa dengan mudah. Bunyi
ekzos memang membosankan. Haba dari enjin jelas terasa walaupun memakai seluar
jeans. Memang melecehkan.
Itu yang dialami bila saya tunggang bawah paras kelajuan 100 kilometer
sejam (kmj). Senario itu di kawasan bandar. Sudah pasti terpaksa berdepan
dengan lambakan kereta. Apalagi jika waktu puncak. Membosankan.
Bila jalan semakin lengang, nikmat mula terasa. Jarum meter laju melangkah ke
paras 140kmj. Bunyi ekzos sudah hilang bisunya. Haba enjin terus lesap. Baru leh
senyum.
Satu pesanan yang perlu diambik serius. Hati-hati bila pijak tuil brek
belakang. Jika terlalu keras, tayar belakang boleh terkunci. Tayar belakang tetap
terseret dan motor terus meluncur ke depan.
Selepas terkena insiden tayar belakang terkunci, saya mengamalkan kaedah
membrek dengan menurunkan gear sahaja. Bak kata orang, itulah brek ketiga pada
motosikal.
Jika ditanya soal pengendalian motosikal ini, fork hadapan menggalas tugas dengan
baik. Tetapi bila meredah lubang-lubang sedikit lebar atas jalan raya, hendal
dengan mudah boleh bergoyang. Peganglah elok-elok ya.
Suspensi belakang agak keras sampai punggung boleh terangkat-angkat ketika
langgar lubang kecil. Apapun suspensi belakang boleh diselaras sebenarnya. Cuma
ini motor pinjam, pakai jelah apa orang kasi.
Tempat duduk model ini dikategorikan sebagai sederhana keras. Tidak mendatangkan
masalah atau kurang selesa sepanjang perjalanan ulang alik ke Kuala Lumpur – Baling
– Slim River - Kuala Lumpur.
Sewaktu melalui kawasan Gerik ke Kuala Kangsar (Perak), keupayaan
pengendalian motosikal 600cc ini terbukti hebatnya. Laluan berliku dan selekoh
boleh bukan cabaran besar. Anda hanya perlu yakin. XJ6 tetap tangkas dan tidak
mengecewakan.
Jika ia motosikal kelas naked, angin sudah pasti disenaraikan sebagai gangguan.
Tekanan mula terasa di bahu dan di bahagian muka pada paras 150kmj. Irama ekzos
kontot semakin nyaring.
Maka terpaksalah tunduk hingga dagu berada atas meter laju, baru kelajuan
180kmj dapat dicapai dengan mudah. Pendikit masih belum pulas sepenuhnya.
Tempoh 3 hari, jalan raya diredah sejauh 1,240km. Wang saku untuk belanja petrol
ialah RM113 (59.4 liter). Boleh dikatakan munasabah. Sebenarnya lebih jimat ketika
di lebuh raya berbanding dalam kawasan bandar.
Galeri gambar:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan