Isnin, 20 Jun 2011

EX5 Baru

TANPA kita sedari, kapcai popular yang dikeluarkan dan diedar oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sudah berada dalam pasaran tempatan selama 24 tahun. Sejak diperkenalkan pada tahun 1987, Honda EX5 amat dikenali dengan sifatnya yang tahan lasak dan boleh diharap. 


Popularitinya yang turut disumbang oleh penggunaan minyak yang menjimatkan membolehkan Honda EX5 mencatat jualan sebanyak 1.5 juta unit pada Ogos 2010. Angka itu menjadikannya sebagai kapcai paling banyak terjual di Malaysia. 


Kini, Boon Siew Honda tampil dengan tawaran terbaru iaitu Honda EX5 Dream serba baharu. Walaupun jika dilihat sekali imbas model itu tidak banyak berbeza berbanding model sebelumnya, Honda EX5 Dream sebenarnya hadir bersama beberapa penambahbaikan. 


Ia meliputi aspek rekabentuk dan keselamatan yang telah ditambah baik. Sebagai contoh, sistem kunci barunya menawarkan lebih keselamatan. Pengguna juga pasti sukakan rekaan speedometer yang dinamik dan mudah dibaca. Bagi menyerlahkan lagi profil rekabentuknya, Honda EX5 Dream dilekat dengan pelekat tubuh baharu. Honda EX5 Dream menggunakan khidmat enjin OHC 4 Cycle dengan sistem penyejukan udara. 


Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 7.3PS @ 8,000rpm dan tork puncak sehingga 0.74kgf.m @ 6,000rpm. Kuasa enjin itu disalurkan ke roda belakang menerusi gear manual empat kelajuan. Tipikal sebuah Honda EX5, suspensi belakangnya kekal menggunakan penyerap hentak jenis lengan ayun bersaiz 61mm. Sementara suspensi hadapan pula ialah jenis teleskopik. 


Boon Siew Honda memberikan jaminan selama setahun atau perbatuan sehingga 12,000 kilometer. Ia ditawarkan pada harga RM3,998 (penghidup tendang) dan RM4,268 (penghidup elektrik) di atas jalan termasuklah perlindungan insurans komprehensif untuk penunggang tunggal. Harga tersebut hanya sah di Semenanjung Malaysia.


Sumber: Kosmo!

Tiada ulasan: