Sabtu, 28 Jun 2014

Ninja 250SL dan Ninja 250 - Tunggang uji


Beberapa minggu lalu, kemunculan Kawasaki Ninja 250SL menjadi perbualan hangat dalam beberapa forum dan perbualan dalam laman sosial dan grup Facebook.

Malah saya juga ada terima beberapa permintaan daripada rakan-rakan dan pembaca blog untuk memberi pendapat mengenai Ninja 250SL. 

Antara soalan yang menarik minat saya ialah apa bezanya model Ninja 250SL dan Ninja 250. Jawapan pertama yang orang ramai berikan ialah 250SL itu silinder tunggal. Ninja 250 pula silinder kembar.

Memang benar, tak dinafikan perkara itu. Dalam entri kali ini, saya membuat perbandingan antara dua model itu untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam dengan tujuan perkongsian ilmu sesama kita.



Pertemuan dengan pihak Kawasaki Malaysia baru-baru ini menjayakan hasrat saya. Ucapan terima kasih didahulukan kepada pihak Kawasaki Malaysia kerana sudi mengizinkan sesi tunggang uji dizahirkan. Alhamdulillah.

Seperti anda tahu, Kawasaki Motors muncul dengan model Kawasaki Ninja 250SL pada bulan Mei lalu untuk menggantikan pemergian model Ninja KRR-ZX150 (Ninja RR).

Tahukah anda Ninja RR tu sebenarnya model paling laris Kawasaki Malaysia? Dalam setahun, Kawasaki Malaysia boleh jual kira-kira 8,000 unit Ninja RR. Bila model itu sudah tiada, mau terduduk Kawasaki Malaysia.



"Kami cipta model 250SL dengan mengambil beberapa ciri yang ada pada model Ninja RR" kata Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim kepada saya semasa majlis pelancaran 250SL di Litar Sepang sebelum ini.

Bila saya ajukan soalan sama ada Ninja 250SL akan menggugat jualan Ninja 250, Jeffrey berkata tidak. Dia percaya model Ninja 250SL akan melengkapi Ninja 250.

Nama Ninja 250SL ada kaitan dengan rekaan model itu. Maksud SL ialah Slim (kurus) dan Lightweight (ringan). Kalau Ninja 250SL diletakkan bersebelahan Ninja 250, memang nampak bezanya.

Dari fairing hadapan, hendal, tangki minyak hingga kepada set tempat duduk, terbukti Ninja 250SL sememangnya kompak. Malah ia lebih ringan 21 kilogram berbanding Ninja 250.

Ninja 250SL dipasang dengan enjin silinder tunggal yang dipinjamkan daripada model scrambler KLX250. Tetapi enjin itu ditala semula untuk memadankan sifatnya sebagai sebuah sport bike.

Semasa menduduki atas pelana Ninja 250SL, saya merasakan sedikit selesa. Bila menggerakkan punggung ke bahagian pembonceng, memang kecewa. Keras dan terlalu kecil. 

Kalau duduk atas pelana Ninja 250, terasa kelegaan. Situasi sama juga bila menjadi pembonceng Ninja 250. Pelananya lebar dan empuk. Cukup selesa untuk anda berdua menunggang bagi tunggangan jarak sederhana jauh.


     Kiri : Ninja 250SL          Kanan : Ninja 250
Saya dapati posisi hendal rendah dan agak rapat ke kawasan tangki. Perehat kaki pula menyokong hendal untuk membuatkan penunggang sedikit membongkok dan kehadapan.


Ketika memasukkan tapak kaki kiri bawah tuil gear Ninja 250SL, saya dapati tidak banyak ruang untuk digerakkan. Penukaran gear juga lancar.


Kiri : Ninja 250SL          Kanan : Ninja 250
Bila menunggang Ninja 250, terasa sedikit janggal kerana kaki kiri mula mencari-cari mana tuil gearnya. Perkara ini berlaku sebab ruang di bawah kawasan tuil gear sedikit luas.

Bar hendal Ninja 250 agak lebar berbanding Ninja 250SL dan banyak ruang untuk anda memposisikan gaya badan bersesuain sebelum melayan selekoh. 


Kiri : Ninja 250SL          Kanan : Ninja 250
Saya membuat satu kesimpulan setelah tiga minggu menunggang kedua-dua model Sport Bike Kawasaki. Ini pandangan peribadi sahaja.

Ninja 250SL mempromosi tunggangan lebih sporty dan agresif. Ninja 250 pula, cuba menjual gayaan tunggangan sporty tanpa menjejaskan aspek keselesaan.

Tidak dinafikan Ninja 250SL menghasilkan kesan getaran yang lebih kuat daripada Ninja 250. Ini disebabkan Ninja 250SL menggunakan enjin silinder tunggal. Perkara biasa bagi mana-mana model silinder tunggal.

Getaran boleh terasa apabila meter laju melepasi paras 100 kilometer sejam (km/j). Ninja 250 tetap terasa getaran. Cuma tidaklah sekuat mana.

Kuasa pikap Ninja 250SL lebih bertenaga kalau dibandingkan dengan Ninja 250. Kalau untuk kegunaan dalam bandar, saya secara peribadi akan memilih Ninja 250SL.



Ninja 250SL lebih tangkas dan mudah dikemudi ke kiri atau ke kanan jalan kerana saiz badan yang agak kecil. Senang menyelinap antara barisan kereta tanpa ragu-ragu.

Berbeza pula bila saya tunggang Ninja 250. Nak menyelinap atau bermain dalam kesesakan lalu lintas, saya memerlukan sedikit masa kerana tidak mahu menjahanamkan harta orang.

Andai menunggang di lebuh raya, pilihan sudah semestinya Ninja 250. Sebabnya, ketika menunggang Ninja 250SL dari Kuala Lumpur ke Ipoh... ia terlalu ringan dan rasa macam naik basikal bila ditampar angin lintang.

Sistem suspensi fork hadapan dan monoshock belakang Ninja 250SL dan Ninja 250 memang memuaskan hati sepanjang sesi tunggangan. Begitu juga sistem brek cakera pada kedua-dua model itu. Memuaskan.


Kiri : Ninja 250SL          Kanan : Ninja 250
Semasa menunggang dalam kawasan bandar, saya boleh kedengaran putaran bilah kipas radiator Ninja 250SL dengan jelas. Percaya atau tidak, ia lebih cekap menyalurkan keluar haba enjin berbanding model Ninja 250.

Sekadar makluman, Ninja 250SL boleh mencecah paras 160km/j pada jarak lurus tetapi mengambil sedikit masa. Untuk Ninja 250, ada yang dakwa boleh mencecah 170km/j.

Ujian penggunaan petrol satu tangki penuh. Jika kekal kelajuan 100kmj, Ninja 250SL boleh bawa anda sejauh 230km sebelum petunjuk minyak mula berkerdip.

Kalau meningkatkan kadar kelajuan antara 120kmj hingga 130kmj, jarak yang saya berjaya capai ialah 202km. Itu catatan sebelum petunjuk minyak pada meter mula berkerdip.



Pengalaman bersama Ninja 250, saya sempat cecah jarak sejauh 330km dengan dengan paras kelajuan 120-130kmj. Perlu ingat, saiz tangki Ninja 250 lagi besar berbanding Ninja 250SL.

Harga 
Ninja 250SL : RM17,689 
Ninja 250      : RM22,589

Secara jujur, harga Ninja 250SL agak merepek. Perlu ke jual mahal sangat? Atau terpaksa letak harga sebab pesaing lain jual model 250cc dalam julat harga sedemikian? Cubalah berlaku adil dengan kenakan harga yang masuk akal.


Ini adalah pandangan peribadi dan pengalaman tunggangan saya sendiri. Anda tidak semestinya setuju dengan saya. Malah saya berbesar hati untuk anda semua kongsi pengalaman jika ada memiliki atau ingin memberi pendapat. Silakan dan jangan segan.

Dibawah ini ada perbandingan spesifikasi dan gambar.

Spesifikasi:

Galeri gambar: Kiri ialah Ninja 250SL (kuning). Kanan ialah Ninja 250 (Putih)



























Tiada ulasan:

Catat Ulasan