Jumaat, 11 Januari 2013

Tunggang Uji - Honda PCX150


Setelah menanti beberapa minggu, akhirnya saya menerima jemputan daripada Boon Siew Honda untuk menguji produk terbaharu keluarannya. Tiga jentera berlainan model telah ditempah untuk sesi tunggang uji.

Selesai sudah semua proses dokumentasi, PCX150 mula meninggalkan bilik pameran Honda di Kepong untuk dibawa pulang. Saya pada mulanya menunggang skuter itu secara berhati-hati kerana masih belum mengetahui sifat skuter itu.

Dari Kepong menyusuri kesesakan jalan raya pada waktu tengah hari di Jalan Kucing menuju Cheras, PCX150 yang ditunggang tidak mencetuskan masalah untuk menyelit antara barisan kereta dan bas. Cuma saya masih lagi berhati-hati dengan produk berharga lebih RM10,000 itu.

Selama tiga hari, jentera hitam itu berada dalam pegangan saya. Hari pertama PCX150 dibawa ke pasar untuk mencari barang dapur dan sedikit buah-buahan. Selepas itu, skuter itu ditunggang menuju ke kedai-kedai ikan di Pandan Indah, Ampang untuk membeli produk penjagaan air akuarium saya.

Ruang simpanan di bawah tempat duduknya terlebih praktikal. Saiznya 25 liter. Cukup besar untuk memuatkan barangan yang dibeli. Cuma untuk meletakkan barangan di lantai tempat letak kaki tidak digalakkan. Lantai itu ada bonggol di antara tempat meletakkan kedua-dua tapak kaki.

Bonggol itu menempatkan tempat pengisian minyak petrol. Anda perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan tersandung apabila mahu melangkah turun dari jentera selepas tongkat tunggal diturunkan. 

Menghidupkan PCX150 dibuat dengan menarik tuli brek kiri sambil menekan butang pemula enjin. Sebelum itu, pastikan tongkat tunggal sudah dinaikkan. Jika tidak, skuter itu tidak akan dihidupkan. Ini ciri keselamatan lazim yang ada pada skuter.



Saya merasa kagum dengan saat-saat enjin dihidupkan. Tiada getaran atau bunyi kasar penghidup. Ia begitu sempurna. Pendikit minyak dipulas dan jarum meter dengan sekelip mata sudah terpacak pada angka 80 kilometer sejam (km/j).

Ledakan kuasa ke roda belakang sudah cukup bertenaga. Kelajuan maksimum yang saya dikecapi hanyalah 112 km/j. Seorang lagi rakan media yang sudah menunggang uji PCX150 menyatakan dia mendapat catatan 120 km/j. 

Bagi saya, PCX150 boleh dikategori sebagai salah satu skuter yang beri penjimatan petrol. Satu tangki penuh berjaya menggerakkan saya sejauh 220 kilometer. Masa itu, kelajuan tunggangan adalah campuran antara 80km/j hingga 110km/j.

Faktor yang menjayakan penjimatan penggunaan petrol PCX150 ialah enhanced Smart Power (eSP) dan teknologi PGM-FI (sistem suntikan bahan api Honda). PCX150 ini menjadi produk pertama Honda di Malaysia yang tidak menggunakan karburator.

Tangan pada awalnya terasa sedikit lenguh. Mungkin baru hendak biasakan posisi dengan bar hendal yang sedikit kebelakang. Punggung saya tidak kebas. Tempat duduknya cukup empuk. 

Apa yang saya kurang gemar ialah perehat yang ditempatkan atas tempat duduk. Ia mengganggu punggung saya. Bukan masalah besar mana pun. Kalau sudah tidak suka, bedah sahaja tempat duduknya. 



Mengemudi skuter seberat 124 kilogram dalam kesesakan trafik ternyata mudah. Walaupun nampak lebar tetapi ia lincah jika ditunggang secara agresif. Secara jujur saya mahu menyatakan: Skuter ini memang stabil.

Di kala menunggang di Lebuhraya Sungai Besi, jarum meter yang menapak pada angka 90kmj tiba-tiba merudum gara-gara seorang pemandu Satria Neo yang tahap 'kebijaksanaan dan amalan pemandulan' berada lebih rendah daripada paras kepala lututnya.

Ya, anda sememangnya baca dengan betul. Ia bukan amalan pemanduan tetapi amalan pemandulan. Otak pengguna jalan raya sebegini sudah mandul dan tidak boleh memikir secara rasional tindakan mereka memberi kesan serta merbahayakan nyawa orang lain.

Saya terpaksa membrek mengejut sebelum melencongkan pergerakan PCX150 ke laluan sebelah kiri jalan. Senario itu mengajar saya sesuatu. Sistem brek kombinasi (CBS) PCX150 mengambil masa sedikit panjang untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera. Ada sela masa rupanya brek canggih ini.

Ujian tunggangan kedua diadakan dalam hujan pada petang Ahad. Bermula dari I-City di Shah Alam ke Kuala Lumpur melalui lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan. Brek CBS memang berkesan ketika hujan. Prestasinya lebih nyata dan berkesan atas jalan basah.

Jika mahu menjimatkan minyak petrol, hidupkan sahaja fungsi sistem idling stop. Teknologi itu akan mematikan enjin andainya skuter tidak bergerak dalam sesuatu tempoh. Mahu hidupkan semula enjin, pulas sahaja pendikit minyak. 

Untuk spesifikasi dan harga PCX150, klik sini. Berbaloi untuk dimiliki? Ikutlah keperluan, citarasa dan minat masing-masing. Galeri gambar menyusur di bawah:







Meter pada siang hari
Paparan meter pada waktu malam
Odometer (jarak tunggangan)
Ada Trip jika ingin merekod sesuatu jarak perjalanan.
Hendal diberi pengenaan warna krom
Bahagian hadapan ada ruang simpanan barangan kecil


Butang Idling ditempatkan pada bahagian kanan hendal
Butang hon dipasang pada bahagian tengah.
Membuka tempat duduk dan tempat pengisian petrol dibuat dengan menekan butang.













Tiada ulasan: