Rabu, 23 Mei 2012

KLX 150S - Tunggang uji



IDEA untuk menguji motosikal Kawasaki KLX 150S disampaikan kepada saya oleh seorang wanita. Insan itu menceritakan keseronokan dirasai ketika mencuba motosikal itu di sebuah ladang sawit di Kampar, Perak.


Mendengar sahaja cerita wanita itu membuatkan saya berkerut dahi. Muka punyalah comel dan manis tapi boleh tahan juga keberaniannya menunggang di trek ladang sawit.


Hasil perbualan itu mencetuskan niat untuk meminjam motor KLX 150S daripada Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Motors). Bermula di situ, saya berbalas emel bersama pihak Kawasaki Motors.


Lampu hijau diperoleh. Malah Kawasaki Motors tidak keberatan melayan permintaan saya untuk pinjaman selama seminggu. Warna motosikal hijau putih menjadi pilihan. 


Setibanya di Kawasaki Motors di Glenmarie, Shah Alam, urusan dokumentasi pinjaman diuruskan oleh Siti. Motor KLX 150S kemudiannya menanti saya untuk dibawa pulang.


Seorang brader yang menyelenggara motor itu memberi taklimat ringkas mengenai motosikal itu. Selesai sudah, saya mulakan tunggangan menghala ke ibu kota. Disebabkan hari yang agak panas, saya berhenti seketika di bawah jejambat di Petaling Jaya.


Tiba-tiba saya disapa: Nape bro.. motor ada problem ke? Saya mengalihkan pandangan ke sebelah kiri dan ada seorang rider dengan motor KLX 150S. Bila dimaklumkan semuanya okay, brader itu menyatakan dia ingatkan saya menghadapi masalah. Insan itu kemudian melambai tangan dan teruskan perjalanan.




Melihatnya beredar, terlintas difikiran, boleh tahan juga komuniti motor offroad ini. Sudi berhenti untuk hulur bantuan walaupun kami tidak kenal. Kepada insan itu, terima kasih atas sifat mulia kerana ada niat mahu membantu. 


Sedikit maklumat latar belakang mengenai KLX 150S:


* Dilancarkan pada 3 November 2009 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Subang Jaya.


* Diletakkan dalam segmen dwikegunaan. Motor dwikegunaan ini sah digunakan atas jalan raya biasa dan laluan offroad. Sama seperti model KSR110, KLX250 dan D-Tracker X.


* KLX150S direka oleh jurutera-jurutera Jepun untuk pasaran Asia seperti Malaysia. 


* Mewarisi kombinasi rekaan KX450F dan KLX140. 


KLX 150S dipasang dengan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 144cc. Pasangan kotak gear lima kelajuan dan kaburator Keihin NCV24 diberikan. Tangki minyak pula sebesar tujuh liter. 


Model itu memberi penjimatan petrol dengan adanya teknologi KSAI ( Kawasaki  Secondary Air Injection System) yang menepati piawaian emisi EURO 2.


Memandang meter motosikal itu, didapati ia sama seperti model KSR110. Tiada petunjuk status baki petrol. Meter laju kecil dan memiliki pencahayaan latar belakang merah.


Ekzos jenis segi empat disorok pada bahagian bawah kanan tempat duduk. Kelihatan sebuah beg kecil dipasang pada bahagian belakang. Dua cara hidupkan motor sama ada butang penghidup atau penendang kaki. Ketinggian tempat duduk ialah 835 milimeter (mm). 


Mengikut data spesifikasi, enjin itu mampu meledakkan kuasa kuda 11.7PS @8,000rpm dan tork pada 12Nm @ 6,500rpm. 


Pandangan peribadi, inilah antara jentera dwikegunaan dalam pasaran yang menawarkan posisi tunggangan rendah. Suasana tunggangan malam sememangnya bagus. Dengan lampu utama jenis halogen, suluhan cahaya ditawarkan cukup terang. 


Motosikal seberat 108 kilogram itu mudah dikendalikan dan kelajuan yang berjaya diperah di jalan lurus adalah sekitar 110km sejam (km/j). Ingin saya mengingatkan, KLX 150S dibina untuk kuasa tarikan, bukannya kelajuan. 


Memandangkan ia dibina juga untuk tunggangan offroad, saya tidak mahu lepaskan peluang mengujinya. Ini kali pertama saya menunggang offroad dengan motor jenis dwikegunaan. Pendek kata, budak amatur.


Apa yang dirasai ialah prestasi dan keseimbangan KLX150S memang memuaskan hati. Fork teleskopik hadapan dan penyerap hentak Uni-trak belakang banyak membantu soal pengendalian jentera.


Dengan tayar IRC jenis offroad membaluti rim 19 inci hadapan dan 16 inci (belakang) dan keupayaan membrek dua set brek cakera, ia menguatkan lagi keyakinan saya. 


Tarikan gear pertama dan kedua didapati lebih panjang. Kelebihannya? Anda boleh nikmati kuasa pendakian dan memerah tork secukupnya ketika atas jalan tidak berturap. 


Menukar gear lancar dan pantas dilakukan. Pemijak kaki KLX 150S sedikit ke hadapan. Senang sedikit buat orang baru macam saya untuk menjinakkan diri dalam tunggangan offroad. 


Harganya? RM8,789 seunit. Perlu diingat harga ini tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan.