Sabtu, 7 September 2013

KTM 690 Duke R - Akan datang 390 Duke


Baru-baru ini, saya terima jemputan daripada Motonation Manufacturer Sdn. Bhd. (KTM Malaysia) untuk hadiri majlis pelancaran dan makan malam bersama para pengedarnya.

Model yang diperkenalkan ialah KTM 690 Duke R. Ini satu lagi motosikal yang dipasang di negara ini (CKD). Kilang pembuatan terletak di Jitra, Kedah.

KTM 690 Duke R ialah model CKD yang ketiga. Sebelum ini, KTM Malaysia ada melancarkan dua model CKD iaitu 690 Duke dan 200 Duke.



Tergolong dalam kategori naked bike, model baharu itu bukan versi naik taraf dari 690 Duke. Ini model baharu. Huruf R pada namanya membawa maksud Racing.

Enjin yang diguna pakai adalah jenis silinder tunggal bersesaran 690cc. Kotak gear pula ialah enam kelajuan.

690 Duke R boleh meledakkan 70hp dan tork tertinggi ialah 70Nm. Tahukah anda, Inilah motosikal enjin silinder tunggal paling berkuasa di dunia. 

Model ini dipasang sistem suntikan bahan api yang dikawal selia secara elektronik.


Pada majlis itu, ada pembentangan dibuat. Saya rumuskan seringkas mungkin. Fokus binaan model ini membabitkan beberapa aspek penting - ketegaran, kestabilan, prestasi membrek dan keselesaan. 

Ketegaran: 
Model ini dipasang casis tiub ringan dan profail lengan ayun tuangan terap. Berat casis badan ialah 9kg. Berat lengan ayun pula 4kg.

Kestabilan:
Suspensi jenama WP digunakan pada bahagian depan dan belakang. Jika lembut sangat, anda boleh ubah tetapan secara manual. Ikut kesukaan.

Membrek:
690 Duke R didatangkan dengan brek cakera dengan angkup Brembo M50. Untuk lebih efisien membrek, motosikal ini ada sistem ABS. Andai kata anda mahu tunggangan lebih radikal, tutup sahaja fungsi ABS pada roda belakang. Boleh rasa gaya supermoto.

Keselesaan:
Faktor ini berkait rapat pada tempat duduk yang ergonomik dan juga perehat kaki. Tempat duduk yang digunakan adalah daripada koleksi Powerparts KTM. Powerpart tu kira macam aksesori performance parts.

Ekzos:
Sistem ekzos digunakan adalah jenis titanium Akrapovic - slip on. Perendam bunyi itu membantu naikkan kuasa kuda  sebanyak 2hp. Bukan setakat bunyi gempak sahaja.

Harga:
Harga jualan asas tidak termasuk insurans dan cukai jalan ialah RM52,500 seunit. Jaminan diberikan pula selama 24 bulan tanpa had jarak perbatuan.


Temubual bersama Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran, Stanley Ho:

Saya: Berapa lagi model CKD akan diperkenalkan bagi tahun ini?
Stanley: Kemungkinan akan ada satu atau dua model.

Saya: Untuk model 690 Duke R, apa sasaran jualan anda?
Stanley: Kami unjur dalam 200 unit bagi tempoh 12 bulan.

Saya: Dengar khabar, KTM Malaysia akan melancarkan 390 Duke tahun ini. 
Stanley: Ya, model itu akan diperkenalkan. Bila dan mana, tunggu pengumuman nanti.

Jadi... memang 390 Duke akan masuk Malaysia. Firasat saya mengatakan: Ia satu lagi model CKD. Jadi, harga pasti tidak terlalu membebankan.

Sebelum ini saya ada buat entri mengenai 390 Duke. Link di sini














Spesifikasi 690 Duke R

Enjin: Empat lejang, silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair.
Sesaran: 690cc
Gerek dan lejang: 102 milimeter (mm) x 84.5mm
Kuasa maksimum: 70hp @ 7,500rpm
Tork maksimum: 70Nm @ 5,500rpm
Kapasiti tangki petrol: 14 liter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan