Rabu, 13 Jun 2012

Tunggang Uji - NZ125R

Entri mengenai motosikal kali ini membabitkan kapcai keluaran Kumpulan Naza iaitu NZ125R. Bagi pengunjung karnival BikePalooza di Shah Alam tahun lalu, sudah pasti anda ada terserempak dengan edaran risalah mengenai underbone ini.

Motosikal NZ125R dilancarkan Kumpulan Naza pada bulan Februari lalu di bilik pameran Naza Automall di Petaling Jaya. Motosikal itu dihasilkan daripada kilang Naza yang terletak di Shah Alam. Kilang sama yang terlibat dengan pengeluaran sebanyak 13 jenis motosikal Naza sebelum ini.

Kemasukan kapcai terbaharu itu meletakkan semula Kumpulan Naza dalam segmen 125cc di Malaysia. Sebenarnya sudah hampir dua tahun Naza menyepikan diri dalam segmen itu. Model terakhir ialah model Naza Flash.

Enjin buatan China yang sama digunakan pada model Naza Flash dipasang pada NZ125R. Data spesifikasi:

* Sesaran enjin ialah 124.8cc.
* Empat gear dan menggunakan kaburator.
* Kuasa kuda maksimum 10.1hp.
* Tork maksimum ialah 10.3Nm.

Mahu hidupkan enjin, gunakan penendang kaki atau tekan butang penghidup. Sekali dipandang, kapcai Naza ada iras-iras macam sebuah motosikal keluaran jenama Jepun. Difahamkan, motosikal Naza ini adalah ciptaan para jurutera syarikat itu.

Kali pertama menempatkan punggung atas tempat duduk. Terasa nikmatnya. Agak selesa pelananya. Tekan butang penghidup, telinga mengecam bunyi menghidupkan yang agak panjang. Satu kelainan.

Pijak gear satu sudah dikesan bunyi yang sedikit kasar. Tidak menghiraukan perkara itu, saya memerah pendikit minyak dan mulakan tunggangan. Didapati penukaran gear tidak menjadi sebarang masalah.

Posisi badan ketika sesi tunggangan tidaklah melenguhkan. Cuma suspensi jenis spring belakang agak keras dan kurang selesa. Mungkin disebabkan absober belakang motosikal tunggang uji ini sudah keras dan gagal memainkan peranannya dengan baik.

Kelajuan yang berjaya diperah ialah hampir 100 kilometer sejam (km/j) pada kedudukan gear ketiga. Angka kelajuan itu tidak datang dengan pulas pendikit minyak secara mengejut. Pulas secara lembut dan meter akan naik sedikit demi sedikit.

Masuk sahaja gear keempat, saya terpaksa memadamkan hasrat untuk ketahui kelajuan sebenar kapcai ini. Catatan terbaik ialah hampir 125km/j.

Bukan apa, secara jujur saya tidak mahu mendesak jentera itu hingga tahap maksimum kerana kurang yakin dengan keseimbangan bahagian belakang motor tunggang uji ini. Sebabnya, tayar belakang agak membuang.

Pencahayaan suluhan lampu utama perlu diubah juga. Pandangan peribadi saya ialah pantulan sewaktu tunggangan malam kurang menyerlah. Ibarat macam bayangan daun pokok Jeremin atau pokok kelapa yang samar-samar. Prestasi lampu isyarat membelok dan brek sudah cukup terang.

Satu kelebihan utama motosikal ini ialah penjimatan petrol. Satu liter memberi jarak sejauh 65km jika di bawah kelajuan 80km/j. Motosikal ini didakwa mampu memberi penjimatan petrol sehingga RM500 setahun. Untung jika harga minyak terus melambung lagi.

Selain itu, ada satu ciri menarik ialah motor ini ada poin elektrik. Tujuannya untuk mengecas telefon bimbit atau alat penentu kedudukan global (GPS). Sesuai untuk mereka yang suka aktiviti kembara dengan sebuah motosikal mampu milik. Harga NZ125R atas jalan ialah RM4,256 sebuah.
























1 ulasan: