Isnin, 12 Ogos 2013

BMW 316i di Malaysia


BMW Group Malaysia (BMW  Malaysia) baru-baru ini menambah satu lagi varian kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di kilangnya yang terletak di Kulim, Kedah.

Model CKD yang dimaksudkan itu ialah BMW  316i. BMW 316i dipasang enjin petrol empat silinder  1.6 liter TwinPower Turbo dengan teknologi VALVETRONIC.

Transmisi didatangkan bersama kereta sedan jenama Jerman itu adalah jenis automatik lapan kelajuan.

Padanan rangkaian kuasa itu membolehkan jentera itu meledakkan kuasa maksimum 135hp dan tork setinggi  220Nm.

Untuk memecuk dari titk pegun ke 100 kilometer sejam (kmj), masa diperlukan hanyalah 9.2 saat sahaja. Kelajuan maksimum adalah 210km/j.

Menyentuh kadar pembebasan emisi karbon bagi setiap km, angka direkodkan ialah 137 gram.  Untuk perjalanan sejauh 100km, purata minyak petrol digunakan cuma 5.9 liter.

Sebelum terlupa, BMW  316i didatangkan bersama tiga jenis mode pemetaan enjin iaitu Comfort,  Sport dan Eco Pro.

Anda boleh menukar mode dengan menekan butang. Sport memberikan anda maklum balas yang lebih dinamik. Comfort untuk keselesaan pemanduan. Eco Pro pula memaksimumkan bahan api dengan menyelaras parameter enjin dan kotak gear. Oh ye, sedan itu sudah dilengkapi butang Auto Start/Stop.


Seperti model BMW yang lain, varian 316i dilengkapi teknologi BMW ConnectedDrive. Bantuan  BMW Live dan BMW TeleServices yang dipaparkan menerusi panel skrin LCD  berukuran 6.5 inci.

BMW Live membolehkan anda menerima informasi berita atau keadaan cuaca ketika berada di dalam kereta. Tambahan lain ialah sambungan USB dan Bluetooth untuk  peranti pintar.

Pilihan warna? Ada putih, hitam, merah, perak dan kelabu. Tempahan boleh dibuat menerusi bilik pameran sah BMW Malaysia di seluruh negara.

Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans model BMW 316i ialah RM209,800 seunit. Anda juga layak menerima program servis BMW Service dan Repair Inclusive  (BS+RI).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan